Tajuk              :           Kontrak dalam Sektor Pembinaan

Penulis           :           Aminah Md Yusof

Tahun Terbit  :           2017

 Harga            :           RM20.00

 Pengulas       :           Haeme Hashim

SEJAK tahun 1990-an, sektor pembinaan di Malaysia berkembang dari semasa ke semasa. Perkembangan yang memberangsangkan ini menyebabkan banyak bangunan dan prasarana dibina dengan pesat dan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia.

Para pakar ekonomi menjangka bahawa pertumbuhan sektor pembinaan negara akan meningkat 9 peratus pada tahun 2018. Malah, sektor pembinaan di Malaysia akan dapat mengekalkan momentum pertumbuhan tersebut pada tahun 2019 dengan sasaran penggembelengan pendapatan antara RM25 bilion dengan RM30 bilion.

Natijahnya, syarikat tidak perlu lagi aktif mencari peluang di luar negara kerana sudah terdapat banyak peluang projek pembinaan dan prasarana berskala besar di dalam negara. Biarpun mutakhir ini pihak kerajaan telah mengkaji dan memotong perbelanjaan beberapa projek pembinaan dan prasarana tertentu, pakar ekonomi masih optimis bahawa sektor pembinaan akan kekal berkembang walaupun perlahan sedikit pada tahun 2019.

Justeru, melihat pada kepentingan dan kepesatan sektor pembinaan, salah satu daripada unsur utama yang perlu diambil kira oleh syarikat pembinaan serta pihak-pihak yang terlibat dengan pembinaan termasuk kakitangan awam yang berkaitan ialah kontrak pembinaan. Sehubungan dengan itu, buku Kontrak dalam Sektor Pembinaan, tulisan Aminah Md Yusof sesuai untuk dijadikan rujukan dalam memahami sesuatu kontrak dalam sektor pembinaan. Jika kontrak pembinaan tidak didraf dengan baik dan jelas atau mengabaikan aspek-aspek penting sesuatu kontrak, tidak mustahil akan ada pihak yang teraniaya dan mengalami kerugian.

Buku ini dibahagikan kepada beberapa bab yang membincangkan bukan sahaja kontrak pembinaan malah latar belakang dan prosedur yang terlibat dalam sektor pembinaan. Yang dibincangkan merupakan aspek utama yang perlu diambil kira dalam pengurusan projek pembinaan.

Melihat pada situasi hari ini, pelbagai isu yang berlaku terhadap banyak projek mega kerajaan bukan sahaja menyukarkan kerajaan untuk melakukan variasi (pengubahsuaian) kepada kandungan kontrak, malah sukar untuk menamatkan kontrak pembinaan. Oleh itu, buku ini menerangkan bagaimana sesuatu kontrak pembinaan boleh atau wajar untuk ditamatkan, melakukan variasi kepada terma kontrak serta bagaimana pertelingkahan melibatkan projek tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

Selain itu, buku ini menerangkan jenis-jenis tender serta prosedur yang dilaksanakan di Malaysia. Antara jenis tender yang dipraktikkan di Malaysia dan dibincangkan dalam buku ini ialah tender terbuka, tender terhad, tender terpilih, tender prakelayakan dan tender perundingan. Penulis juga turut menerangkan bahawa menjadi kebiasaan untuk pihak pemberi tender menggabungkan jenis-jenis tender ini tertakluk kepada jenis projek dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Lembaga Perolehan Kerja.

Industri pembinaan melibatkan banyak pihak dan memerlukan kepakaran pelbagai bidang termasuk pihak perundang-undangan. Sektor ini amat terdedah kepada pelbagai jenis pertikaian dan salah faham yang boleh menyebabkan sesuatu kontrak pembinaan itu boleh dipertikaikan di mahkamah atau secara timbang tara. Kontrak pembinaan yang tidak didraf dengan baik dan jelas akan membawa kepada pertikaian kedua-dua belah pihak.

Pertikaian di mahkamah mahupun secara timbang tara akan memakan kos litigasi yang tinggi serta mengambil masa yang lama untuk diselesaikan hingga mampu merencatkan perjalanan sesebuah projek pembinaan. Dengan adanya kontrak pembinaan yang didraf dengan jelas dan sistematik, kegagalan mana-mana pihak dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut kontrak yang telah mereka tandatangani boleh diselesaikan dengan baik, bak kata pepatah, “bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak”.

Seterusnya, jenis-jenis kontrak pembinaan yang diamalkan di Malaysia juga turut dibincangkan dalam buku ini. Terdapat dua jenis kotrak pembinaan yang diamalkan di Malaysia, iaitu kontrak berasaskan pembayaran dan kontrak berasakan kaedah pengendalian projek. Kontrak berasaskan pembayaran dibahagikan kepada kontrak kaedah harga tetap, kontrak kaedah bayar ganti kos dan kontrak kaedah kos sasaran.

Sementara itu, kontrak berasaskan kaedah pengendalian projek pula terdiri daripada kaedah tradisional, kaedah reka dan bina, kaedah pengurusan serta kaedah bina-kendali dan pindah. Sepertimana jenis-jenis tender boleh digabungkan, kedua-dua jenis kontrak pembinaan ini juga boleh digabungkan mengikut kesesuaian dan situasi sesebuah projek pembinaan.

Walau bagaimanapun, memandangkan latar belakang penulis bukan daripada bidang perundang-undangan, buku ini tidak membincangkan secara mendalam tentang bagaimana sesuatu kontrak pembinaan perlu didraf. Namun, semua perbincangan sudah cukup untuk memberikan pengetahuan yang baik kepada para pembaca khususnya kepada mereka yang berada dalam industri pembinaan untuk lebih memahami bagaimana kontrak dalam sektor pembinaan diamalkan di Malaysia.

Buku ini menjadi rujukan yang sangat bermanfaat kepada mereka yang terlibat dalam bidang pembinaan. Hal ini demikian kerana kontrak pembinaan perlu ditadbir dengan baik dan teratur bagi mengelakkan sebarang kerencatan kepada perjalanan sesebuah projek. Adalah amat berisiko bagi ahli industri pembinaan ini, terutamanya mereka yang terlibat dalam pengurusan berkaitan pembinaan termasuk mendraf kontrak pembinaan, gagal untuk memahami konsep dan amalan yang berkaitan dengan sektor pembinaan di Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014995
    Visit Today : 1024
    This Month : 34340
    Total Visit : 1014995
    Hits Today : 5522
    Total Hits : 4142324
    Who's Online : 16
  • Kategori