Peserta bergambar kenangan di INTAN Kampus Utama Bukit Kiara.

Oleh SITI IRNI YUSLINDA MOSMAN

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah menjalinkan sinergi untuk menganjurkan Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa. Pada tahun 2018, seramai 76 orang peserta daripada kementerian/jabatan/agensi terpilih telah mengikuti tiga siri Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa di INTAN Kampus Utama, Bukit Kiara dan INTAN Kampus Wilayah Tengah (INTENGAH). Kursus ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun dalam kalangan penjawat awam melalui latihan kebahasaan secara formal dan berperingkat yang diberikan kepada mereka yang dilantik sebagai perujuk bahasa.

Puan Faridah A. Rahman menerangkan kepada peserta pentingnya mengetahui aspek tatabahasa sebelum menjadi seorang munsyi bahasa.

Kursus siri 1/2018 telah diadakan dari 19 hingga 23 Mac 2018 di INTENGAH, yang melibatkan 34 orang peserta, manakala siri 2/2018 diadakan dari 16 hingga 20 Julai 2018, di INTENGAH juga, yang melibatkan 20 orang peserta. Kursus siri 3/2018 telah diadakan dari 13 hingga 17 Ogos 2018, di INTAN Kampus Utama Bukit Kiara, yang melibatkan 22 orang peserta daripada lima kementerian/jabatan/agensi, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Sukan Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Pesertanya terdiri daripada penjawat awam peringkat pengurusan dan profesional yang mempunyai minat dan kecenderungan dalam bidang kebahasaan, bersesuaian dengan tugas sebagai perujuk bahasa di kementerian/jabatan/agensi masing-masing.

Peserta wajib menduduki ujian pemantapan bahasa untuk melayakkan mereka sebagai Munsyi Muda Bahasa.

Sepanjang tempoh lima hari berkursus, para peserta telah diajar, dibimbing dan mengikuti latihan kebahasaan secara intensif oleh Puan Faridah A. Rahman dan Puan Atiah Mohd Salleh tentang aspek tatabahasa dan penulisan dokumen rasmi. Pada hari terakhir bengkel, peserta menduduki ujian pemantapan bahasa untuk menguji kefahaman mereka sepanjang berkursus. Antara syarat pentauliahan sebagai Munsyi Muda Bahasa ialah, peserta perlu lulus ujian tersebut sebelum mengikuti kursus pemantapan.

Pembimbing dan pelatih munsyi muda , Puan Atiah Mohd Salleh menerima cenderamata penghargaan daripada pihak penganjur.

Secara keseluruhannya kursus ini berjaya memantapkan pengetahuan bahasa Melayu setiap peserta dan memberikan ruang kepada mereka untuk bertukar-tukar pendapat tentang isu terkini bahasa Melayu. Semoga setiap peserta akan memanfaatkan pengetahuan dan maklumat yang ditimba di kementerian/jabatan/agensi masing-masing.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043563
    Visit Today : 1427
    This Month : 26162
    Total Visit : 1043563
    Hits Today : 5324
    Total Hits : 4284919
    Who's Online : 13
  • Kategori