al-Qarinah

Judul               : Al-Qarinah dalam Hukum Hudud

Pengarang      : Lukman Abdul Mutalib, Wan Abdul Fattah Wan Ismail dan Abd Hamid Abd Murad

Penerbit          : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun             : 2018

Pengulas         : Fathin Nabila Abdullah

DUA prinsip syariat Islam adalah menunaikan amanah dan berlaku adil. Apabila berbicara tentang sistem pengadilan Islam, maqasid atau matlamat utamanya adalah untuk mencapai keadilan dan kesaksamaan. Konsep adil dan saksama membawa pengertian yang berbeza-beza.

Keadilan yang dibawa Islam bersifat sama rata dan menyeluruh. Tiada pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang, sama ada seseorang itu Muslim atau bukan Muslim, lelaki atau perempuan, dan golongan atasan atau golongan bawahan. Selain itu, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dalam menilai dan membuat keputusan penghakiman seperti keadaan pesalah, matlamat hukuman, suasana sekeliling dan sebagainya.

JIka keadilan menurut al-Quran gagal ditegakkan, hukum syariat akan kelihatan lemah dan tidak relevan dengan keadaan semasa. Sebaliknya apabila keadilan dapat dilaksanakan, kesan positif dalam masyarakat dapat dilihat.

Soal keadilan ini diperincikan oleh penulis dengan mengamati perbezaan antara perkataan العدلdan أقسط yang memberikan konotasi adil namun kedua-dua perkataan ini sebenarnya memberikan makna yang berbeza. العدلialah sifat adil yang sabit pada hukum yang bersifat umum manakala أقسط bermaksud sifat adil yang sabit dalam proses mengimplementasikan hukum.

Keadilan dan kesaksamaan memerlukan keperluan terhadap satu sistem undang-undang yang adil. Selain itu, kaedah pelaksanaan keadilan mestilah adil dan sempurna serta ada bukti keterangan yang tepat dan sahih.

Kepentingan keterangan amat ditekankan dalam mengemukakan sesuatu hujah dan bukti. Keberkesanan sesuatu perbicaraan tertakluk sepenuhnya kepada sejauh mana bukti dan keterangan berjaya diperoleh oleh hakim. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim mestilah berdasarkan keterangan dan bukti tersebut.

Buku ini turut menghuraikan garis panduan yang ketat dalam menilai kebenaran sesuatu keterangan. Oleh sebab itu, perincian kelayakan seorang saksi yang layak perlu dibawa ke mahkamah. Jika ada keraguan dalam keterangan untuk menjatuhkan hukuman hudud, hal itu seharusnya dielakkan. Prinsip ini telah diterangkan dalam Hadis Rasulullah SAW:

“Hindarilah daripada menjatuhkan hukuman hudud ke atas kaum Muslimin sedaya yang kamu mampu; sekiranya ada bagi mereka jalan keluar (untuk mengelakkan hudud) maka berilah mereka jalan keluar. Sesungguhnya bagi seseorang imam itu, tersalah dalam memberikan keampunan adalah lebih baik daripada tersalah dalam menjatuhkan hukuman.”

Imam Ibnu al-Qayyim meletakkan tiga perkara yang wajib diketahui oleh seorang hakim. Pertama, mengetahui dalil hukum syarak untuk dijadikan sandaran bagi sesuatu hukum. Kedua, dia haruslah mengetahui sebab. Ini merupakan kaitan kes dengan permasalahan. Jika kes tidak berkaitan, maka kes itu tidak layak untuk diadili.

Ketiga, keterangan atau bayyinah. Keterangan merupakan kaedah untuk membuktikan kebenaran di mahkamah sehingga dakwaan yang dikemukakan boleh dikira sahih. Kaedah sabitan jenayah dalam sistem pengadilan Islam merangkumi beberapa kaedah, iaitu saksi, pengakuan bersalah, sumpah, qarinah (bukti berkait), kitabah (dokumentar), pendapat pakar dan ilmu qadhi (pengetahuan hakim) tetapi dalam buku ini, empat kaedah sahaja diterangkan kerana setiap kaedah mempunyai perbahasan dan huraian yang terperinci dan panjang.

