Tajuk:                        Sejarah Thai Zaman Bangkok 1767-1957 (Edisi Kedua)

Penulis:                     Kobkua Suwannathat-Pian

Tahun Terbit:          2018

Harga:                       RM32.00

Pengulas:                 ABDUL HAKAM JAMALUDDIN

THAILAND yang terletak di Asia Tenggara merupakan negara yang merdeka dan berdaulat. Dari segi geografi, negara ini bersambung daratan tanah besar, iaitu berjiran dengan Myanmar, Kemboja, Laos dan Malaysia. Majoriti masyarakat Thai terdiri daripada bangsa Siam dan menjadi tunjang negara ini.

Oleh itu, bagi memahami sejarah Thai dalam kalangan pembaca rakyat Malaysia, buku bertajuk Sejarah Thai Zaman Bangkok 1767-1957 wajar dijadikan bahan bacaan dan rujukan. Buku ini merupakan edisi kedua terbitan tahun 2018 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan edisi pertama telah diterbitkan pada tahun 1991. Bagi edisi kali ini, penulis memaklumkan bahawa telah berlaku penambahan bab dengan melanjutkan tempoh kajian sehingga tahun 1957. Secara umumnya, buku ini mempunyai 405 muka surat dengan lapan bab.

Bagi kalangan pembaca tempatan, buku ini sangat sesuai dibaca oleh mereka yang berminat untuk mengetahui sejarah negara Thai. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat kita kurang didedahkan kepada sejarah negara Thai berbanding dengan sejarah Indonesia. Faktor ini berlaku mungkin kerana masyarakat kita menganggap bahawa orang Thai atau orang Siam sebagai masyarakat yang asing jika dibandingkan dengan orang Indonesia yang lebih rapat dengan orang Melayu dari segi budaya, bahasa dan agama.

Negara Thai merupakan negara yang mengamalkan sistem beraja seperti negara Malaysia. Namun demikian, dalam hal tertentu wujud perbezaan kerana negara Thai hanya mempunyai seorang raja pemerintah berbanding dengan Malaysia yang mempunyai sembilan orang raja pemerintah yang memerintah negeri masing-masing.

Dalam bab awal buku ini, penulis memaklumkan bahawa sistem beraja yang diamalkan oleh negara Thai sehingga hari ini terdiri daripada Dinasti Chakri. Dinasti ini lanjutan daripada kewujudan dinasti sebelumnya, seperti Ayudhya yang berkuasa antara tahun 1350 hingga 1750 dan Sukhothai yang memerintah antara 1238 hingga 1350.

Sebelum munculnya dinasti baharu, kerajaan Ayudhya telah dimusnahkan oleh tentera Myanmar pada April 1767. Kejatuhan kerajaan ini menunjukkan bahawa Siam tidak lagi mempunyai kerajaan pusat yang dapat menguasai seluruh negara itu. Keadaan ini mengakibatkan Siam telah terbahagi kepada beberapa buah negeri kecil yang bebas antara satu sama lain. Dalam suasana politik dan ketenteraan yang kurang menentu, muncul seorang pemimpin yang berwibawa, berkarisma dan berkebolehan tinggi, iaitu Phya Taksin. Kemunculan Taksin bukan sahaja dianggap sebagai pemimpin calon takhta Siam yang direstui oleh agama Buddha, malah boleh menyelamatkan agama dan masyarakat Siam daripada penderitaan dan huru-hara. Namun begitu, pada tahun 1782, Raja Taksin digulingkan kerana dianggap sebagai kurang siuman. Raja Taksin dijatuhi hukuman mati mengikut undang-undang istana dengan tangan dan kaki diikat dan dimasukkan ke dalam guni kain baldu. Selepas itu, leher baginda dipukul dengan kayu.

Selepas kematian Taksin, Siam memulakan dinasti baharu yang kekal memerintah sehingga hari ini. Chao Phraya Chakri dipilih untuk menggantikan Raja Taksin. Chakri asalnya merupakan jeneral yang sangat berpengaruh. Chakri menaiki takhta pada 6 April 1782 dan tiga tahun kemudian telah bertindak memindahkan ibu kota Siam ke Bangkok. Apabila Chakri dilantik sebagai Raja Siam yang baharu, dinasti ini telah dinamakan dengan Dinasti Chakri.

Ajaran agama Buddha merupakan elemen penting sebagai asas kekuatan dan kedudukan seseorang raja di Siam. Setelah mengambil alih kekuasaan di Siam, Chakri memakai gelaran Rama I. Pemerintahan Dinasti Chakri mengamalkan konsep sosiopolitik Buddha Theravada sebagai asas politik. Melalui konsep Buddha Theravada, seseorang calon yang bakal menaiki takhta tidak semestinya berasal daripada dinasti yang pernah memerintah, tetapi perlu memaparkan bun-barami atau kuasa akhlak dan kebolehan peribadi yang luar biasa.

Apabila dilihat dari struktur sosial masyarakat pula, pada asasnya masyarakat tradisional Thai terdiri daripada empat golongan sosial, iaitu nai, phrai, that, dan sangha. Sejak zaman Raja Taksin yang membuktikan perkembangan pesat perniagaan sebagai langkah untuk memulihkan ekonomi dan kuasa Siam, masyarakat Cina muncul di Thonburi-Bangkok. Kelompok ini semakin bertambah jumlahnya kesan daripada keperluan tenaga mahir dalam pelbagai bidang, seperti perniagaan, perkapalan, kewangan dan perindustrian. Peranan masyarakat Cina dilihat penting dalam bidang ekonomi pada akhir pemerintahan Rama III. Dalam buku ini, dijelaskan lebih lanjut tentang kedudukan empat golongan sosial itu.

Buku ini turut memuatkan fakta tentang hubungan Siam dengan negeri Melayu, terutama Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Pelbagai keadaan boleh ditafsirkan untuk mengenal pasti hubungan kerajaan Thai dengan negeri Melayu tersebut.

Menjelang abad ke-19 dan awal abad ke-20, agak menarik untuk mengetahui perkembangan yang berlaku dalam negara Thai. Hal ini dikatakan demikian kerana zaman ini merupakan zaman penguasaan pengaruh kuasa Barat terhadap negara di Asia Tenggara. Masyarakat Thai berjaya menghalang campur tangan kekuasaan Barat di negara mereka. Raja Mongkut dan anaknya Raja Chulalongkorn merupakan raja Dinasti Chakri yang sangat berwibawa ketika berhadapan dengan kuasa Barat. Kedua-dua orang tokoh ini telah membawa perubahan dalam sosial masyarakat Siam. Sistem pendidikan Barat dibawa masuk ke negara Thai, tetapi pada masa yang sama, sistem pendidikan tradisional dikekalkan.

Namun begitu, pada tahun 1932 Dinasti Chakri ini tidak dapat mempertahankan sistem pemerintahan mutlak apabila pemimpin awam dan tentera Parti Rakyat Khana Rad berjaya merampas kuasa istana dan memaksa pihak istana menerima sistem beraja berperlembagaan. Bermula daripada peristiwa ini, negara Thai mula memasuki sistem pemerintahan demokrasi. Walaupun pelbagai keadaan terpaksa dilalui oleh Dinasti Chakri terutama pada zaman moden ini, semua golongan rakyat Thai tetap menyanjung kedudukan raja dan mereka mengekalkan institusi ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013880
    Visit Today : 1143
    This Month : 33225
    Total Visit : 1013880
    Hits Today : 4152
    Total Hits : 4136257
    Who's Online : 8
  • Kategori