Judul               : Puteri Delima
Pengarang      : Azmah Nordin
Terbitan           : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Tahun              : 2017
Pengulas          : Dr. Nazariyah Sani

NOVEL Puteri Delima yang berlatarkan kehidupan golongan bangsawan di Istana Canderawani ini mengisahkan suka duka Puteri Hani yang sangat jelita bergelar Puteri Delima. Dia dilahirkan dan membesar dalam lingkungan enam orang adik-beradik satu ayah, iaitu Puteri Intanku Sura, Puteri Intanku Duli, Puteri Intanku Tia, Puteri Intanku Pati, Puteri Intanku Lila dan Puteri Intanku Inam di Istana Canderawani.

Puteri Delima ialah anak isteri kedua Sultan Samayadan yang bernama Itin, seorang rakyat biasa. Oleh itu Puteri Delima tidak begitu disukai dan dicemburui oleh kakak-kakaknya. Dalam banyak hal, Puteri Delima sering disisihkan. Namun begitu, ibu tirinya, Permaisuri Intanku Tias dan Sultan Samayadan melayannya dengan baik walaupun disebut penulis sebagai rasmi dan dingin kerana tidak pernah menunjukkan rasa simpati dan bertanyakan masalah dirinya.

Puteri Delima sering dimomokkan dengan cerita kerabat diraja mencari jodoh oleh kakak-kakaknya. Menurut cerita mereka, sesiapa yang ingin mendapat jodoh perlu membuang batil di hulu Sungai Bercabang Dua setahun sekali secara rahsia sedangkan Puteri Delima amat fobia dengan sungai tersebut kerana calitan nestapa sejarah lalu. Dua cabang sungai ini mengalirkan air yang jernih dan keruh.

Menurut momokan kekandanya, sekiranya batil yang dibuang hanyut ke cabang sungai yang jernih, dikatakan jodohnya lelaki yang baik dan sekiranya batil hanyut ke cabang sungai yang keruh, dikatakan jodohnya lelaki yang kurang baik. Setelah membuang batil, mereka perlu mendapatkan kalungan bunga ara merah daripada penduduk yang tinggal di bawah pokok ara sungai tersebut.

Akhirnya Puteri Delima berjaya melawan rasa fobia lalu membuang batil di Sungai Bercabang Dua. Namun, misi membuang batil itu merungkai banyak persoalan sejarah hidup Puteri Delima. Latar pengembaraan Puteri Delima di belantara dalam misi membuang batil digambarkan penulis secara terperinci menerusi deru air terjun, kicauan unggas rimba, lompatan katak, sungai yang mengalir dan lain-lain.

Di mana-mana sahaja berada, Puteri Delima digambarkan sebagai insan yang berperibadi murni, rendah diri dan kasih akan binatang. Buktinya dia sering menghampiri orang suruhan istana tanpa memandang rendah kepada mereka seperti perlakuan kekandanya yang lain. Puteri Delima juga sering dihampiri sekawan merpati putih sewaktu di istana dan juga di hutan. Belu, seekor kucing hadiah daripada Datu Bambang Deraman sering berada dalam dakapannya.

Pengarang menggunakan banyak perumpamaan dalam novel ini untuk menggambarkan situasi. Sebagai contoh, seperti anak ayam yang kehilangan ibu apabila menggambarkan rasa Puteri Delima keseorangan membawa arah tuju diri. Adik-beradik tidak ikhlas terhadapnya malahan dirinya sering menjadi bahan umpatan mereka yang tidak pernah berpuas hati terhadapnya. Mereka bermuka-muka; baik di hadapan tetapi busuk hati di belakang.

Penulis menggambarkan kesantunan Puteri Delima melalui peristiwa pengebumian seekor anak burung pipit di bawah pohon delima lambang peribadi yang santun, positif dan penuh kasih sayang terhadap haiwan. Puteri Delima merendah diri; sering bergaul dengan orang suruhan istana sehingga dia mahir menganyam bubu dan pukat, bercucuk tanam, berenang, menyelam dan menyalakan api.

Perjuangan Puteri Delima melawan rasa takut yang tidak bersebab dalam diri sendiri perlu dicontohi remaja hari ini. Dia berusaha menghadapi Rogon dan membuang batil agar tidak dilabel pengecut berpanjangan. Dia gigih melawan bayangan silam.

Puteri Delima tidak pernah lupa berdoa bagi kesejahteraan roh ibu dan nendanya selepas solat subuh. Hal ini wajar dicontohi remaja hari ini. Kegigihan Puteri Delima digambarkan pengarang menerusi ungkapan kekalahan sebelum berusaha hanya akan menambah kekalutan fikiran pada halaman 47.

Azmah Nordin menggunakan sudut pandang orang ketiga serba tahu. Penulis juga dapat mengetahui isi hati tokoh-tokoh dalam ceritanya melalui bayangan watak.

Buku ini banyak meninggalkan pesan yang baik. Oleh itu diharapkan remaja yang membaca novel ini membesar dengan peribadi yang baik seperti Puteri Delima sepenuhnya ataupun sebahagian daripadanya.

Novel Puteri Delima ini membantu pembaca berfikir secara kritis. Begitu juga dengan memerhatikan setiap elemen yang berkembang dalam buku ini dapat membantu pembaca menambah maklumat baharu terhadap aliran kehidupan.   Azmah mengembangkan norma dan aturan yang ada dalam kehidupan Puteri Delima menerusi aliran tulisannya. Hal tersebut dapat mempengaruhi khalayak yang disasarkan oleh pengarang.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044571
    Visit Today : 992
    This Month : 27170
    Total Visit : 1044571
    Hits Today : 3393
    Total Hits : 4288366
    Who's Online : 13
  • Kategori