Oleh NORSUHAILA IBRAHIM

PADA suatu hari, ketika penulis melalui deretan kedai di sebuah bandar, penulis terdengar perbualan seorang kanak-kanak dengan ibunya.

“Ibu, adik nak pergi pusat kerinting rambut nak kerintingkan rambut adik, boleh?” Rayu adik Najwa kepada ibunya sambil menunjuk ke arah papan tanda Pusat Kerinting Rambut. Ibunya tersenyum sambil memberitahu anaknya, “Ya, boleh. Nanti ibu bawa Najwa ke sana”.

Ejaan kerinting yang diguna pakai di papan iklan.

Ejaan kerinting yang diguna pakai di papan iklan tersebut.

Najwa melompat-lompat kegembiraan kerana permintaannya diterima oleh ibunya. Penulis ikut sama berasa gembira menyaksikan gelagat spontan anak kecil itu yang keseronokan. Namun begitu, satu perkara yang membuatkan penulis tertanya-tanya apabila membaca tanda nama kedai yang tertera perkataan “Pusat Kerinting Rambut”. Tepatkah penggunaan perkataan “kerinting rambut” pada papan tanda premis tersebut? Atau adakah perkataan “keriting rambut” lebih sesuai digunakan bagi menggantikan “kerinting rambut”?

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “keriting” bermaksud bergulung-gulung (berkenaan rambut), ikal kecil-kecil. Contoh ayatnya ialah kulitnya hitam dan rambutnya keriting. Maksud “kerinting” pula ialah siput atau kerang yang diasinkan atau sejenis tumbuhan (palma), rinting, Ptychoraphissingaporensis. Jelaslah di sini bahawa perkataan yang tepat bagi papan tanda kedai ialah Pusat Keriting Rambut.

Apabila nama yang kurang tepat pada papan tanda ini digunakan secara leluasa, maka hal ini tentulah akan mengelirukan orang awam dan pelajar, khususnya dari segi penggunaan bahasa yang betul. Sekiranya orang ramai, khususnya pelajar, tidak peka akan perkara ini dan tidak menyemak perkataan yang tepat di dalam kamus, maka sudah tentulah perkataan yang kurang tepat akan digunakan dalam penulisan dan pembelajaran mereka.

Kesalahan yang mudah itu sepatutnya tidak berlaku sekiranya pihak yang berkenaan, terutamanya yang terlibat dalam kelulusan pemasangan, pembuatan dan pemasangan papan nama kedai atau premis, lebih teliti dan lebih peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Sekiranya mereka tidak pasti sama ada ejaan yang ingin digunakan itu tepat atau tidak, mereka sepatutnya merujuk kamus atau boleh juga bertanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang menyediakan khidmat nasihat bahasa.

Tujuan kesalahan ejaan pada papan nama kedai ini didedahkan bukanlah untuk membuka pekung mana-mana pihak, sebaliknya agar kesalahan tersebut dapat dibetulkan. Semua pihak perlu memartabatkan bahasa Melayu melalui penggunaan bahasa yang betul, tepat dan indah. “Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul”.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034616
    Visit Today : 832
    This Month : 17215
    Total Visit : 1034616
    Hits Today : 4190
    Total Hits : 4242524
    Who's Online : 14
  • Kategori