cvr

 

Judul buku      : Najib Razak: Inspirasi Melakar Dimensi Baharu

Pengarang      : Najib Razak

Penerbit          : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit   : 2017

Pengulas         : Fathin Nabila Abdullah

BUKU yang menghimpunkan 63 teks ucapan terpilih dari tahun 2009 hingga tahun 2015 ini melakarkan lima tema utama, iaitu Agama, Ekonomi dan Pendidikan, Sosial dan Kemasyarakatan, Transformasi dan Perkhidmatan Awam, serta Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa. Buku ini merupakan dokumentasi penting yang dapat dijadikan rujukan dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan dan agenda pembangunan negara, sama ada pada zaman ini atau pada masa hadapan.

Najib Razak: Inspirasi Melakar Dimensi Baharu merupakan rakaman ucapan yang memuatkan pemikiran, gagasan dan aspirasi Perdana Menteri (PM) sebagai pemimpin tertinggi negara. Di bawah kepemimpinannya beliau melakarkan inspirasi untuk membawa pendekatan baharu yang berteraskan kreativiti, inovasi dan nilai tinggi serta mengutamakan pencapaian yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran arus globalisasi, bagi melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya saing dalam pelbagai bidang, maka Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia yang bertunjangkan panduan yang bersifat merentas dasar yang diyakini akan menjanakan tranformasi yang ketara ke arah melahirkan negara Malaysia yang maju yang didukung oleh perpaduan yang utuh dan martabat yang tinggi.

Di bawah tema Agama, pelbagai gagasan dan usaha dilancarkan untuk memantapkan institusi agama Islam di Malaysia. Pada Majlis Perdana Ulama-Umara 2015 dan pelancaran Indeks Syariah Malaysia, PM menekankan tentang hubungan ulama dan umara dalam membangunkan umat dan negara ini mengikut corak pemerintahan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Di samping itu, ujian serta cabaran umat turut dibincangkan dan penyelesaian bagi menepis persepsi buruk tentang Islam.

PM memberikan pencerahan tentang kerangka umum Indeks Syariah Malaysia yang merupakan kaedah pengukuran saintifik yang boleh menepati dua fungsi penting, iaitu untuk menilai keseriusan usaha kita dari tahun ke tahun dalam menepati piawaan Islam berkaitan dasar dan program kerajaan dan cara kita mengenal pasti ruang-ruang pembaikan yang perlu diberikan fokus oleh kerajaan agar kita dapat menerima lebih banyak manfaat hasil daripada penerapan nilai-nilai sejagat dalam Islam.

Ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57, Najib membincangkan isu semasa seperti hudud dan serangan baharu terhadap umat Islam, iaitu fahaman humanrightism.

Dalam Majlis Perasmian Serentak Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Ke-13 dan Penutupan Konvensyen Peguam Syarii Seluruh Malaysia Ke-2, Najib menerangkan peranan peguam syarii dalam agenda negara dan memperkasakan institusi mahkamah syariah dan warga institusi syariah.

Konsep yang ditekankan dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-54 ialah keharmonian melalui kepelbagaian. Kata Najib, “Saya berkeyakinan, dalam menangani isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama, antara pendekatan paling sesuai bagi menwujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama adalah dengan membudayakan pendekatan secara dialog. Dialog ini mestilah berasakan keikhlasan dan kematangan bagi mencapai persefahaman dan keharmonian. Dalam konteks hubungan antara agama, sekiranya dialog ini didukung dan disantuni oleh golongan tokoh agama masing-masing, pasti akan melahirkan impak positif yang berganda kepada rakyat.”

Pelbagai inisiatif dan gagasan telah dilaksanakan bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan beragama di negara ini dapat dikekalkan. Di sini kita dapat melihat usaha kerajaan dalam memartabatkan hukum dan nilai agama dalam mencorakkan pembangunan sesebuah negara yang maju kerana agamalah yang menjadi tonggak utama dalam melahirkan insan kamil dari sudut fizikal, mental dan spiritual

najib ucapDi bawah tema Ekonomi dan Pendidikan, PM melaksanakan pelbagai program untuk memperkasakan negara dari sudut ekonomi dan pendidikan demi memajukan Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa. Pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Najib berkata, “Semenjak saya mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan saksama yang menyaksikan masyarakat Melayu dan bumiputera setanding dengan masyarakat lain apabila fajar menyingsing tujuh tahun lagi.” Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera memfokuskan lima strategi utama, iaitu mendayakan modal insan bumiputera dan memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, selain memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera serta memperhebat keusahawanan dan perniagaan bumiputera.

Pada Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri, Najib memberikan komentar, “Dalam hubungannya dengan kegiatan pertandingan pidato peringkat antarabangsa ini, kita berusaha mengetengahkan bahasa Melayu sebagai unsur kebudayaan dan tamadun kepada masyarakat dunia. Hal ini merupakan satu bentuk globalisasi budaya dan tamadun yang murni jika kita mahu memastikan bahawa fenomena globalisasi tidak semestinya bersifat sehala, iaitu dari Barat ke Timur sahaja, tetapi sebaliknya boleh juga dari Timur ke Barat.”

