Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

KEPENTINGAN bidang sosiologi dalam kesusasteraan sememangnya telah dipaparkan dalam karya novel, cerpen, drama, puisi, karya agung kesusasteraan Melayu tradisional dan karya agung kesusasteraan Melayu klasik. Seterusnya, definisi kesusasteraan menurut Ayadurai Letchumanan dan Sivachandralingam Sundarajah (2004: 141) dalam Tamadun Dunia, berasal daripada perkataan dalam bahasa Sanskrit, iaitu castra dan syastra yang bermaksud kitab suci. Manakala, definisi susastera bermaksud seni sastera, seni bahasa dan persuratan. Malah, definisi kata su bermaksud indah, baik dan lebih berfaedah, manakala sastera bererti huruf. Penggunaan imbuhan awal “ke” pada awal definisi “kesusasteraan”, dan penggunaan imbuhan akhir “an” pada akhir perkataan susastera melambangkan kesenian persuratan yang bersifat indah dan kata-kata suci. Tegas M.K. Danzinger (1983:1) dalam Pengenalan Kritikan Sastera, “segala-galanya adalah kesusasteraan.”

Pada dasarnya, definisi sosiologi dari segi bahasa pula menurut Auguste Comte dalam Positive Philosophy, berasal daripada perkataan dalam bahasa Latin, iaitu socio yang bermaksud berkongsi. Definisi sosiologi menurut Auguste Comte dalam Positive Philosophy ini telah disebarkan di Perancis. Selain itu, definisi sosiologi menurut De Fleur dan D’ Antonio, merupakan percubaan untuk meneliti tingkah laku sosial manusia secara sistematik. Malah, definisi sosiologi menurut De Fleur dan D’ Antonio, bertujuan untuk memahami dalam meramalkan tingkah laku manusia. Seterusnya, definisi sosiologi menurut Soedirman, merupakan ilmu tentang pergaulan hidup manusia. Oleh hal yang demikian, kepelbagaian pandangan tentang definisi sosiologi oleh Auguste Comte, D Antonio dan D’Fleur juga Soedirman jelas membuktikan bahawa bidang sosiologi memaparkan interaksi sosial budaya, stratifikasi, birokrasi, populasi, peranan jantina dan umur, tingkah laku, ekologi, politik dan kuasa, nilai dan norma. Sosiologi merupakan disiplin baharu dalam perbandingan sains sosial dan sains fizikal dan bukan sains kemanusiaan yang berada di pertengahan (Rohana Yusof, 1997: 8). Tegasnya, perhubungan sastera dan sosiologi turut diterangkan oleh Laurenson dan Swingewood (1972: 12) dalam The Sociology of Literature, berdasarkan petikan yang berikut:

           As with sociology, literature too is pre-eminently concerned with man’s social world, his adaptation to it, and his desire to changed it. Thus the novel, as it major literary genre of industrial society, can be seen as a faithful attempt to re-create the social world of man’s relation with his family, with politics, with the state; it delieanates too his roles within the family and other institutions, the conflicts and tension between groups and social classes in the purely documentary sense one can see the novel as dealing with much same social, economic, and political textures as sociology. But of course it achieves more than is; as art, literature transcends mere description and objective scientific analysis, penetrating the surfaces of social life, showing the ways which men and women experience.

                                                                             (Laurenson dan Swingewood, 1972: 12)

Perhubungan sastera dan sosiologi menurut Laurenson dan Swingewood (1972: 12) dalam The Sociology of Literature memaparkan perubahan kehidupan manusia yang diterjemahkan dalam karya sastera. Perubahan kehidupan manusia dalam karya sastera diterjemahkan dalam karya novel mewakili genre sastera utama bagi masyarakat perindustrian. Kepentingan novel sebagai karya sastera utama bagi masyarakat perindustrian menceritakan hubungan manusia dengan keluarga, politik, negara, kedudukan lembaga, konflik antara kumpulan masyarakat dan strata kelas sosial. Selain itu, penulisan novel memaparkan dokumentari kehidupan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Hakikatnya, kajian sosiologi bersifat ilmiah dan kritis. Penegasan tentang definisi sosiologi oleh Laurenson dan Swingewood (1972: 2) dalam The Sociology of Literature diterangkan berdasarkan petikan yang berikut:

    Sociology is essentially the scientific, objective study of man in society, the study of social institutions and of social processes; it seeks to answer the question of how society is possible, how it works why it persists. Through a rigorous examination of  the social institutions and of social process; through a rigorous examination of the social institutions, religious, economic, political and familial, which together  constitute what is called social structure, a picture emerges, not always clearly, of the ways in which man adapts to and is conditioned by particular societies; of the mechanisms of socialization the process of cultural learning, whereby individuals  are allocated to and accept their respective roles in the social structure. But, of course, sociology is concerned also with the processes whereby society changes, gradually, or catacly miscall as in revolution, from one type of society to another from feudalism to capitalism for example and the effects which these changes have on social structure.

