Oleh ATIQAH ABD RAHIM

PADA era globalisasi ini, penguasaan bahasa Melayu masih berkurangan jika dibandingkan dengan bahasa utama dunia yang lain. Bahan bacaan berbentuk fizikal atau di laman sesawang menjadi bukti bahawa penerbitan dan penterjemahan dalam bahasa Melayu masih belum mencapai keperluan pembaca dunia. Oleh itu, penulisan dan penerbitan berbahasa Melayu perlu dipertingkatkan agar bahasa ibunda mampu menarik perhatian penutur baharu untuk mempelajarinya.

Satu daripada langkah yang berkesan ialah dengan memperbanyak penerbitan bahan bacaan ringan yang mempunyai ilustrasi perwatakan dan pemandangan alam sekitar yang menarik. Pada kebiasaannya, bahan bacaan ringan ini disusun dengan menggunakan bahasa Melayu yang mudah dan ringkas sesuai untuk pembaca yang baru berjinak-jinak dengan tatabahasa dan struktur ayat. Pembacaan ini juga sesuai untuk pembelajaran awal kanak-kanak dalam penguasaan bahasa Melayu.

Selain itu, bahan bacaan ringan ini perlu menerapkan unsur kemasyarakatan dan nilai murni rakyat Malaysia. Bahan sebegini bukan sahaja dibaca untuk hiburan tetapi mesej yang disampaikan menjadi identiti Malaysia di mata masyarakat luar. Contohnya, kisah Hang Tuah sebagai panglima negeri Melaka dan kisah Puteri Santubong di Sarawak. Penambahan ilustrasi yang menarik dalam sastera rakyat ini dapat memberikan gambaran yang jelas kepada pembaca dari segi pemakaian setiap watak dan persekitaran yang digambarkan pada zaman tersebut. Cerita rakyat ini mungkin sudah diketahui oleh kebanyakan rakyat Malaysia tetapi bagi masyarakat di negara lain, mereka bergantung pada gambaran dan lukisan yang terdapat dalam buku tersebut untuk memahami jalan cerita kerana kebanyakannya masih tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang budaya Malaysia.

Daya tarikan dan pemahaman jalan cerita daripada ilustrasi perwatakan dapat dilihat daripada kisah dongeng orang Inggeris sehinggalah watak dari Jepun, seperti manga. Mereka bukan sahaja menonjolkan mesej melalui jalan penceritaan malah pembaca dapat mempelajari budaya masyarakat tersebut, seperti cara berpakaian, cuaca, pergaulan harian, dan cara berkomunikasi. Melalui pembacaan kisah ini juga, kita dapat mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa Jepun yang sudah menjadi bahasa utama dunia. Alangkah baiknya jika kisah-kisah rakyat Malaysia dapat dipopularkan melalui ilustrasi perwatakan dan menjadi ingatan masyarakat dunia.

Sebagai kesimpulannya, Malaysia mempunyai banyak cerita rakyat yang menarik untuk ditonjolkan. Sudah sampai masanya industri grafik dan lukisan memainkan peranan bagi membawa cerita ini untuk tatapan dan penghayatan masyarakat luar. Mungkin pada masa akan datang, bahasa Melayu juga muncul sebagai bahasa utama dunia kerana populariti sastera rakyatnya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043420
    Visit Today : 1284
    This Month : 26019
    Total Visit : 1043420
    Hits Today : 4711
    Total Hits : 4284306
    Who's Online : 10
  • Kategori