Oleh SITI IRNI YUSLINDA MOSMAN

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan turut memberikan ruang dan peluang kepada penulis muda berbangsa Cina untuk menghasilkan karya kreatif. Tidak sekadar pelajar aliran sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, DBP juga memberikan ruang kepada para pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), iaitu institusi pendidikan yang jarang terlibat dalam dunia sastera Melayu.

Zaleha Ahmat membimbing peserta bengkel untuk menghasilkan karya kreatif.

Bagi memperluas sasaran kepada remaja bukan Melayu, DBP dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Han Malaysia, telah mengambil usaha mengadakan bengkel penulisan cerpen untuk para pelajar SMPC di Zon Utara dan Zon Timur. Bengkel ini bertujuan untuk membina dan menggilap bakat penulis bukan Melayu serta memberikan pendedahan dan mempertajam persepsi, imaginasi dan sensitiviti mereka dalam bidang penulisan kreatif.

Para peserta turut berbincang bersama-sama rakan ketika menyiapkan tugasan yang diberi.

Bengkel ini telah diadakan dari 18 hingga 20 Ogos 2018 di Kem PLKN White Resort, Pulau Pinang. Seramai 13 orang peserta daripada lima buah SMPC Zon Utara dan Zon Timur telah mengambil bahagian, iaitu Sekolah Tinggi Sin Min, Sungai Petani, Kedah, Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sekolah Menengah Persendirian Chung Ling, Pulau Pinang, Sekolah Menengah Persendirian Phor, Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan, Pahang. Penglibatan mereka menunjukkan petanda positif dalam perkembangan bahasa Melayu di negara ini dan sedikit sebanyak dapat membetulkan persepsi masyarakat yang beranggapan bahawa bahasa Melayu dipinggirkan khususnya oleh remaja bukan Melayu.

Peserta telah dibimbing dan dilatih oleh cerpenis dan penganalisis kesusasteraan Melayu, Puan Zaleha Ahmat secara sistematik dan berkesan dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Selain pembimbing, para peserta turut dipantau oleh guru pengiring masing-masing untuk membantu peserta menghasilkan cerpen. Pada hari terakhir bengkel, semua peserta berjaya menghasilkan cerpen masing-masing.

Para peserta bergambar kenangan bersama-sama pembimbing dan guru pengiring.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014827
    Visit Today : 856
    This Month : 34172
    Total Visit : 1014827
    Hits Today : 3326
    Total Hits : 4140128
    Who's Online : 13
  • Kategori