Buku Minang

Judul             : Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau, 1824-1957

Pengarang   : Nelmawarni Bungo dan Nordin Hussin

Terbitan       : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2018

Pengulas     : ABDUL HAKAM BIN JAMALUDDIN

 

HUBUNGAN Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera memang rapat sejak dahulu lagi. Walaupun dipisahkan oleh Selat Melaka, faktor geografi ini tidak menjadi penghalang tetapi menjadi jambatan yang saling menghubungkan masyarakat dan penduduk di kedua-dua wilayah ini. Yang menariknya, masyarakat di kedua-dua kawasan ini tidak menganggap Tanah Melayu dan Sumatera sebagai wilayah asing. Ketika kuasa Barat mula meluaskan jajahan di Tanah Melayu dan Sumatera, hubungan masyarakat di kedua-dua wilayah ini tidak terhenti begitu sahaja akibat daripada penjajahan. Dalam keadaan tertentu, berlaku proses penghijrahan secara besar-besaran masyarakat di Sumatera ke Tanah Melayu kerana tekanan daripada penjajah Belanda. Selain itu, terdapat faktor lain hal ini terjadi.

Bagi melihat proses penghijrahan dan sumbangan masyarakat di Sumatera ke Tanah Melayu, buku Perintis Pembangunan Negeri Melayu: Perantau dan Peneroka Minangkabau, 1824-1957 boleh dijadikan bacaan bagi mereka yang ingin mengkaji dan memahami pembentukan sosial masyarakat di negeri Melayu sebelum merdeka. Buku hasil tulisan Nelmawarni Bungo dan Nordin Hussin ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2018, setebal 576 muka surat.

Buku ini merupakan kajian ilmiah dan boleh ditambah daftar kepustakaan oleh golongan pengkaji yang ingin mengkaji sosial masyarakat di negeri Melayu. Memang tidak dinafikan bahawa banyak etnik Melayu di kepulauan Indonesia berhijrah ke Tanah Melayu, seperti Kerinchi, Bugis, Jawa, dan Banjar. Buku ini secara khususnya memberikan tumpuan kepada masyarakat Minangkabau yang datang merantau serta meneroka beberapa petempatan di negeri Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya merantau sangat sinonim dengan masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera. Tidak hanya di Tanah Melayu, budaya merantau ini menyebabkan masyarakat Minangkabau tersebar luas di kepulauan Melayu yang lain.

Setibanya di negeri Melayu, masyarakat Minangkabau tidak mudah meresapi budaya tempatan dan jika ada pun, resapan budaya tempatan berlaku dalam skala kecil. Masyarakat Minangkabau ini akan cuba mengekalkan identiti dan budaya mereka sehingga sukar untuk dipengaruhi oleh budaya bukan Minang. Salah satu buktinya ialah kewujudan Negeri Sembilan yang sehingga kini masih mengamalkan adat perpatih.

Kedatangan orang Minangkabau ke negeri Melayu turut memberikan sumbangan kepada bidang ekonomi tempatan. Masyarakat Minangkabau banyak menjalankan kegiatan pertanian, terutamanya penanaman padi seperti di tempat asal mereka. Masyarakat ini juga terkenal dalam bidang perdagangan dan perniagaan di negeri Melayu. Pelbagai aktiviti perdagangan dan perniagaan dijalankan oleh masyarakat Minangkabau, seperti menjual songkok dan kitab agama, serta mengusahakan warung. Bagi mereka yang telah bertapak kukuh dalam perniagaan ini, generasi masyarakat Minangkabau seterusnya akan mewarisi perniagaan yang dijalankan oleh ibu bapa mereka sehingga menjadi perniagaan keluarga.

Masyarakat Minangkabau juga berperanan sebagai perintis dan peneroka petempatan baharu di negeri Melayu. Keadaan ini membolehkan orang Melayu semakin bertambah jumlahnya bagi mengimbangi kedatangan kaum imigran yang dibawa masuk oleh kerajaan British pada abad ke-19 dan ke-20 demi kepentingan ekonomi penjajah. Maka untuk mendalami hal lain tentang masyarakat Minangkabau di negeri Melayu, wajarlah buku ini dibaca oleh pengkaji, pelajar, ahli akademik dan masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044884
    Visit Today : 1305
    This Month : 27483
    Total Visit : 1044884
    Hits Today : 4894
    Total Hits : 4289867
    Who's Online : 12
  • Kategori