Oleh NORSUHAILA IBRAHIM

FUNGSI utama papan tanda kedai adalah untuk memberikan maklumat yang tepat tentang jenis dan aktiviti perniagaan kedai. Selain itu, papan tanda juga berfungsi untuk mempromosikan produk, menjadi daya penarik supaya orang mahu singgah dan masuk ke kedai, menerangkan nama kedai, memudahkan orang mencari lokasi kedai, dan memudahkan orang untuk mengingati nama kedai kita.

Namun begitu, penulis agak terkilan apabila masih terdapat papan tanda kedai yang menggunakan perkataan yang tidak betul dari segi penggunaan bahasa pada papan tanda kedai. Pemilik kedai seharusnya peka tentang perkara ini. Misalnya, penggunaan nama “Kedai Menjual Biskut” atau “Kedai Biskut”. Papan tanda yang mana satu yang betul penggunaan bahasanya?

kedai menjual 1

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, perkataan “kedai” bermaksud bangunan tempat barang-barang, makanan dan lain-lain dijual; toko. – kain tempat bermacam-macam jenis kain dijual. – kopi kedai tempat minuman (kuih dll) dijual. – minyak kedai tempat minyak dijual. – pajak kedai tempat barang-barang kemas dll digadai atau digadaikan. – runcit kedai tempat barang-barang dijual secara kecil-kecilan (runcit). berkedai 1 membuka kedai; berniaga di kedai: Sudah banyak orang Melayu yang – di sana. 2. membeli-belah di kedai; berbelanja di kedai. pekedai orang yang berkedai; orang yang berniaga atau berjual di kedai: – kecil pekedai yang berniaga secara kecil-kecilan.

kedai biskut 2

Jelaslah berdasarkan makna dalam kamus, sepatutnya papan tanda yang betul ialah “Kedai Biskut”, bukannya “Kedai Menjual Biskut”. Hal ini disebabkan makna kedai ialah bangunan tempat barangan dijual. Jadi, tidak perlu diletakkan perkataan “Kedai Menjual …”.

Apabila nama yang salah pada papan tanda ini digunakan secara leluasa, maka hal ini tentulah akan mengelirukan orang ramai, khususnya dari segi penggunaan bahasa yang betul dalam kalangan pelajar sekolah dan orang awam. Sekiranya orang ramai, khususnya pelajar, tidak peka akan perkara ini dan tidak menyemak ejaan yang betul dalam kamus, maka sudah tentulah istilah yang salah akan digunakan dalam penulisan dan pembelajaran mereka.

Kesalahan yang mudah itu sepatutnya tidak terjadi sekiranya pihak yang berkenaan, terutamanya yang terlibat dalam kelulusan pemasangan, pembuatan dan pemasangan papan nama kedai atau premis, lebih teliti dan lebih peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Sekiranya mereka tidak pasti sama ada ejaan yang ingin digunakan itu tepat ataupun tidak, mereka sepatutnya merujuk kamus atau boleh juga bertanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa.

Tujuan kesalahan ejaan pada papan nama kedai ini didedahkan bukanlah untuk membuka pekung mana-mana pihak, sebaliknya agar kesalahan tersebut dapat dibetulkan. Semua pihak perlu memartabatkan bahasa Melayu melalui penggunaan bahasa yang betul, tepat dan indah. “Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul”.

            Tingkap papan kayu bersegi,

                        Sampan sakat di Pulau Angsa;

            Indah tampan kerana budi,

                        Tinggi bangsa kerana bahasa.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043934
    Visit Today : 355
    This Month : 26533
    Total Visit : 1043934
    Hits Today : 951
    Total Hits : 4285924
    Who's Online : 12
  • Kategori