Judul: Jenayah dan Kanun Keseksaan

Penulis: Shamsuddin Suhor

Harga: RM30.00

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas: Muhammad Muqris Alif bin Zairiasdi

APA itu jenayah? Richard Kard dalam bukunya mendefinisikan jenayah sebagai suatu perbuatan yang jika dilakukan akan menyebabkan pelaku itu didakwa dan dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa. Kamus Oxford pula mentakrifkan jenayah sebagai perbuatan ataupun tinggalan yang boleh dijatuhkan di bawah kesalahan dan boleh dihukum mengikut undang-undang. Bagi pengulas, jenayah merupakan perlakuan yang mendatangkan kecederaan fizikal ataupun mental seseorang yang boleh menyebabkan si pelaku didakwa di bawah undang-undang jenayah sedia ada di sesebuah negara.

Apabila kita berbincang tentang undang-undang jenayah, setiap negara tidak semestinya meletakkan sesuatu perbuatan itu sebagai perbuatan jenayah. Contohnya, negara Barat tidak meletakkan perbuatan liwat sebagai jenayah tetapi di Malaysia, perbuatan tersebut terjumlah kepada jenayah. Hal ini boleh dilihat melalui peruntukan di bawah seksyen 377A Kanun Keseksaan yang mengatakan dengan jelas bahawa perbuatan persetubuhan di luar tabii merupakan suatu jenayah.

Buku tulisan KD Gaur yang menjadi antara salah satu rujukan penulis ini mengandungi 20 bab. Antara bab yang menjadi perhatian pengulas ialah bab 4 yang membincangkan tentang Kecuaian Am – Silap Faham. Penulis telah menerangkan dengan jelas tentang kecuaian am ini apabila penulis memulakan bab tersebut dengan sedikit penjelasan tentang maksud salah faham. Bagi pengulas, perkara ini mampu memberikan pendedahan kepada pembaca tentang maksud salah faham itu secara dasarnya dahulu sebelum terus menyentuh tentang maksud salah faham yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 76, seksyen 77, seksyen 78 dan seksyen 79.

Penulis telah menjelaskan setiap seksyen yang diperuntukkan dengan jelas apabila penulis membahagikan setiap seksyen kepada perkara yang difokuskan di bawah peruntukan tersebut. Kita dapat lihat seksyen 76 kebiasaanya dipakai untuk penjawat awam kerana perbuatan tersebut tidak mempunyai niat untuk melakukan jenayah tetapi sekadar mengikut arahan yang telah diberikan dengan suatu kepercayaan yang jujur dan ikhlas dan juga dibuat atas pertimbangan yang wajar.

Seksyen 77 dan seksyen 78 terpakai kepada institusi kehakiman apabila institusi tersebut ingin menjalankan tugas mereka. Seksyen 79 pula terpakai ke atas tertuduh yang bertindak atas kepercayaan perbuatannya dibenarkan oleh undang-undang. Penulis juga telah membezakan seksyen 76 dan seksyen 79 dengan begitu jelas dan terperinci.

Syarat pemakaian seksyen 76 dan seksyen 79 juga telah dijelaskan dalam buku ini pada halaman 112. Perbuatan yang dilakukan merupakan satu silap faham nyataan, bukanlah silap faham undang-undang. Penulis telah menegaskan bahawa dalihan silap faham undang-undang tidak boleh dijadikan sebagai pembelaan bagi tertuduh bersandarkan prinsip umum undang-undang Inggeris melalui maksim “ignorantia juris non excusat”. Selain itu, perbuatan yang dilakukan juga dibuat dengan suci hati.

Penulis juga memberikan pelbagai contoh kes yang telah menggunakan dalihan kecualian am – silap faham sebagai suatu pembelaan. Antara kes yang menggunakan dalihan ialah Chirangi lwn. State (1952) apabila tertuduh menggunakan dalihan silap faham nyataan di bawah seksyen 79 Kanun Keseksaan kerana telah menembak anaknya yang disangka harimau. Dalihan ini berjaya kerana semasa tertuduh melihat anaknya (yang disangka sebagai harimau), tertuduh mengalami “bilateral cataract” dan suhu badan yang tinggi. Maka perkara ini menyebabkan tertuduh mengalami “temporary delirum”. Tertuduh juga dengan suci hati percaya bahawa dia telah menembak seekor harimau. Kes seterusnya ialah Bonda Kui lwn. Emperor apabila tertuduh percaya dengan suci hati bahawa undang-undang membenarkan tertuduh untuk membunuh hantu tetapi hantu yang dilihat oleh tertuduh sebenarnya birasnya.

Kes yang melibatkan seksyen 76 Kanun Keseksaan yang dibincangkan oleh penulis antaranya State of West Bengal lwn. Shew Mangal Singh apabila tertuduh telah menyebabkan kematian dua orang akibat terkena tembakan tertuduh (seorang polis). Tertuduh menggunakan dalihan ini dengan mengatakan bahawa dia terpaksa melakukannya atas arahan pihak atasan selepas rusuhan tersebut semakin ganas.

Kes yang menyentuh tentang silap faham undang-undang juga telah dibincangkan, antaranya Sulong b. Nain lwn. Pendakwa Raya (1947) apabila tertuduh menggunakan dalihan ini tetapi tidak berjaya kerana undang-undang telah menetapkan bahawa tidak ada sesiapa boleh mempunyai senjata api pada waktu itu. Dalam fakta kes ini, tertuduh telah menjumpai senjata api dan membawanya ke balai polis untuk menyerahkannya. Tertuduh tahu bahawa itu merupakan senjata api tetapi tidak tahu akan undang-undang yang melarang memiliki senjata api. Tindakan tertuduh yang tidak tahu akan wujudnya undang-undang tersebut tidak boleh menjadi dalihan kepadanya. Kes State of Maharashta lwn Mayer Hans George telah memutuskan bahawa apabila satu undang-undang tersebut telah diwartakan, semua orang patut tahu dan peka terhadapnya.

Buku yang diterbitkan pada 2016 ini boleh menjadi satu rujukan wajib kepada pelajar undang-undang, peguam ataupun masyarakat umum kerana cara penyampaiannya mudah untuk difahami tanpa sebarang keraguan. Semoga buku ini mampu memberi kita kefahaman yang jelas tentang kesalahan-kesalahan jenayah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013448
    Visit Today : 711
    This Month : 32793
    Total Visit : 1013448
    Hits Today : 2379
    Total Hits : 4134484
    Who's Online : 14
  • Kategori