Oleh SITI SURIANI OTHMAN dan ZUL AZLIN RAZALI

MEMAHAMI penyakit mental bukan semudah menyamakannya dengan gila. Terma penyakit mental merujuk masalah kesihatan yang melibatkan perubahan emosi, pemikiran dan perlakuan yang akan menggugat keseluruhan fungsi seorang manusia itu. Takrifan Persatuan Pakar Psikiatri Amerika Syarikat ini disepakati oleh pakar psikiatri dan ahli psikologi klinikal di seluruh dunia. Pelbagai sebab dikatakan sebagai punca penyakit mental dan merangkumi faktor persekitaran, faktor psikologi dan faktor biologi. Faktor biologi termasuklah faktor genetik (keturunan) dan kesenjangan bahan kimia dalam otak.

Memang menggerunkan apabila satu daripada empat orang manusia di dunia ini akan dijangkiti penyakit mental pada tahap tertentu dalam kehidupan mereka. Hal ini bukan rekaan tetapi fakta daripada World Health Organisation (WHO) dan telah disebutkan pada 2001 yang lalu. Di Malaysia, khususnya, penyakit ini yang kedua tertinggi selepas penyakit jantung.

Maka, fakta daripada WHO tentang penyakit mental wajar diambil tahu agar kita tidak hanya melihat penyakit ini sebagai penyakit yang tidak saintifik atau permainan syaitan semata-mata. Antara fakta penting daripada WHO yang perlu kita cakna dan mengambil tindakan adalah bahawasanya lebih 20 peratus kanak-kanak dan remaja di dunia ini mengalami masalah mental. Dalam kalangan kanak-kanak, masalah ini boleh bermula seawal usia 14 tahun.

WHO juga mendapati hampir 800,000 orang membunuh diri setiap tahun kerana masalah mental. Kebanyakannya remaja berumur dalam lingkungan 15-29 tahun. Daripada kajian, didapati juga seseorang dewasa yang membunuh diri sudah mempunyai percubaan membunuh diri sebanyak 20 kali!

Isu lain yang dibangkitkan WHO ialah stigma dan diskriminasi yang berlaku terhadap pesakit mental termasuk dalam kalangan ahli keluarga. Hal ini menyebabkan rawatan sukar dilaksanakan kerana kekurangan sokongan. Ada juga pihak yang beranggapan bahawa penyakit mental tidak dapat diubati langsung. Hal ini mungkin benar apabila kita melihat ada kes sebenar yang berlaku, tetapi kita juga tidak boleh membuat kesimpulan begitu sahaja kerana kita tidak mengetahui sejauh mana usaha telah diambil oleh ahli keluarga dan sanak saudara.

Pada peringkat sistem atau negara, penyakit mental di sesetengah negara sukar diubati kerana masalah kekurangan kepakaran. Kos perubatan dan infrastruktur yang agak tinggi juga menyebabkan negara berkenaan tidak mampu membiayainya. Dalam hal ini, kerajaan dan badan yang berkaitan perlu berganding bahu untuk bersama-sama meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan mental demi pesakit mental ini. Jelas jika penyakit mental ingin dikurangkan, kerjasama pelbagai lapisan tingkat masyarakat diperlukan.

Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun 2018 ini misalnya, membawa slogan Belia dan Kesihatan Mental dalam Arus Perubahan Zaman. Orang muda mula diberi perhatian kerana fakta dan bukti menunjukkan hampir semua orang mempunyai risiko penyakit mental. Ramai juga orang muda yang bermasalah mental tetapi tidak dikesan.

Anak muda harapan bangsa berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan hasil daripada kemajuan teknologi yang cukup pantas dan evolusi struktur keluarga yang lebih mendekati individualisme. Tekanan rakan sebaya bukan lagi boleh dilihat daripada kaca mata yang sama, seperti 20 atau 30 tahun dahulu. Elemen pendidikan yang secara di bawah sedar lebih banyak menghasilkan hamba kapitalisme yang kering spiritual juga kerap dibincangkan sebagai punca kesihatan mental merudum.

Pada hakikatnya, kita perlu melihat usaha kempen atau sambutan tertentu hanya bertindak sebagai alat untuk membawa kesedaran. Usaha untuk sedar dan darjah kesedaran masih kekal di tangan setiap individu. Maka, tidak hairan kerana kurang kesedaran dan mungkin juga rasa kurang kepentingan memahami ilmu penyakit mental, ramai orang di negara maju mengalami penyakit ini.

Blog dalam talian Insider Monkey pada Februari 2018 membuat kesimpulan kasar berdasarkan kajian lain, contohnya data daripada WHO. Artikel daripada blog ini menerbitkan senarai 16 buah negara paling tinggi ditekan masalah mental. Yang mengejutkan ialah negara maju, seperti United Kingdom, Australia, Belgium, dan Belanda, juga berada dalam senarai ini di samping negara Asia, seperti Bangladesh, Pakistan, India dan China. Kemajuan dan kemiskinan bukan menjadi kayu ukur untuk mengetahui tahap kemelaratan kesihatan mental rakyat.

Buku “Depresi”, karya Zul Azlin Razali.

United Kingdom, misalnya, merekodkan seorang daripada empat orang rakyatnya didiagnosis menghidap penyakit mental, seperti depresi, keresahan dan panik, gangguan bipolar dan gangguan pemakanan, seperti anoreksia nervosa. Berdasarkan kajian yang dijalankan di sana, 26 peratus daripada 5000 orang responden kajian tersebut didiagnosis pesakit mental. Di negara seperti ini pula, masalah dadah dan gaya hidup menjadi punca kepada gangguan keresahan (anxiety disorders).

