Oleh NORAZLINDA MISRAN

MAJLIS Pelancaran dan Bicara Buku Karya Agung Hikayat Nakhoda Muda anjuran Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan pada 14 Ogos 2018 di aras 31, Menara DBP.

Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan turut menyampaikan ucapan alu-aluan.

Karya agung terbitan Yayasan Karyawan ini telah ditransliterasikan daripada tulisan Jawi kepada tulisan rumi yang berbahasa Melayu. Hikayat ini dikaji dan disunting oleh Dr. Noriah Taslim, seorang pakar kesusasteraan Melayu tradisional.

Hikayat Nakhoda Muda merupakan hikayat yang ditulis secara biografi oleh Nakhoda La’uddin di Kuala Pali, Lais, Bengkulu, Indonesia yang mengisahkan hidup bapanya Nakhoda Muda atau Kiai Demang Purwasedana. Hikayat ini boleh dianggap sebagai salah sebuah karya Melayu transisi yang terawal; mungkin tertulis pada tahun 1788 (Marsden, 1830), atau lebih awal daripada itu (1766) kerana Butter Hannings yang menjadi penaung penulisan hikayat ini menamatkan jawatannya sebagai Residen di Lais (atau Laye) pada tahun 1788.

Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi Lembaga Amanah, Yayasan Karyawan ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Hikayat ini mendahului Hikayat Abdullah karangan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang pernah ditulis pada abad ke-19 Masihi. Hikayat Nakhoda Muda ini juga telah terlebih dahulu melepaskan diri daripada tradisi kesusasteraan Melayu lama yang meriwayatkan keagungan kesultanan, kewiraan dan epik, sebaliknya tentang seorang manusia biasa yang bukan keturunan bangsawan.

Hikayat ini meriwayatkan penglibatan Nakhoda Muda dan keluarganya dalam perdagangan lada hitam semasa British menduduki Bengkulu, manakala Batavia dikuasai oleh Belanda. Nakhoda La’uddin memaparkan bahawa bapanya seorang pedagang yang memiliki integriti, kesetiaan, jujur dan mengutamakan kemerdekaan dan harga diri, maruah dan kehormatan keluarganya dalam menghadapi kemelut persaingan perniagaan lada hitam pada masa itu.

Gimik pelancaran buku Hikayat Agong Nakhoda Muda yang disempurnakan oleh Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi Lembaga Amanah, Yayasan Karyawan.

Majlis bicara buku yang diadakan bersempena dengan pelancaran Hikayat Nakhoda Muda ini telah menampilkan tiga orang tokoh utama, iaitu Dr. Noriah, Profesor Madya Dr. Hadijah Rahmat (pensyarah di Institut Pendidikan Nasional, Singapura) dan Dr. Muhd Yusuf Ibrahim (Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor). Majlis pelancaran dan bicara buku karya agung Hikayat Nakhoda Muda ini telah disempurnakan oleh Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi Lembaga Amanah, Yayasan Karyawan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035658
    Visit Today : 436
    This Month : 18256
    Total Visit : 1035658
    Hits Today : 2036
    Total Hits : 4248126
    Who's Online : 11
  • Kategori