Oleh NORSUHAILA IBRAHIM

UMUM mengetahui bahawa fungsi utama papan tanda kedai adalah untuk memberikan maklumat yang tepat tentang jenis dan aktiviti perniagaan kedai. Selain itu, papan tanda juga berfungsi untuk mempromosikan produk, menjadi daya penarik supaya orang mahu singgah dan masuk ke kedai, menerangkan nama kedai, memudahkan orang untuk mencari kedai, dan memudahkan orang untuk mengingati nama kedai kita.

perabut

Ejaan “Perabut” perlu dieja dengan betul iaitu “Perabot”.

Namun begitu, penulis agak terkilan apabila masih terdapat papan tanda kedai yang menggunakan ejaan yang salah “untuk memberikan maklumat yang tepat tentang jenis dan aktiviti perniagaan kedai” kepada orang ramai. Pemilik kedai seharusnya peka tentang perkara ini, khususnya penggunaan istilah atau ejaan yang tepat pada papan tanda kedai.

Terdapat papan tanda kedai atau papan nama premis yang ditemukan yang masih menggunakan ejaan dan istilah yang tidak tepat. Misalnya, penggunaan nama “Kedai Perabut”. Ejaan yang tepat bagi menggantikan perkataan “perabut” ialah “perabot”, iaitu “Kedai Perabot”.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “perabot” bermaksud Jw alat perkakas; ~ mobil alat-alat bahagian kereta; ~ rumah perkakas rumah (kerusi, meja, dll); ~ tukang kayu alat perkakas tukang kayu. Namun demikian, tiada perkataan “perabut” yang ditemukan.

Apabila nama yang salah pada papan tanda ini digunakan secara leluasa, maka hal ini tentulah akan mengelirukan pelajar sekolah dan orang awam, khususnya dari segi penggunaan bahasa yang betul. Sekiranya orang ramai, khususnya pelajar, tidak peka akan perkara ini dan tidak menyemak ejaan yang betul dalam kamus, maka sudah tentulah istilah yang salah akan digunakan dalam penulisan dan pembelajaran mereka. Hal ini tentu amat mendukacitakan kita.

Ejaan yang betul untuk perkataan "perabot".

Ejaan yang betul untuk perkataan “perabot”.

Kesalahan yang mudah itu sepatutnya tidak terjadi sekiranya pihak yang berkenaan, terutamanya yang terlibat dalam kelulusan pemasangan, pembuatan dan pemasangan papan nama kedai atau premis, lebih teliti dan lebih peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Sekiranya mereka tidak pasti sama ada ejaan yang ingin digunakan itu tepat ataupun tidak, mereka sepatutnya merujuk kamus atau bertanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa.

Tujuan kesalahan ejaan pada papan nama kedai ini didedahkan bukanlah untuk membuka pekung mana-mana pihak, sebaliknya agar kesalahan tersebut dapatdibetulkan. Semua pihak perlu memartabatkan bahasa Melayu melalui penggunaan bahasa yang betul, tepat dan indah. “Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul”.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014862
    Visit Today : 891
    This Month : 34207
    Total Visit : 1014862
    Hits Today : 4011
    Total Hits : 4140813
    Who's Online : 13
  • Kategori