Switzerland menduduki tangga pertama dalam senarai negara yang mempunyai risiko tertinggi penyakit mental. Namun demikian, kelebihan berada di negara ini ialah mereka mempunyai doktor pakar psikiatri tertinggi per kapita berbanding dengan negara lain. Hal ini mungkin juga kesan kesedaran yang tinggi terhadap penyakit mental dan kerajaan mengambil berat dan banyak melabur dalam perkhidmatan kesihatan mental.

Di Malaysia, laporan Bernama pada Julai 2016 menunjukkan betapa penyakit mental sangat membimbangkan di negara ini. Pada tahun 2008 sahaja, kira-kira 400,000 orang pesakit mental mendapat bantuan di hospital kerajaan. Hal ini lebih membimbangkan kerana pesakit mental kadangkala tidak pernah mendapatkan rawatan dan ada penyakit yang tidak dikesan. Maka, statistiknya hari ini pastinya jauh lebih tinggi.

Di Malaysia, semakin ramai profesional mengalami penyakit mental dan peratusannya meningkat setiap tahun. Dari segi jantina pula, secara statistiknya wanita lebih ramai diserang kemurungan walaupun bilangan lelaki sekarang meningkat. Klinik psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima sehingga 160 orang pesakit mental setiap hari. Berita Harian Mac 2018 melaporkan bahawa pesakit mental dalam kalangan penduduk di negara ini akan bertambah sekali ganda dalam tempoh 10 tahun. Masalah lain yang meruncing adalah jumlah doktor psikiatri yang sedikit dan kekurangan pakar dalam bidang ini.

Daripada aspek rawatan, penyakit psikiatri perlu dirawat dalam suasana praktis yang holistik. Penyakit psikiatri tidak boleh difahami dan dirawat dengan hanya melihat sudut biologi dan psikologi sahaja. Walaupun telah terbukti berlaku kesenjangan neurotransmiter atau bahan kimia dalam otak seperti dopamina dan serotonin, penyakit mental wajar diperhalusi daripada sudut sosiobudaya dan spiritual individu. Ubat-ubatan dan teknik psikoterapi telah banyak ditunjukkan dalam kajian sebagai sangat ampuh untuk menangani masalah mental, seperti psikosis, halusinasi, kemurungan serius dan gejala panik. Namun begitu, untuk melanjutkan lagi proses pemulihan jangka panjang, pesakit harus ditawarkan program komprehensif yang mengambil kira faktor sosial dan pegangan agama seseorang pesakit itu.

Kini, sudah ramai pakar psikiatri Muslim dan bukan Muslim yang mementingkan unsur spiritual dan agama dalam perawatan penyakit mental. Unsur spiritual dan agama telah terbukti berkesan dalam pelbagai kajian memulihkan keadaan mental seseorang. Tetapi hal ini bukan bermakna pakar psikiatri akan terus menggalakkan pesakit mempercayai unsur ghaib dan membiarkan pesakit mendapatkan rawatan yang tidak dapat dibuktikan secara empirik kemujarabannya. Pakar psikiatri yang peka isu spiritual akan mengupayakan pesakit dengan kefahaman tentang teknik pengurusan stres mudah. Dalam masa yang sama, pesakit tidak dihalang untuk mendapatkan rawatan spiritual daripada ahli agama yang benar ajarannya kerana hubungan spiritual penuh rahmat dalam lingkungan kebiasaan pesakit sangat penting bagi proses pemulihan.

Buku “Medical Wisdom And Ruqyah Shar‘iyyah” suntingan Profesor Dr. Hatta Shaharom dan Dr. Zul Azlin, terbitan Universiti Islam Malaysia, 2018, membincangkan tentang kepercayaan ghaib itu harus dikembalikan kepada bukti wahyu yang sahih..

Kini, ramai pakar psikiatri Muslim berani membincangkan perkara spiritual dan elemen ghaib yang sering dikaitkan dengan psikiatri, misalnya histeria. Buku Medical Wisdom And Ruqyah Shar‘iyyah suntingan Profesor Dr. Hatta Shaharom dan Dr. Zul Azlin (terbitan Universiti Islam Malaysia, 2018), contohnya, membawa perbincangan kritis tentang kepercayaan ghaib itu harus dikembalikan kepada bukti wahyu yang sahih. Pesakit tidak sepatutnya dimomok-momokkan dengan gangguan makhluk halus yang ternyata kecenderungan sebegini tidak Islamik kerana dalam Islam, hanya Allah yang patut ditakuti. Yang lebih penting, hanya Allah yang menyembuhkan penyakit di samping Allah menggalakkan manusia menggunakan akal, iaitu sains, untuk menyelesaikan masalah harian, termasuk masalah kesihatan mental.

Cabaran kita hari ini, kesihatan mental sering menjadi agenda yang terkebelakang. Sudah sampai masanya kita mengambil tahu dan sedar akan kepentingannya. Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan pada 10 Oktober setiap tahun menjadi sebahagian kempen yang memberikan peluang kepada masyarakat untuk lebih dekat dan mengetahui isu psikiatri.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035994
    Visit Today : 772
    This Month : 18593
    Total Visit : 1035994
    Hits Today : 2893
    Total Hits : 4248983
    Who's Online : 6
  • Kategori