Oleh AHMAD KHALILUL HAMEEDY NORDIN

 

Tetamu meneliti Kitab Ilmu Bedil yang dipamerkan dalam seminar ini.

KARYA sastera sesuatu bangsa merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya; diwarisi zaman-berzaman sebagai cerminan sejarah dan budaya yang perlu dijadikan pedoman. Sejarah merekodkan betapa tidak terhitung jumlah tinggalan karya sastera ini yang menanti bangsanya untuk menggali semula khazanah ini daripada dibiarkan diam membisu tanpa sebarang penyelidikan yang tekun dan lestari. Oleh hal yang demikian, Bahagian Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Seminar Serantau Persenjataan dan Pertahanan dalam Sastera dan Sains Warisan pada 3 dan 4 Oktober di USM.

Hadirin yang terdiri daripada para pelajar, ahli akademik dan aktivis sastera dan budaya.

Seminar dua hari ini mengetengahkan ilmu persenjataan dan pertahanan yang terkandung dalam khazanah kesusasteraan Melayu, seterusnya merungkai kearifan tempatan yang terkandung dalam sains warisan bangsa ini. Bersesuaian dengan tema seminar, iaitu “Membina Benteng Patriotisme Bangsa”, para pemakalah telah membincangkan secara ilmiah setiap aspek persenjataan dan pertahanan yang telah dikaji menerusi karya-karya kesusasteraan Melayu dengan mengambil kira nilai keperibadian dan patriotisme masyarakat. Hal ini demikian kerana khazanah bangsa ini banyak merekodkan kewujudan tradisi persenjataan Melayu Nusantara serta kegunaannya dalam mempertahankan diri dan negara sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Contohnya karya seperti Kitab Ilmu Bedil menyajikan ilmu persenjataan dan pertahanan, manakala karya-karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Syair Perang Mengkasar, Hikayat Anggun Che Tunggal dan banyak lagi menghuraikan peri senjata dan ilmu pertahanan serta strategi peperangan alam Melayu.

Nisah Haron

Seminar yang dirasmikan oleh Pengarah Ombudsman USM, Prof. Dato’ Seri Md. Salleh Yaapar ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas. Peserta seminar terdiri daripada ahli akademik, aktivis budaya dan pelajar dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Seminar yang bersifat serantau ini telah membuka peluang kepada hadirin untuk berkongsi ilmu, idea, kepakaran dan pengalaman masing-masing.

Seminar ini diserikan lagi dengan kehadiran pemakalah yang merupakan pakar bidang persenjataan dan pertahanan, iaitu Brigedier Jeneral Dr. Mohd Radzi Abdul Hamid, selaku pembentang makalah “Strategi Perang Pra dan Pascamerdeka dalam Kesusasteraan Tanah Air”. Seorang lagi pembentang yang menarik minat hadirin ialah pengasas dan guru utama Perguruan Seni Sukma Kencana, Tuan Haji Muhammad Hanif Haji Hosainel Majidi yang membentangkan makalah “Seni Pedang Melayu: Kelestarian Warisan Tanah Jawi”.

Yang turut hadir membentangkan makalah ialah penggiat sastera terkenal tanah air, Nisah Haron. Pembentangan beliau menyentuh persoalan tentang perjuangan dan suara wanita dalam Syair Siti Zubaidah: Perang China dengan menekankan aspek-aspek persenjataan dan pertahanan daripada kaca mata seorang wanita. Menurut beliau, karya ini perlu menjadi bacaan wajib kepada setiap wanita kerana mengandungi banyak pengajaran tentang wanita yang jarang diketengahkan dalam karya tradisional.

Sepanjang dua hari, pelbagai karya sastera Melayu diketengahkan kandungannya yang menyajikan ilmu persenjataan dan pertahanan senjata fizikal seperti keris, pedang, tombak, lembing, senapang, terakul, meriam dan pistol. Selain itu, senjata yang tersirat turut disentuh, seperti penggunaan ilmu kebatinan (mantera, doa, selawat, pendinding dan sebagainya), ilmu kearifan tempatan (penggunaan alam sebagai senjata) dan senjata psikologi (strategi perang, teknik tipu helah, diplomasi). Persoalan persenjataan dan pertahanan yang sebelum ini jarang disentuh oleh para sarjana dibahaskan secara ilmiah menerusi perkongsian para pemakalah. Para pemakalah tidak hanya menggunakan karya sastera Melayu tradisional, bahkan banyak karya sastera Melayu moden dikaji dan dibahaskan seperti 1515 (Faisal Tehrani) dan Platun Harimau (Mohd Radzi Abdul Hamid).

Penyampaian cenderamata oleh Prof. Dato’ Seri Mohd. Salleh (kanan) kepada Datuk Abdul Adzis.

Seminar ini dapat menampilkan kewujudan ilmu sains warisan budaya yang dimiliki oleh masyarakat terdahulu dalam membina sistem persenjataan dan pertahanan mereka dan kerelevanannya dalam kehidupan masa kini. Selain itu, seminar ini dapat mengetengahkan teknologi pertahanan masyarakat silam dalam mempertahankan negeri dan wilayah daripada ancaman musuh. Hal ini bertepatan dengan objektif seminar, iaitu membangkitkan semangat patriotisme dan suara rakyat dalam mempertahankan negara dan maruah bangsa daripada ancaman dalam dan luar negara. Seminar ini merupakan salah satu usaha untuk memastikan ilmu-ilmu yang terkandung dalam khazanah bangsa ini diketengahkan, dikaji dan seterusnya dilestarikan dalam kehidupan masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037685
    Visit Today : 1167
    This Month : 20284
    Total Visit : 1037685
    Hits Today : 3486
    Total Hits : 4255841
    Who's Online : 15
  • Kategori