Penulis memilih takrifan al-qarinah yang dibawa oleh ‘Adnan Hasan ‘Azaziyah dengan melakukan sedikit perubahan terhadap takrif Dr. Wahbah Zuhayli, iaitu: “Setiap perkara yang zahir dan jelas yang menunjukkan bersamanya kepada sesuatu yang tersembunyi.” Contoh al-qarinah adalah diamnya seorang anak dara dalam keadaan malu dengan muka yang kemerah-merahan apabila ingin dikahwinkan dengan seseorang merupakan tanda yang jelas menunjukkan keredaan dan kerelaannya. Kenyataannya, keredaan merupakan suatu yang tersembunyi dan tidak dapat diketahui melainkan hanya dengan berterus terang.

Hujahan al-qarinah dari sudut saintifik dan moden di bawah undang-undang syariat ialah dokumen, fakta berkaitan satu sama lain, kenyataan pakar, rakaman audio dan visual, bukti forensik dan penggunaan kaedah saintifik seperti DNA, tandatangan dan cap jari. Pendapat ini diterima berdasarkan firman Allah SWT:

“Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkan semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurna segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).” (Surah al-Qiyamah 75:3-4)

Inti sari yang penting daripada ayat ini adalah Allah menjelaskan bahawa tulang-tulang ini boleh dihidupkan semula. Hal ini bermakna tulang tersebut dapat menceritakan identitinya seperti orang hidup dapat menjelaskan siapa dirinya. Kepakaran dan pengalaman seorang pakar saintifik ataupun lebih dikenali sebagai pakar forensik amat membantu dalam menentukan sama ada sesuatu keadaan wujud ataupun tidak.

Penulis menerangkan konsep al-qarinah mengikut konteks semasa:

“Nas-nas yang menunjukkan keharusan berhukum dengan al-qarinah dalam perkara hudud pada pandangan penulis merupakan dalil keharusan dalam bentuknya yang umum, keadaan dan bentuk sabitannya tidak boleh diterima secara membuta tuli kerana ia boleh berubah mengikut keadaan semasa, tempat dan masa.”

Ada kemungkinan al-qarinah bau tidak lagi kuat berbanding dengan kecanggihan alat moden yang dapat menentukan kandungan alkohol di dalam badan. Kesimpulannya, perkara yang perlu diambil iktibar daripada nas-nas tersebut adalah dari segi konsepnya dan bukan bentuknya yang terperinci. Penulis turut menerangkan hubungan al-qarinah dengan maslahat dan sad al-dhara’i’.

Menjaga kemaslahatan merupakan maqasid syariat, iaitu keselamatan dari sudut agama, jiwa, akal fikiran, keturunan dan harta. Pelaksanaan hukum hudud amat penting untuk memelihara kemaslahatan manusia. Tetapi ada dua sebab sabitan melalui al-qarinah yang harus dinilai semula. Pertama, perkembangan teknologi moden memungkinkan sesuatu perkara itu dapat diketahui dengan tepat dan meyakinkan. Malah, hal ini telah dimanfaatkan di seluruh dunia dalam penyiasatan kepolisan.

Sebab kedua sabitan melalui al-qarinah harus dinilai semula adalah kebersihan dan keutuhan iman insan yang semakin pudar. Sementara itu jenayah dilakukan dalam bentuk yang lebih dahsyat dan amat sukar dikesan. Kenyataan saksi atau pengakuan bersalah dalam mana-mana kes jenayah seakan-akan kurang relevan pada masa ini. Manakala hubungan antara al-qarinah dengan sad al-dhara’i’ pula membawa kepada kesimpulan bahawa dengan meninggalkan al-qarinah memberikan ruang yang luas kepada pesalah untuk melepaskan diri, dalam waktu yang sama keadilan gagal ditegakkan. Malah hukum Islam mudah dipemainkan.

Kesimpulannya, buku ini padat dengan pengenalan dan pengetahuan tentang hukum hudud secara am dan memberikan pencerahan tentang al-qarinah secara khusus. Topik yang dimuatkan dalam buku ini sangat relevan untuk dibahaskan, terutama dalam proses memperkasakan undang-undang syariat di Malaysia. Buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan oleh pelajar universiti, ahli akademik mahupun masyarakat umum yang ingin mengkaji lebih mendalam tentang al-qarinah dalam hukum hudud.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035601
    Visit Today : 379
    This Month : 18200
    Total Visit : 1035601
    Hits Today : 1876
    Total Hits : 4247966
    Who's Online : 12
  • Kategori