                                                                               (Laurenson dan Swingewood, 1972: 2)

Penegasan tentang definisi sosiologi oleh Laurenson dan Swingewood (1972:2) dalam The Sociology of Literature jelas membuktikan bahawa sosiologi merupakan bidang ilmu bersifat saintifik yang memaparkan kajian objektif tentang manusia dalam masyarakat dan institusi sosial. Persoalan kajian dalam bidang sosiologi memaparkan perubahan dalam kehidupan masyarakat, cara bekerja, kedudukan lembaga sosial, agama, ekonomi, politik, kekeluargaan, kehidupan manusia dan masyarakat.

Bidang kesusasteraan juga tidak terlepas daripada mengkaji dunia sosial kehidupan manusia yang melibatkan cara menyesuaikan diri dan keinginan manusia dalam menempuh kehidupan dan persekitaran. Namun begitu, asas sesebuah kajian terhadap karya kesusasteraan bersifat lebih mendalam daripada sekadar fakta dan analisis data semasa sahaja. Kajian terhadap karya kesusasteraan memaparkan cetusan perasaan dan pengalaman yang bersifat empirikal yang disulami dengan unsur keindahan telah dipaparkan dalam karya sastera Melayu tradisional dan lisan. Oleh hal yang demikian, kemunculan teori keindahan yang diperkenalkan oleh Vladimir Braginsky menunjukkan kedudukan karya sastera dalam teori sfera keindahan berdasarkan sistem sfera fungsional. Teori keindahan dipaparkan dalam cerita penglipur lara seperti Hikayat Raja Muda dan Hikayat Anggun Cik Tunggal. Teori keindahan yang dipaparkan dalam pantun, peribahasa, seloka, bidalan, gurindam, dan talibun dicipta berdasarkan pemilihan diksi dan ayat menjadi satu karya sastera yang indah, bermakna dan berfaedah. Tegasnya, menurut Hoykaas (1977:32) kisah penglipur lara dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal menonjolkan kehebatan wira Anggun Cik Tunggal selain memaparkan pengembaraan wira dan wirawati yang berakhir dengan kegembiraan.

Pelbagai watak dalam genre penglipur lara melibatkan watak-watak di istana seperti anak-anak raja yang memiliki rupa paras yang kacak dan jelita. Malah, kehebatan dan kesaktian wira terserlah menerusi kehebatan dan kesaktian wira Anggun Cik Tunggal dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal. Unsur pewarnaan cerita yang dipenuhi dengan nilai keindahan berperanan sebagai hiburan kepada masyarakat di kampung ketika era budaya lisan. Malah, terdapat juga watak bukan manusia seperti dewa, mambang dan jin. Selain itu, latar tempat cerita lipur lara melibatkan dunia realiti dan alam kayangan. Hubungan antara alam kayangan dengan dunia tiada batasan. Latar tempat alam kayangan yang terletak di lapisan langit yang didiami oleh dewa-dewi, mambang dan pari-pari telah mewujudkan strasifikasi sosial yang kontra dengan dunia realiti. Unsur keindahan dalam Hikayat Raja Donan ketika kelahiran Raja Donan, iaitu anak kepada Raja Madong Bongsu telah diceritakan melalui keindahan bahasa dalam petikan talibun berikut

        Jatuh ke tikar, tikar jatuh

        jatuh ke lantai, lantai patah.

