memahami-kecacatan-bahasa-dan-komunikasi 

Judul Buku   : Memahami Kecacatan Bahasa dan Komunikasi

Pengarang     : Abdullah Yusoff dan Che Rabiaah Mohamed

Penerbit         : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit  : 2017

Pengulas       : Nurul Julia Alani Henry

BAHASA menjadi perantara utama untuk memudahkan manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Untuk melancarkan komunikasi, individu perlu ada kebolehan berbahasa, mendengar dan bertutur. Tanpa memiliki kebolehan tersebut akan berlakulah kecacatan dalam komunikasi. Melihat peri pentingnya komunikasi secara berkesan dalam kehidupan manusia, maka terhasillah buku berjudul Memahami Kecacatan Bahasa dan Komunikasi. Buku yang mengandungi enam bab ini ditulis oleh pakar dalam pendidikan bahasa pelajar pekak dan pakar perubatan yang merawat pesakit bermasalah bahasa dan komunikasi.

Secara keseluruhannya, perbincangan buku ini terbahagi kepada dua aspek utama. Pertama, penulis menjelaskan aspek kecacatan bahasa dan komunikasi dengan memberikan tumpuan kepada konsep, punca, kesan dan kategori individu yang dikatakan bermasalah dalam komunikasi. Kedua, penulis menumpukan perbincangan kepada bahasa dan komunikasi orang pekak serta penggunaan bahasa isyarat sebagai kaedah terbaik untuk menangani dan memahami komunikasi orang pekak.

Perbincangan buku ini dimulakan dengan penjelasan konsep komunikasi dan pemerolehan bahasa. Komunikasi merupakan salah satu elemen dalam pemerolehan bahasa yang melibatkan proses dan aktiviti pemerhatian, pengamatan, peniruan dan penggunaan. Penjelasan berkaitan pemerolehan bahasa dibuat berdasarkan pandangan Eric Lenneberg (dalam buku Teaching Students with Language and Communication Disabilities yang ditulis oleh Kuder pada tahun 2013). Menurut Eric Lenneberg, proses pemerolehan bahasa berlaku secara aktif bagi kanak-kanak yang berumur lima tahun hingga mencapai akil baligh. Maka, dalam tempoh tersebut, kanak-kanak akan memerhatikan perlakuan bahasa yang wujud dan membuat pengamatan tentang bahasa yang berlaku di persekitarannya. Kemudian, apa-apa yang diperhatikan akan ditiru sama ada melalui perlakuan atau cara membunyikan bahasa tersebut. Setelah itu, mereka menggunakannya sebagai alat komunikasi yang merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan.

Tumpuan utama buku ini adalah menjelaskan suatu keadaan yang dinamakan kecacatan bahasa dan komunikasi. Kecacatan komunikasi merupakan keadaan yang dialami oleh seseorang semasa berkomunikasi, iaitu bermasalah untuk menerima, menghantar, memproses dan memahami komunikasi. Kecacatan komunikasi berlaku apabila seseorang tidak mampu menggunakan pelbagai alat penyampaian maklumat sebagai alat komunikasi dan penerima juga tidak mampu memahami maklumat yang disampaikan. Hal yang sedemikian ini menunjukkan seseorang itu gagal menggunakan alat penyampaian maklumat untuk menyalurkan maklumat.

Dijelaskan juga bahawa komunikasi dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu komunikasi berbentuk bahasa dan bukan berbentuk bahasa (atau disebut komunikasi lisan). Alat untuk berkomunikasi pula sama ada berasaskan bunyi, isyarat, ataupun grafik. Menurut penulis, kebanyakan ahli bahasa menetapkan enam ciri alat komunikasi untuk mengesan sama ada komunikasi itu berbentuk bahasa atau bukan bahasa. Enam ciri tersebut ialah bersistem, mempunyai perlambangan, arbitrari, dimiliki, diperturunkan dan berkuasa. Berdasarkan enam ciri tersebut, penulis mencerakinkan enam jenis komunikasi, iaitu lisan atau pertuturan, tulisan, bahasa isyarat, bahasa tubuh, cahaya dan bunyi.

