motif songketJudul Buku   : Simbolisme dalam Motif Songket Melayu Terengganu

Pengarang    : Arba’iyah Ab. Aziz

Penerbit         : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2018

Pengulas       : Nurul Julia Alani Henry

SONGKET melambangkan tatasusila dan adat Melayu yang tinggi nilai peradaban dan kesopanannya. Gambaran ini menjelaskan bahawa songket bukan sekadar pakaian tetapi sebagai alat menjunjung adat yang amat tertib dipakai bersesuaian dengan sesuatu upacara, masa ataupun majlis. Namun di sebalik ketertiban dan keindahannya, songket sarat dengan pelbagai tafsiran makna. Semuanya terhasil daripada kreativiti dan manifestasi pemikiran para pereka seniman Melayu terdahulu yang diperturunkan secara konvensional dan warisan. Bersandarkan kualiti dan keunikannya, songket tidak sekadar indah pada permukaannya sahaja tetapi kaya dari sudut makna dan falsafahnya.

Maka berdasarkan hasil kerja seniman tekstil Melayu terdahulu, buku ini mengetengahkan motif-motif yang dipancarkan melalui tenunan songket Melayu. Motif-motif yang dikesan melambangkan wujudnya pertalian secara langsung dengan kehidupan dan budaya orang Melayu. Hal ini bermakna setiap olahan motif itu adalah terlebih dahulu disemak, diteliti, dipadankan, dibandingkan dan diberikan interpretasi makna. Secara tepatnya, motif yang terdapat pada tenunan songket Melayu Terengganu menjurus kepada intisari keseluruhan budaya Melayu yang ada kaitannya dari segi nilai, norma, pandangan dunia, kepercayaan, adat dan falsafah. Semua ini menjadi pautan nilai budaya masyarakat Melayu yang mampu menjana sumber keilmuan yang bermakna dan bernilai.

Berketebalan 224 halaman, buku ini mengandungi lima bab yang membincangkan lapan motif utama yang lazimnya terdapat dalam tenunan songket Melayu Terengganu. Bab 1 dan bab 2 meneliti motif flora seperti bunga, daun, tampuk, buah, pucuk dan pokok. Bab 3 menyingkap motif fauna seperti ayam, itik, burung merak, tapak sulaiman, gigi ikan yu, lipan, kala, kupu-kupu, keluang dan lalat. Bab 4 memaparkan motif alam benda dan alam semula jadi. Antara motif alam benda yang dikesan terdapat dalam tenunan songket termasuklah kerawang, keris, kerongsang, kipas, mahkota raja, pasu, pending, pitis, sauh, papan catur dan tudung saji. Motif alam semula jadi pula merangkumi gunung, tali air, teluk berantai, ombak dan air muleh. Seterusnya Bab 5 memaparkan motif makanan, kosmos dan kaligrafi.

Kekuatan karya yang mengangkat nilai songket Melayu Terengganu ini terletak pada skop penganalisisan terhadap motif, yang kemudiannya dijelaskan tentang simbolisme atau falsafah di sebaik simbol motif-motif tersebut. Motif yang dianalisis juga merangkumi semua elemen yang terdapat di persekitaran manusia, iaitu motif flora, fauna, alam benda, alam semula jadi, makanan, kosmos dan kaligrafi. Huraian berkaitan simbolisme dalam motif songket adalah berdasarkan sumber utama, iaitu melalui maklumat yang diberikan oleh informan yang terpilih dan relevan dengan dunia tekstil tradisional dan ilmu falsafah Melayu. Paparan nama-nama informan yang memberikan maklumat berkaitan maksud yang tersirat di sebalik motif dan elemen simbolisme atau falsafah yang tersirat dalam motif songket menggambarkan ketepatan dan kesahihan maklumat yang dimuatkan dalam buku ini. Selain itu, perbincangan ditambah nilai dengan paparan gambar sebenar elemen motif dan ilustrasi motif yang ada pada songket Melayu Terengganu. Gambar dan ilustrasi yang dipaparkan dalam buku ini amat membantu pembaca mengesan motif yang diterapkan pada songket.

Walaupun sandaran buku ini adalah tertumpu kepada seni tenunan songket Melayu Terengganu tetapi skop perbicaraannya begitu meluas mencakupi aspek kemelayuannya yang merentasi batas-batas sempadan ilmu dan gugusan Melayu. Oleh hal yang demikian, pendokumentasiannya merupakan langkah terpenting terhadap pemeliharaan warisan seni memandangkan tidak banyak usaha seumpamanya dilakukan di negara ini. Keperluan untuk mencari, mengumpul, dan mentafsir makna motif songket Melayu seperti yang dirangkumkan dalam buku ini dilakukan bertujuan untuk mengelakkannya daripada terus pupus bersama-sama arus kemajuan atau perubahan persepsi masyarakat pada masa hadapan.

Rata-rata masyarakat di dunia tidak kira dalam kelompok mana, mempunyai pakaian tradisi yang diperbuat daripada tekstil tertentu yang dapat mengetengahkan ciri-ciri kemegahan, identiti dan jati diri mereka. Secara tidak langsung, paparan imej atau simbol pemakaian kadang kala mampu memperjelaskan keistimewaan budaya sesuatu bangsa sebagaimana songket dilihat sebagai lambang prestij dalam busana tradisional Melayu.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036289
    Visit Today : 1067
    This Month : 18888
    Total Visit : 1036289
    Hits Today : 4047
    Total Hits : 4250137
    Who's Online : 7
  • Kategori