Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

MAJLIS Perhimpunan Bulanan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi bulan Ogos 2018 mencatat sejarah tersendiri apabila Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP yang baharu pada 9 Julai 2018, menyampaikan amanat sulungnya kepada warga DBP dengan cara dan persembahan yang cukup menarik. Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ini berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Profesor Dr. Mohamed Hatta memulakan amanat beliau dengan frasa “Salam Pertama untuk Keluarga Dewan”, yang kemudiannya disusuli dengan tiga rangkap pantun berkait yang diciptanya berdasarkan unsur yang ada pada logo DBP, iaitu “daun lontar”, tangkai resam” dan “Dewan Bahasa dan Pustaka”. Tiga rangkap pantun tersebut adalah seperti yang berikut:

            Anggun batik dilukis kantan,

            Lipat kain berlapis-lapis;

            Daun lontar menjadi bahan,

            Tempat tulis Quran dan hadis.

 

            Lipat kain berlapis-lapis,

            Bingkai gambar si pohon sena;

            Tempat tulis Quran dan hadis,

            Tangkai resam menjadi pena.

 

            Bingkai gambar si pohon sena,

            Untuk santun insan sedunia;

            Tangkai resam menjadi pena,

            Bentuk buku Dewan Bahasa.

 

Selaku doktor pakar dan pakar runding dalam bidang psikiatri, Profesor Dr. Mohamed Hatta menyampaikan amanat sulungnya kepada warga DBP dengan empat domain hayat, iaitu biofizikal, psikologikal, sosial dan spiritual. Namun demikian, yang paling diutamakan ialah psikologi insan yang dipacu oleh kognisi (pengetahuan) dan emosi (perasaan). Kognisi diperoleh berasaskan akal (aql) kerana akal akan memastikan kita sentiasa dalam kewarasan lantas melahirkan insan yang matang. Emosi yang dikawal oleh kalbu (qalb) pula akan menjadikan kita berada dalam keikhlasan dan seterusnya menjadikan kita insan yang hidup dan bekerja dalam ketenangan.

Profesor Dr. Mohamed Hatta memperkenalkan frasa “Dengan Budi Prihatin”, iaitu  daripada kependekan “DBP”.

Ketika menyentuh soal tanggungjawab sebagai pekerja, Profesor Dr. Mohamed Hatta menekankan pentingnya sifat amanah dan jujur. Kenyataannya disandarkan pada ayat al-Quran daripada Surah al-Qasas ayat 26, yang bermaksud “Seorang daripada mereka berkata, ‘Wahai ayahku gajilah ia; sesungguhnya paling baik yang engkau boleh gaji ialah orang yang kuat dan beramanah’.” Beliau turut memetik hadis riwayat Ahmad yang bermaksud, “Ada empat (sifat) jika kamu mempunyainya, tidaklah memudaratkan jika kamu kekurangan apa-apa daripada dunia: penjagaan amanah, kebenaran pertuturan, kebaikan akhlak dan kesucian makanan.”

Hadis tersebut menjadi pegangannya sepanjang tempoh berkhidmat sebagai doktor dan pensyarah. Berdasarkan hadis tersebut juga, beliau menyeru warga DBP, termasuk individu yang bergelar pejuang bahasa dan sastera Melayu, supaya menyerapkan lima sifat positif ke dalam jiwa masing-masing dalam usaha mendaulatkan bahasa dan sastera Melayu. Sifat tersebut ialah amanah, cekap, cemerlang, seimbang dan muhasabah. Beliau juga menyenaraikan 10 ciri kerohanian sejagat tetapi mengambil tiga ciri yang dianggap perlu ada dalam jiwa setiap insan, iaitu keikhlasan, keadilan dan kebijaksanaan. Beliau percaya, dengan menyerap semua sifat positif dan mengadunkannya dengan tiga ciri tersebut, hati yang keras seperti batu itu akan menjadi lembut, malah akan melahirkan insan yang berperibadi cemerlang di dunia dan akhirat. Hal yang sedemikian ini juga bertepatan dengan hadis riwayat Muslim yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak memandang tubuh kalian dan tidak pula rupa kalian, tetapi memandang hati (kalbu) kalian.” “Soal pentingnya menjaga hati bukan sahaja diutamakan dalam Islam malah agama lain seperti Kristian dan Hindu,” demikian menurut Profesor Dr. Mohamed Hatta. Beliau memaparkan petikan kata daripada Bible dan Bhagavad Gita untuk menyokong kenyataan tersebut.

Dalam majlis ini juga, Profesor Dr. Mohamed Hatta turut berkongsi pengalaman pertama menjejakkan kaki di DBP, iaitu pada tahun 1962 semasa berlangsungnya pertandingan pidato Bulan Bahasa Kebangsaan. Nostalgia lain yang dikongsikan dengan warga DBP ialah pengalaman menerbitkan buku dengan DBP. Antara buku tersebut ialah Perubatan Psikologi Islam yang diterbitkan pada tahun 1995 dan Tsunami: Grief Beyond Tears yang diterbitkan pada tahun 2006.

Dalam penyampaian amanat yang disertakan dengan paparan slaid yang menarik, Profesor Dr. Mohamed Hatta berkongsi hasrat dan cita-cita beliau agar DBP bukan hanya difahami sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi juga bermaksud “Dengan Budi Prihatin”. Dengan frasa baharu itu, beliau merangka masa depan DBP yang bermula dengan pengislahan keluarga DBP, kemudian pemulihan imej DBP dan seterusnya pengukuhan institusi DBP pada peringkat sejagat. Melalui tiga fasa itu, beliau yakin DBP bukan sahaja relevan untuk Malaysia malah untuk seantero dunia.

Profesor Dr. Mohamed Hatta menampilkan kelainan dalam penyampaian amanatnya kepada warga DBP.

Profesor Dr. Mohamed Hatta mengakhiri ucapannya dengan paparan slaid yang bertulis “gergasi lesu” dan “gergasi bangkit” yang disimbolikkan dengan visual harimau sedang tidur dan harimau sedang mengaum. Menurut pandangannya sebagai seorang doktor perubatan, DBP tidak “sakit” tetapi hanya lesu dan perlu diberi vitamin yang terbaik agar institusi ini bukan sahaja digeruni malah dihormati dan dipandang tinggi oleh semua pihak.

Yang menariknya juga, lafaz ikrar dalam majlis Perhimpunan Bulanan DBP kali ini dipimpin oleh Pengerusi Lembaga Pengelola sendiri. Turut bersama-sama beliau di pentas untuk melafazkan ikrar ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharuddin, pengarah-pengarah jabatan dan kumpulan koir DBP.

Acara lafaz ikrar oleh semua warga DBP yang dipimpin oleh Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013848
    Visit Today : 1111
    This Month : 33193
    Total Visit : 1013848
    Hits Today : 4022
    Total Hits : 4136127
    Who's Online : 9
  • Kategori