Najib menerangkan lagi bahawa kita perlu bekerja lebih keras bagi mempersadakan bahasa Melayu di mata dunia. Beliau pasti bahawa pendahulu-pendahulu yang telah pergi dan meninggalkan karya-karya agung seperti Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfatun Nafis, sekiranya masih hidup, akan berbahagia dan berbangga kerana kerja hebat mereka terus diharumkan dan dibugarkan dalam kontemporari ini.

Di bawah tema Sosial dan Kemasyarakatan, dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara sempena Hari Belia Negara 2014, Najib telah menggariskan enam kriteria bagi mempersiapkan generasi belia hari muka. Kriteria tersebut ialah keilmuan dan kemahiran, keusahawanan, kesederhanaan atau wasatiah, kesukarelaan, kecintaan kepada negara dan kerohanian. Katanya, “Belia bukan sekadar harapan bangsa, tidak hanya merupakan aset atau rakan kongsi kepada pembangun negara, malah nilaian belia adalah lebih daripada kesemuanya itu.

Pada Malam Wartawan Malaysia 2013, PM mengulas perubahan drastik yang berlaku terhadap landskap media dan organisasi berita di negara kita lantas membawa kepada demokrasi media dan kebebasan bersuara. Beliau memberikan komentar, “Pada masa kini, landskap media dan organisasi berita di negara ini telah mengalami perubahan yang amat pesat. Kehadiran media cetak dan media elektronik telah dilengkapi dengan kehadiran media dalam talian. Demokrasi media dan kebebasan bersuara benar-benar menjadi kenyataan.”

Namun kebebasan bersuara harus dimanfaatkan sebaik-baiknya tanpa menyebarkan sesuatu yang belum pasti kesahihannya. Semua itu harus dilakukan dengan beradab dan berpaksikan jati diri Malaysia. Kepelbagaian pendapat tidak seharusnya menjadi sebab percakaran antara sesame manusia malah hal ini sepatutnya diraikan kerana di situ kita akan menemukan titik persefahaman.

Manakala di bawah tema Transformasi dan Perkhidmatan Awam, PM menyatakan pencapaian perkhidmatan awam dalam memaksimumkan keberkesanan penyampaian perkidmatan kepada rakyat. Antara contoh terbaik ialah Strategi Lautan Biru Kebangsaan, iaitu prakarsa Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang mengumpulkan pusat perkhidmatan dan ekonomi secara sehenti yang telah direalisasikan dalam tempoh yang singkat dengan perbelanjaan minimum. Di samping itu, PM mengulas seputar hal penyusunan semula prioriti bandar dan luar bandar. Penghargaan kepada penjawat awam juga merupakan fokus kerajaan bagi meringankan beban dan tanggungan mereka apabila berdepan dengan cabaran hidup semasa.

Dalam Majlis Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, Najib berkata, “Transformasi ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang tahun 2020. Setiap program transformasi ini berhubung kait dan saling melengkapi. Semuanya sama penting sebagai komponen untuk merealisasikan aspirasi negara menjelang tahun 2020 dan seterusnya.

Kata Najib lagi, oleh sebab situasi sosioekonomi semakin mencabar, rakyat seharusnya bersedia menghadapi segala kemungkinan dan bergerak secara proaktif. PM turut mengulas program transformasi bumiputera yang diperhebatkan, iaitu Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera. “Dengan pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera hari ini, saya yakin bahawa program ini menjadi titik permulaan kepada lonjakan ekonomi negara amnya, dan kaum bumiputera khususnya,” katanya.

Di bawah tema Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, PM turut menyertai Pembentangan Kertas Putih ke arah menangani ancaman kumpulan Islamic State (IS). Kertas putih ini bertujuan untuk mendedahkan wajah sebenar IS yang bertopengkan Islam bagi mencapai cita-cita mereka untuk menubuhkan negara Islam mengikut acuannya. Komen PM tentang hal ini, “Sebenarnya umat Islam kini menghadapi cabaran getir daripada satu kumpulan militan yang menyasarkan kita dan anak-anak kita supaya pergi “berjihad” di Syria dan Iraq atas jalan Islam. Kita berada di satu persimpangan di mana kita harus berusaha dengan lebih gigih untuk menjaga agama, bangsa dan negara. Saya yakin bahawa ramai rakyat Malaysia masih tidak mengetahui IS yang sebenarnya sehingga mereka mudah terpedaya dengan ideologi ekstrem kumpulan itu.”

Kesimpulannya, buku ini wajib dimiliki oleh masyarakat Malaysia sebagai satu dokumentasi penting yang boleh dijadikan sumber rujukan dalam merealisasikan dasar-dasar kerajaan dan agenda pembangunan negara. Buku ini membuktikan usaha dan curahan titik peluh PM dalam memastikan negara Malaysia sentiasa mengorak langkah untuk mencapai kemajuan politik, ekonomi dan sosial demi mencapai wawasan negara maju pada tahun 2020.

foto last

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013704
    Visit Today : 967
    This Month : 33049
    Total Visit : 1013704
    Hits Today : 3306
    Total Hits : 4135411
    Who's Online : 10
  • Kategori