Oleh SITI IRNI YUSLINDA MOSMAN

Para peserta Bengkel Pidato Sektor Kewangan bergambar kenangan bersama-sama pembimbing bengkel.

Para peserta Bengkel Pidato Sektor Kewangan bergambar kenangan bersama-sama pembimbing bengkel.

PERANAN bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama dalam urusan rasmi di negara ini sedang dicabar hebat oleh bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris secara meluas di institusi kewangan dan insurans seperti menidakkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi dan kewangan.

Para peserta khusyuk mendengar ceramah yang diberi untuk menjadi pemidato yang terbaik.

Para peserta khusyuk mendengar ceramah yang diberi untuk menjadi pemidato yang terbaik.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan, yang melibatkan penganjuran pelbagai program kebahasaan melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak dan golongan belia sebagai kumpulan sasaran utama. Salah satu daripadanya ialah penganjuran Bengkel Pidato Sektor Kewangan. Bengkel ini merupakan inisiatif Sekretariat Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama DBP untuk mempertingkat penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan staf institusi kewangan serta dapat melahirkan staf yang berketerampilan dalam mengemukakan buah fikiran dan pandangan dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

Dr. Mazlena Mohamad Hussain, selaku penceramah untuk teknik dan persembahan dalam pidato.

Dr. Mazlena Mohamad Hussain, selaku penceramah untuk teknik dan persembahan dalam pidato.

Sepanjang sesi bengkel berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pelbagai teknik penyampaian pidato dan penggunaan gaya bahasa yang berbeza dan menarik. Bengkel yang diadakan pada 14 hingga 15 Mei 2018 di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia ini membariskan dua orang penceramah yang berkarisma dan pakar dalam bidang masing-masing. Dr. Mazlena Mohamad Hussain, selaku penceramah untuk teknik dan persembahan dalam pidato, merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Setiausaha Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia. Manakala Puan Hasnah Mohd. Saleh pula penceramah untuk bahasa dan teks dalam pidato. Beliau mantan pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas dan merupakan Munsyi Dewan (Bahasa) DBP.

Puan Hasnah Mohd. Saleh, penceramah untuk bahasa dan teks dalam pidato.

Puan Hasnah Mohd. Saleh, penceramah untuk bahasa dan teks dalam pidato.

Pada tahun ini, jumlah penyertaan sangat menggalakkan, apabila sebanyak 80 orang peserta daripada 15 syarikat kewangan dan insurans di Malaysia telah mengambil bahagian. Mereka mewakili Alliance Bank Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank Berhad, Citibank Berhad, Etiqa Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad, Maybank, OCBC Bank Malaysia Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Public Bank Berhad, RHB Bank Berhad dan SME Bank Malaysia Berhad

Penyertaan syarikat kewangan dan insurans ini menunjukkan perkembangan yang positif terutama dalam usaha BNM memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor kewangan. Usaha ini juga menggalakkan staf dalam sektor kewangan supaya mengutamakan bahasa Melayu dalam urusan harian.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044838
    Visit Today : 1259
    This Month : 27437
    Total Visit : 1044838
    Hits Today : 4619
    Total Hits : 4289592
    Who's Online : 9
  • Kategori