Oleh ZAIDI ISMAIL

MENURUT Shaharir Mohd. Zain (2000), sains ialah analisis fenomena alam tabii secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpuan pengetahuan yang boleh dipercayai.

Dalam meneroka ilmu sains, ada pelbagai persepsi. Bagi masyarakat awam, mereka melihat sains dari segi produk atau barangan, perkhidmatan dan ekonominya. Golongan agamawan memastikan kegiatan sains sentiasa dibimbing oleh peraturan al-Quran dan Sunnah. Oleh itu,  menurut Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman dari Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kita memerlukan sains alternatif, iaitu sains tauhidik. Beliau menyampaikan syarahannya dalam Forum Intelektual: Sains Tauhidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 19 Julai lalu.

Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman

Katanya, “Berdasarkan hujah sains  tauhidik, keteraturan tabii alam ditentukan oleh Allah SWT, bukannya berlaku secara sendiri. Makhluk mempunyai tabii yang mengikut fitrah tertentu (sunatullah) dan peraturan tertentu yang boleh difahami manusia. Manusia diberikan oleh Allah SWT potensi untuk memahami tabii alam secara terbatas. Manusia selaku khalifah Allah SWT diutuskan untuk mentadbir dan mengurus alam ini.”

Selanjutnya, dalam wacana tersebut, Prof. Dr. Mohd. Yusof  mengemukakan beberapa cadangan untuk membangunkan sains tauhidik. Antara cadangannya termasuk:

   • Memperkenalkan subjek sejarah sains supaya masyarakat dapat mengetahui sejarah sains   yang sebenarnya, iaitu bukannya bermula dari Barat. Sains sebenarnya lahir bersama-sama dengan kehadiran manusia di muka bumi ini, dan peradaban Islam telah melahirkan sains yang mendahului Barat.
•  Memperkenalkan subjek falsafah sains supaya masyarakat mengetahui bahawa sains itu lahir daripada tuntutan manusia untuk hidup. Sains juga lahir berdasarkan persepsi manusia terhadap hidup. Yang membangunkan sains ialah tasawur (pandangan alam manusia).
•  Memperkenalkan subjek etika dalam amalan sains. Subjek itu pula perlulah meliputi konsep adab, akhlak dan maratib (ketertiban) atau keutamaan.
•  Mengajarkan sains dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia agar mudah difahami oleh setiap warga Malaysia.

Keempat-empat cadangan tersebut perlulah diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan, terutamanya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Sesungguhnya, Islam tidak menolak ilmu yang membolehkan seseorang mengenali dan memahami tabii alam dan kesihatan kerana manusia ialah khalifah Allah SWT di bumi ini. Agama  mestilah memandu kreativiti dalam sains dan perubatan. Sains tanpa agama pula dianggap sebagai buta. Sains dan teknologi mestilah dibangunkan secepat mungkin agar manusia dapat menyempurnakan tuntutan agamanya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013546
    Visit Today : 809
    This Month : 32891
    Total Visit : 1013546
    Hits Today : 2694
    Total Hits : 4134799
    Who's Online : 10
  • Kategori