Judul: Naga dan Agam

Diceritakan semula: Salmiah Kasmuni

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2018

Pengulas: Atiqah Abd Rahim

 

CERITA rakyat menjadi bahan bacaan sastera yang menghiburkan dan mempunyai nilai-nilai murni yang boleh dicontohi. Penceritaan semula atau adaptasi daripada cerita sebenar yang berlaku dalam masyarakat dapat dijadikan teladan yang baik, khususnya kepada kanak-kanak. Penceritaan yang ringkas dan ilustrasi lukisan yang berwarna-warni dapat menarik perhatian pembaca. Buku ini adalah untuk peringkat umur dari 3 hingga 12 tahun, dan boleh dijadikan bahan bacaan untuk orang dewasa juga.

Buku ini mengisahkan seekor naga yang tinggal di dalam sebuah tasik di perkampungan bernama Kampung Tasik. Naga itu menjaga tasik tersebut dengan baik. Sepanjang penjagaannya, banyak pokok teratai tumbuh dan ikan-ikan hidup di dalamnya. Namun begitu, penduduk Kampung Tasik sangat takut akan Naga dan mereka tidak pernah mendekati tasik tersebut.

Suatu pagi, seorang budak lelaki dari kampung itu yang bernama Agam menghampiri tasik. Naga mengajak Agam menjaga tasik bersama-samanya. Sejak persahabatan mereka terjalin, penduduk kampung tidak lagi takut akan Naga. Mereka mula menangkap ikan di tasik itu.

Pada suatu hari, hujan turun dengan lebatnya dan air tasik berombak-ombak. Batang-batang kayu yang reput timbul di permukaan air dan pokok-pokok teratai tercabut. Agam dan penduduk kampung berasa sangat takut. Tiba-tiba, dua ekor ular hitam yang besar dan bengis muncul di permukaan air tasik. Orang-orang kampung mula ketakutan.

Kedua-dua ekor ular hitam itu berenang dengan ganas dan memusnahkan bunga dan pokok di dalam tasik. Tidak lama kemudiaan, Naga muncul dan melibas kedua-dua ekor ular yang jahat itu dengan ekornya. Pergelutan berterusan dan masing-masing tidak mahu mengaku kalah. Agam berasa kasihan melihat kawannya bergelut berseorangan dan cuba membantu kawannya melawan ular-ular tersebut. Salah seekor ular itu melibas Agam dengan ekornya dan Agam terjatuh di tengah tasik.

Melihat pertarungan sengit itu, hidupan di dalam tasik cuba membantu Agam dan Naga. Akar-akar pokok teratai timbul dari dasar tasik dan melilit kedua-dua ular hitam itu. Ikan-ikan pula menggigit ular-ular hitam itu.

Akhirnya, kedua-dua ekor ular mengaku kalah lalu segera melarikan diri ke dalam hutan. Kawasan tasik kembali tenang. Pokok-pokok teratai kembali berbunga dan ikan-ikan bebas berenang. Penduduk kampung berasa lega dan mereka dapat menangkap ikan di tasik itu semula. Naga gembira kerana Agam dan orang kampung mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjaga tasik bersama-samanya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1041139
    Visit Today : 454
    This Month : 23738
    Total Visit : 1041139
    Hits Today : 1284
    Total Hits : 4271827
    Who's Online : 14
  • Kategori