Oleh NORAZLINDA MISRAN

Majlis pelancaran buku “Tun Khalil Yaakob: Artist – Potraits and Images”, disempurnakan oleh YAB Tuan Adly Zahari, Ketua Menteri Melaka.

BUKU lukisan Tun Khalil Yaakob: Artist – Portraits and Images yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah dilancarkan oleh YAB Tuan Adly Zahari, Ketua Menteri Melaka, pada 6 Oktober 2018 di Dataran Cendol, Jalan Laksamana, Melaka, bersempena dengan pameran solo Yang di-Pertua Negeri Melaka itu di Galeri Seni Rakyat Melaka bermula 11 Mei 2018 hingga akhir Oktober 2018.

YAB Tuan Adly Zahari, Ketua Menteri Melaka, ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Dalam ucapan perasmian, Tuan Adly menjelaskan bahawa penerbitan buku ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk menyemarakkan lagi dunia seni yang mewarnai Melaka sebagai negeri pelancongan dengan penglibatan pemimpin atasannya sendiri sebagai insan seni. Isi kandungan buku ini antaranya memaparkan karya seni hasil kreativiti Tun Mohd Khalil seperti karya yang dipamerkan di galeri tersebut.

Penyampaian cenderamata oleh Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, kepada TYT Tun Mohd. Khalil Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Katanya lagi, selain dedikasi terhadap tugas rasmi beliau, Tun Mohd. Khalil pembesar negeri yang mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap bidang seni lukis. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan 80 buah catan dan lukisan. Sebahagian daripadanya dipamerkan di galeri tersebut dan turut dibukukan. Terdapat juga lukisan beliau yang dijadikan koleksi persendirian peminat seni.

Tetamu yang hadir berpeluang bergambar kenangan bersama-sama Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Tugas rasmi Tun Mohd Khalil sebagai Yang di-Pertua Negeri juga tidak mengehadkan bakat semula jadi beliau untuk terus berkarya sehingga kini. Semangat dan kesungguhan Tun Mohd Khalil untuk memartabatkan seni, warisan dan budaya negeri Melaka jelas terpamer melalui catan dan lukisan yang diilhamkan mengikut suasana dan peristiwa penting melalui manifestasi artistik, ketelitian, keazaman dan kesabaran.

Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP turut mengambil peluang meminta Tun menandatangani buku “Tun Khalil Yaakob: Artist – Portraits and Images” terbitan DBP dan PERZIM.

Karya yang diperagakan dan dibukukan dalam koleksi ini dengan jelasnya memperlihatkan proses pengkaryaan serta kepelbagaian variasi karya pelukis. Dalam kesibukan tugas awam dan politik, Tun Mohd Khalil mencari ruang dan waktu untuk melukis, lazimnya selepas tengah malam, antara pukul 2.00 pagi hingga 4.30 pagi ketika waktu begitu tenang dan tenteram untuk berkarya.

Selain Tun Mohd. Khalil, yang turut hadir pada majlis itu ialah isterinya, Toh Puan Zurina Kassim, Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Hj. Khamis Hj. Abas, Pengurus Besar PERZIM, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Perasmian pembukaan Galeri Seni Rakyat Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, sambil disaksikan oleh TYT Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036211
    Visit Today : 989
    This Month : 18810
    Total Visit : 1036211
    Hits Today : 3750
    Total Hits : 4249840
    Who's Online : 9
  • Kategori