Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR

YBhg. Dr Zaharani dan pemudahcara, Dr. Ghazali Ismail.

PADA 9 Oktober 2018, bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGK Bahasa Melayu), Lembah Pantai, Kuala Lumpur, telah berlangsung Syarahan MABBIM yang bertajuk “Peningkatan Literasi Bahasa Melayu/Indonesia” oleh Dr. Zaharani Ahmad. Syarahan ini merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, dengan kerjasama IPGK Bahasa Melayu.

MABBIM (Majlis Bahasa Brunei, Indonesia, Malaysia) merupakan sebuah badan kebahasaan serantau yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu/Indonesia di rantau ini. Majlis ini dianggotai oleh tiga buah negara, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia.

YBhg. Dr. Zaharani ketika menyampaikan syarahannya.

MABBIM, yang pada asalnya Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), ditubuhkan pada 29 Disember 1972, setelah satu pernyataan bersama ditandatangani oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Menteri Pendidikan Malaysia dan Bapak Mashuri Saleh S.H., Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia pada 23 Mei 1972 di Jakarta, Indonesia. MBIM menjadi MABBIM apabila negara Brunei Darussalam menganggotai Majlis ini pada 4 November 1985, iaitu pada persidangan yang ke-24. Sehingga kini, Singapura masih menjadi negara pemerhati Majlis.

Dalam syarahannya, Dr. Zaharani memberikan takrif literasi sebagai kecekapan yang berkaitan dengan menulis dan menguasai tatabahasa. Beliau merujuk takrif kecekapan oleh Chomsky, yang bermaksud, kemampuan penutur memperoleh bahasa secara semula jadi yang merangkumi kecekapan tatabahasa, sosiobudaya dan komunikasi.

Antara audiens yang menghadiri Syarahan MABBIM

Beliau turut menegaskan bahawa tatabahasa pegangan Indonesia mempunyai persamaan dan perbezaan dengan Malaysia. Dalam penghuraian tatabahasa, Indonesia tidak menggunakan pendekatan deskriptif, tetapi lebih mengutamakan penggunaan bahasa oleh masyarakat. Hal ini berbeza dengan Malaysia yang bersandarkan Tatabahasa Dewan sebagai panduan tatabahasa, yang mengutamakan rumus.

Sebagai penutup dan kesimpulan syarahan, beliau memetik pendapat Za’ba (2000), iaitu, walaupun terdapat kesalahan berbahasa yang dilakukan oleh orang Melayu dan mereka sendiri bersetuju dengan penggunaannya dan menganggap kesalahan itu betul, tiada siapa yang akan menahannya walaupun ahli-ahli bahasa tidak bersetuju dengan kesalahan tersebut.

Puan Aminah Awang Basar, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan menyampaikan ucapan mewakili Ketua Pengarah DBP.

Puan Aminah Awang Basar, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dalam ucapan mewakili Ketua Pengarah DBP berkata, kecekapan tatabahasa bukan sekadar menguji kebolehan pelajar mengingat dan memahami rumus, malah mendorong pelajar meningkatkan keterampilan melalui proses menganalisis bahasa, menilai dan mencipta.

Beliau menambah, dalam upaya memartabatkan bahasa Melayu melalui syarahan MABBIM, sinergi antara DBP dengan IPGK Bahasa Melayu ini wajar diteruskan oleh institusi pengajian tinggi yang lain juga.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014662
    Visit Today : 691
    This Month : 34007
    Total Visit : 1014662
    Hits Today : 2676
    Total Hits : 4139478
    Who's Online : 14
  • Kategori