Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

Ian Denison, wakil UNESCO membacakan watikah pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020.

KUALA LUMPUR melakar sejarah baharu apabila diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Penyerahan watikah pengiktirafan tersebut dibuat oleh wakil UNECSO, Encik Ian Denison kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada 12 November 2018 di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Yang turut hadir menyaksikan peristiwa yang bersejarah ini ialah Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Dato’ Nafisah Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Encik Ishak Hamzah. Majlis ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Abd. Samad dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Khalid berbangga kerana Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan dalam ucapannya berkata, pengiktirafan ini diberikan kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen yang tinggi kepada aktiviti berkaitan dengan buku, kesusasteraan, kesenian dan gerakan membaca dalam kalangan warga kotanya. Sehubungan dengan hal itu, Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia mengangkat slogan “KL Baca: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan” serta mengetengahkan konsep kepelbagaian budaya dan pemuliharaan alam sekitar. Pelaksanaan aktiviti pembacaan dan perbukuan melalui slogan tersebut akan disemarakkan di Bandar Raya Kuala Lumpur berdasarkan lima teras utama, iaitu:

  • > Mengadakan pelbagai bentuk aktiviti membaca dan pembangunan infrastruktur berkaitan perbukuan.
  • > Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai destinasi perbukuan masyarakat.
  • > Pembangunan minat membaca dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, dan kebolehcapaian buku digital.
  • > Pendidikan sepanjang hayat.
  • > Mercu tanda dan monumen.

Menurut Khalid lagi, pelbagai aktiviti akan dijalankan termasuk pembinaan perpustakaan terapung di pinggiran Sungai Gombak, pembinaan pusat membaca di setiap pusat perumahan rakyat (PPR), dan pembinaan “Lorong Buku” yang mewakili setiap kota yang pernah dinobatkan sebagai ibu kota buku dunia. Sebanyak 19 buah bandar raya telah terpilih sejak tahun 2001, antaranya Antwerp (2004), Amsterdam (2008), Bangkok (2013) dan Athens (2018). Dalam ucapannya juga, Khalid memaklumkan bahawa bandar raya Sharjah yang dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2019 mencadangkan kerjasama strategik dengan Kuala Lumpur dan berhasrat agar memorandum persefahaman dapat ditandatangani pada 23 April 2019 untuk memperkasakan aktiviti pembacaan sebagai pengisian Sharjah dan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia. Ekoran cadangan tersebut, pasukan pelaksana sudah merancang beberapa program antarabangsa, antaranya Kuala Lumpur-Sharjah Festival, World Book Capital Award, ASEAN Cultural Festival. Malah usaha yang paling signifikan adalah penubuhan World Book Capital Global Network Secretariat di Kuala Lumpur.

Ian Denison menyerahkan watikah pengiktirafan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, sambil disaksikan oleh Khalid Abd. Samad dan Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Selaku Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid menyatakan bahawa pihaknya menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM350 000 bagi menambah sekurang-kurangnya sebuah Mini Terminal Sejahtera (MINTS) di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan. Usaha ini selaras dengan aktiviti pembacaan buku yang memfokuskan kawasan dan warga PPR. Selain warga PPR, aktiviti pembacaan dan pengupayaan buku bersempena dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia turut tertumpu kepada golongan gelandangan, orang kurang upaya, Orang Asli, anak yatim dan banduan. Hal ini menunjukkan Kuala Lumpur sebagai kota yang ada roh dan kota yang ada keprihatinan terhadap pelbagai lapisan masyarakat.

Gerak kerja akan turut didukung bersama-sama oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan. Usaha ini juga mendapat sokongan dan bantuan pasukan sekretariat yang dianggotai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penerbit Buku Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013275
    Visit Today : 538
    This Month : 32620
    Total Visit : 1013275
    Hits Today : 1749
    Total Hits : 4133854
    Who's Online : 6
  • Kategori