                                                                                          (Jamilah Haji Ahmad, 1993: 55 – 56):

 

Titik Pertemuan antara Sastera dengan Sosiologi

Pada dasarnya, bidang sastera dan sosiologi menumpukan aspek kehidupan manusia dan budaya, selain menegakkan kebenaran walaupun wujud unsur imaginasi dalam karya sastera. Selain itu, bahasa merupakan elemen utama yang digunakan dalam perkembangan bidang sosiologi dan kesusasteraan berdasarkan subjektiviti, ideologi dan kedudukan. Namun begitu, persoalannya, adakah bidang sosiologi mempersembahkan ketepatan sesebuah fakta. Jawapan kepada persoalan ini telah dihujahkan oleh Ian Watt dalam artikelnya,“Literature and Society” yang memaparkan titik pertemuan antara sastera dengan sosiologi dan hubungan timbal balik antara sasterawan dengan masyarakat.

Kesusasteraan sebagai cerminan masyarakat merupakan falsafah pengarang dalam memilih dan menampilkan fakta-fakta sosial dalam karyanya. Genre karya sastera sering menunjukkan sikap sosial kelompok tertentu dan bukan sikap sosial keseluruhan masyarakat. Pemaparan unsur sosial dan alegori lazimnya dipaparkan dalam karya sastera tradisional, sastera klasik dan sastera moden menerusi rangkaian hikayat, puisi, novel, cerpen dan drama. Pemaparan unsur sosial dan alegori dalam puisi W. S. Rendra sebagai penyair Indonesia moden tersohor turut mengupas isu pembelaan terhadap golongan marhaen. Tegasnya, unsur alegori dalam puisi Rendra, “Sajak Sebatang Lisong” (1980: 30) dipaparkan menerusi rangkap ketiga puisi tersebut:

         Aku bertanya,

         tetapi pertanyaan-pertanyaanku

         membentur meja kekuasaan yang macet,

         dan papan tulis-papan tulis para pendididik

         yang terlepas dari persoalan kehidupan

                                                                                             (W. S. Rendra, 1980 : 30)

Pada keseluruhannya, rangkap ketiga puisi “Sajak Sebatang Lisong” memaparkan falsafah dan sensitiviti Rendra terhadap kemelut yang berlaku di Indonesia ketika era pemerintahan Presiden Sukarno yang mengamalkan “Orde Lama” selepas negara Indonesia mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945 (Abdullah Zakaria Ghazali, et al. 2004:4).

Kepentingan bidang sosiologi dalam kesusasteraan Melayu telah berjaya memaparkan kajian terhadap aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan dalam karya sastera Melayu tradisional, sastera Melayu klasik dan sastera Melayu moden. Bidang sosiologi pula memaparkan tingkah laku sosial manusia secara sistematik. Namun begitu, terdapat perbezaan antara sastera dengan sosiologi walaupun akhirnya telah berjaya membentuk persamaan melalui titik pertemuan bidang sosiologi dan sastera. Tegasnya, kepentingan ilmu sosiologi dalam karya sastera dapat memantapkan lagi kedudukan karya sastera dan mewujudkan pendekatan kritikan sastera bersifat kritikan kemasyarakatan dan kritikan sosial dalam sastera Melayu.

 

BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Abd Rashid, Mohd Rosli Saluddin, 2003. Analisis Autentik Sastera. Petaling Jaya: Pearson Longman.

Abdullah Zakaria Ghazali, 2004. Sejarah Asia Timur, Tenggara dan Selatan. Shah Alam: Fajar Bakti.

Adnan Abd Majid, 2003. Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Danzinger, 1983. Pengenalan Kritikan Sastera (terj). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang, 1988. Kritikan Kesusasteraan Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Hooykaas, C. (1977). Perintis Sastera. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

Jamilah Haji Ahmad, 1993. Hikayat Awang Donan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jelani Harun, 2004. Ilmu Kesusasteraan Abad Ke 21. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Laurenson, Diana dan Swingewood, Alan, 1972. The Sociology of Literature. New York: Shocken Books.

Pamela J. Annas, Robert C. Rosen, 1997. Literature And Society. New Jersey: Prentice Hall.

Rohana Yusof, 1997. Asas Sains Sosial. Dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, 2004. Tamadun Dunia. Shah Alam: Fajar Bakti.

Umar Junus,1986. Sosiologi Sastera Persoalan Teori dan Metode.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

W.S.Rendra, 1980. Potret Pembangunan Dalam Puisi. Jakarta: Lembaga Studi Pembangunan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013362
    Visit Today : 625
    This Month : 32707
    Total Visit : 1013362
    Hits Today : 2050
    Total Hits : 4134155
    Who's Online : 9
  • Kategori