Oleh MARIAM RASID

combo

Para peserta sedang membentangkan kajian masing-masing.

TIRAI Mei 2018 dibuka dengan Program Pemilihan Peserta Terbaik Bakat Siswa 2018 rentetan daripada penangguhan Bengkel Pembinaan Bakat Siswa 2018: Penulisan Ilmiah pada awal Mac yang lalu. Pada bulan tersebut, peserta diberi tugasan untuk menyiapkan kertas kajian dan membuat pembentangan karya serta teori sastera.

Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang. Seramai 20 orang mahasiswa daripada 14 buah Institut Pengajian Tinggi Awam, tiga buah Institut Pengajian Tinggi Swasta dan tiga buah Institut Pendidikan Guru telah menyertai program ini.

Sebahagian daripada  khalayak yang mengikuti program.

Sebahagian daripada khalayak yang mengikuti program.

Antara objektif program ini adalah untuk melihat sejauh mana mahasiswa dapat menerapkan teori dan konsep sastera yang mereka pelajari. Objektif lain adalah untuk melahirkan insan yang berketerampilan menyampaikan hujah dan memupuk daya kreativiti mahasiswa melalui perbincangan berdasarkan karya sastera serta mampu menjadi penterjemah keindahan ilmu sastera.

Perkara yang ditekankan dalam program ini adalah cara mahasiswa mengetengahkan kajian karya mereka dengan cara menerapkan teori kritikan sastera yang dipilih. Pembentangan mereka haruslah menepati permarkahan daripada aspek isi, gaya persembahan, penggunaan tatabahasa yang betul serta kefahaman dan kelancaran semasa membentangkan kajian.

Majlis penangguhan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Padilah binti Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP. Dalam ucapannya, Puan Padilah melahirkan rasa bangga dan gembira atas penyertaan yang menggalakkan mahasiswa. Katanya lagi, mahasiswa mendapat manfaat apabila mengikuti program sebegini, terutamanya mahasiswa jurusan selain sastera, seperti teknologi kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal, bahasa Arab, syariah dan sebagainya.

Puan Padilah menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik Bakat Siswa 2018, Akhmal Hakim bin Mohamad.

Puan Padilah menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik Bakat Siswa 2018, Akhmal Hakim bin Mohamad.

Peserta terbaik Bakat Siswa 2018 diraih oleh Akhmal Hakim bin Mohamad, daripada Universiti Islam Antarabangsa dengan tajuk kajian, “Perancangan Watak dalam Novel Mengukir Larut Berdasarkan Pendekatan Pengurusan”. Dia membawa pulang piala iringan, wang tunai RM2000, berserta sijil penyertaan. Tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Faiz bin Sazali, daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang membawa pulang wang tunai RM1000 dan sijil penyertaan. Tempat ketiga dimenangi oleh Ahmad Imran Afiq bin Muhammad Husain, daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan yang meraih wang tunai RM800 dan sijil penyertaan.

Program ini diharapkan supaya berpanjangan agar dapat melahirkan golongan pelapis yang akan meneruskan penulisan kritikan sastera. Selain itu, program ini berjaya membimbing mahasiswa supaya lebih memahami dan menghayati sastera. Semangat daya saing yang positif juga telah diterapkan dalam kalangan mahasiswa sekali gus mengeratkan silaturahim mahasiswa daripada pelbagai institut pengajian tinggi.

Para peserta bergambar bersama-sama tetamu undangan dan pembimbing.

Para pemenang bergambar bersama-sama tetamu undangan dan pembimbing bengkel.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036977
    Visit Today : 459
    This Month : 19576
    Total Visit : 1036977
    Hits Today : 1626
    Total Hits : 4253981
    Who's Online : 9
  • Kategori