Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

09. kereta lembu melaka

KERETA lembu merupakan pengangkutan tradisional yang menjadi lambang kemegahan negeri Melaka. Diperkenalkan oleh saudagar India ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, kereta lembu pada dasarnya terbahagi kepada empat bahagian, iaitu badan, roda, gandar dan kajang.

Sulaiman Manan, pembuat kereta lembu di Kampung Balik Bukit, Melaka.

Sulaiman Manan, pembuat kereta lembu di Kampung Balik Bukit, Melaka.

Menurut Encik Sulaiman Manan, 54, seorang pembuat kereta lembu di Kampung Balik Bukit, Melaka, bahagian pada kereta lembu yang paling sukar untuk dihasilkan ialah roda. Pada bahagian tersebut, terdapat tujuh batang kayu yang disambungkan menjadi bentuk bulat. Roda terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu jejari, gantang, tapah, cupai dan simpai. Bahagian jejari pula mudah pecah semasa diketuk, jadi perlu dilakukan secara berhati-hati.

Ada makna tersendiri di sebalik pembuatan kereta lembu. Tayar kereta lembu mempunyai 14 jejari, melambangkan 14 buah negeri di Malaysia. Di tengah tayar ada kayu tengah atau gantang, melambangkan ibu negara. Ibu negara memegang semua negeri yang ada, sama seperti kereta tayar lembu 14 jejari ini dipegang oleh gantang agar kukuh dan boleh berputar dengan sempurna.

Masa yang panjang dan ketelitian diperlukan bagi menghasilkan kereta lembu.

Masa yang panjang dan ketelitian diperlukan bagi menghasilkan kereta lembu.

Rangka yang dipasang pada lembu penarik menggunakan rantai khas yang diikat pada kayu gandar, tetapi tali sahaja mungkin digunakan bagi seekor atau dua ekor lembu. Pemandu dan pengiring barangan akan duduk di hadapan dan beban dimuatkan di belakang.

Menurut Sulaiman, jika menggunakan alatan tukang yang lebih moden seperti mesin larik dan potong, sebulan diperlukan untuk menyiapkannya. Manakala jika secara tradisional, masanya lebih lama, iaitu sekitar tiga bulan.

Dahulu, kereta lembu digunakan sebagai pengangkutan oleh orang kaya di Melaka. Ciri-ciri yang membezakan kereta lembu Melaka ini dengan yang lain adalah bumbungnya berbentuk seperti tanduk lembu yang berwarna-warni. Selain kereta lembu yang digunakan di Melaka pada zaman Munsyi Abdullah dan sebelumnya terdapat juga keterangan tentang kereta kerbau atau pedati kerbau.

Kayu gandar kereta lembu.

Kayu gandar kereta lembu.

Pedati biasanya digunakan di kawasan bandar dan persekitarannya sahaja bagi tujuan menarik barang-barang. Munsyi Abdullah ada menggambarkan pedati kerbau yang digunakan pada zamannya itu apabila menyebut: “Maka dengan seketika itu juga diberinya perintah menyuruh bawa mayat itu, lalu dimasukkannya ke dalam pedati kerbau, maka disuruhnya canangkan berkeliling negeri…”

Pada asalnya sebelum wujud kereta beroda dalam kalangan petani di kampung, mereka sudah menggunakan sistem pengangkutan yang dikenali sebagai ‘bentang’. Kereta bentang ini tiada beroda dan ditarik oleh binatang seperti kerbau dan lembu.

Penggunaan pengangkutan ini bertujuan untuk menarik padi, kayu api dan barangan lain yang berat. Kenderaan ini biasanya dapat dilihat di sawah padi dan dusun dalam tahun-tahun 1880-an. Sekarang kereta kerbau atau pedati kerbau tidak digunakan lagi.

Menurut Sulaiman lagi, pada badan kereta lembu ada enam tiang dan di bawahnya ada sebatang kayu kukuh yang membolehkan enam tiang itu berdiri. Enam tiang itu melambangkan enam orang pahlawan Melaka yang berkhidmat untuk negeri atau pemimpin. Mereka ialah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Yang keenam ialah guru mereka.

Alatan untuk membuat kereta lembu.

Alatan untuk membuat kereta lembu.

Sebenarnya kereta lembu mempunyai banyak perlambangan yang tidak diketahui oleh masyarakat. Melalui perlambangan sebegini, nasihat atau maklumat sejarah dapat diturunkan dari generasi ke generasi.

Jenis lembu yang digunakan untuk menarik kereta juga tidak boleh sembarangan. Lembu tersebut sudah jinak, terlatih, selain berlainan saiz. Lembu di sebelah kanan lebih besar daripada lembu di sebelah kiri dan lembu yang digunakan hanyalah lembu jantan.

Fungsi kereta lembu semakin tenggelam ditelan pembangunan zaman. Masyarakat sekarang tidak lagi menggunakannya sebagai kenderaan pengangkutan sebaliknya menggunakan lori. Akibatnya, tiada lagi tempahan membuat kereta lembu yang diterima oleh Sulaiman.

Kemuncak zaman kegemilangan kereta lembu adalah dari tahun 1950-an hingga 1980-an, terutamanya ketika menyambut pesta dikenali sebagai mandi Safar di Melaka. Pada ketika itu, pemilik akan berarak beramai-ramai menuju ke pantai dan menghias kereta lembu mereka kerana pertandingan kereta lembu berhias turut diadakan.

Kereta lembu melaka

Kereta lembu Melaka.

Menurut Sulaiman, pembuatan kereta lembu rumit. Oleh itu beliau tawar hati untuk meneruskan kerja membuat kereta lembu kerana tiada permintaan.

Tidak mustahil suatu hari nanti, generasi akan datang tidak tahu kewujudan kereta lembu yang pernah menjadi kebanggaan Melaka. Sulaiman menyerahkannya kepada takdir kerana beliau tidak nampak penyambung yang mahu meneruskan usaha membuat kereta lembu. Sulaiman juga berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membantu mengekalkan kereta lembu sebagai salah satu ikon pelancongan, terutama di Melaka.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014684
    Visit Today : 713
    This Month : 34029
    Total Visit : 1014684
    Hits Today : 2738
    Total Hits : 4139540
    Who's Online : 8
  • Kategori