Buku ini turut menjelaskan punca kecacatan komunikasi berdasarkan pengalaman penulis dan pendapat beberapa orang penulis lain, seperti Haynes dan Pindzola (2008), Black dan Hawks (2010), Beukelmen dan Mirenda (2013), dan Anderson dan Shames (2013). Dinyatakan bahawa kecacatan komunikasi bukan disebabkan penyakit seperti strok, kencing manis atau denggi. Punca utamanya ialah individu mengalami masalah pendengaran, kecederaan otak, masalah saraf, masalah mental, masalah emosi, gangguan genetik dan kemalangan. Seterusnya, individu yang mengalami kecacatan komunikasi dibahagikan kepada empat kategori utama, iaitu kecacatan bahasa, kecacatan artikulasi, kecacatan suara dan kecacatan kelancaran.

Perbincangan selanjutnya bertumpu kepada kajian yang dilakukan oleh penulis dalam kalangan pelajar yang mengalami masalah komunikasi di beberapa buah sekolah pendidikan khas. Tujuannya untuk memahami masalah komunikasi dalam kalangan pelajar berkenaan dan mencari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah tersebut. Tinjauan yang dibuat menunjukkan bahawa kesukaran berkomunikasi menimbulkan berbagai-bagai masalah dan kesan kepada pelajar. Bayangkan betapa susahnya kehidupan yang dilalui oleh pelajar yang bermasalah untuk berkomunikasi secara lisan, tulisan dan isyarat sama ada di sekolah, rumah ataupun semasa berada dalam kalangan masyarakat. Mereka sukar untuk menyatakan sesuatu kepada orang lain. Pelajar bermasalah pendengaran pula sukar untuk memahami apa-apa yang dituturkan oleh orang lain. Manakala pelajar yang bermasalah membaca sukar untuk memahami teks yang dibaca. Pelajar yang bermasalah dalam penulisan pula tidak mampu menyatakan hasratnya melalui tulisan.

Dalam pendidikan, komunikasi lisan merupakan teras kecemerlangan akademik dan menjadi alat untuk menyampaikan transformasi pelbagai ilmu dan kemahiran. Komunikasi lisan juga dikatakan tunjang dalam pendidikan, yang bermatlamat untuk mengembangkan dan membangunkan insan seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Oleh itu, jika seseorang pelajar bermasalah dalam komunikasi lisan, mereka turut mengalami kesukaran untuk menonjolkan potensi diri. Mereka juga menunjukkan kesan negatif pada pencapaian akademik, interaksi sosial dan tingkah laku. Jika masalah ini tidak dapat dikesan dan diatasi pada peringkat awal persekolahan, pelajar akan ketinggalan dalam pembelajaran. Pelajar juga akan ketinggalan dalam pelbagai aspek lain yang berkaitan dengan komunikasi lisan. Daripada aspek penerimaan bahasa pula, pelajar bermasalah dalam kefahaman walaupun untuk memahami ayat mudah seperti ayat arahan dan ayat penyata.

Dua bab terakhir buku ini memberikan tumpuan khusus kepada bahasa komunikasi orang pekak atau orang cacat pendengaran. Orang pekak menggunakan seluruh anggota badan semasa berkomunikasi. Pergerakan anggota badan mereka membawa makna tertentu dan bahasa yang terhasil daripada gerakan badan itu dikenali sebagai “bahasa isyarat orang pekak”. Dalam bidang linguistik, bahasa isyarat diiktiraf sebagai bahasa lisan. Dalam buku ini ditunjukkan beberapa contoh bahasa isyarat orang pekak bagi memudahkan pemahaman pembaca. Memahami bahasa isyarat orang pekak membolehkan individu normal memahami budaya, tingkah laku, emosi dan pemikiran golongan yang mengalami cacat pendengaran itu.

Masalah berkomunikasi, terutamanya dalam bentuk bahasa dan secara lisan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Penulis buku ini yang mempunyai kepakaran dalam masalah ini menyatakan bahawa antara individu yang cenderung mengalami masalah komunikasi ialah orang pekak, orang gagap, orang pelat, orang yang mengalami strok, orang kurang waras atau gila dan anak yang memerlukan pendidikan khas. Maka, buku ini akan dapat memberikan panduan kepada masyarakat untuk memahami, menangani dan membantu individu yang dikategorikan sebagai bermasalah komunikasi atau mengalami kecacatan komunikasi.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035692
    Visit Today : 470
    This Month : 18290
    Total Visit : 1035692
    Hits Today : 2130
    Total Hits : 4248220
    Who's Online : 10
  • Kategori