Oleh ZAIDI ISMAIL

BAGI mengangkat kebudayaan dan warisan Melayu masyarakat setempat di wilayah Thailand selatan, Perbandaran Wilayah Yala sekali lagi menganjurkan Hari Melayu Yala Ke-5 dari 9 Februari hingga 11 Februari 2018. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Krisyapong Siri, Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Thailand.

Perasmian Hari Melayu Yala Ke-5 oleh Krisyapong Siri, Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Thailand.

Perasmian Hari Melayu Yala Ke-5 oleh Krisyapong Siri, Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Thailand.

Program yang diadakan sejak tahun 2014 ini telah memasuki tahun kelima penganjurannya dan melibatkan penyertaan lima buah negara serantau yang terdiri daripada Thailand selaku tuan rumah, Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei Darussalam. Selain mengangkat kebudayaan dan warisan Melayu masyarakat setempat, program ini juga diadakan untuk mengangkat dan memperkenalkan kebudayaan dan cara hidup masyarakat Melayu yang ada di Nusantara, khususnya di Thailand, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam; membina hubungan dan kerjasama antara negara demi perkembangan bahasa, budaya dan persuratan Melayu; dan mengeratkan hubungan sesama kaum di Thailand selatan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan bangsa.

Pada tahun ini, Konsulat Jeneral Malaysia sekali lagi diundang oleh kerajaan Thailand untuk ikut serta dalam program tersebut bagi mempromosikan kebudayaan Malaysia. Serentak dengan itu juga, Konsulat Jeneral Malaysia telah mengundang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai wakil Malaysia dalam penganjuran aktiviti pameran korporat dan jualan buku, serta bengkel penataran bahasa Melayu. Rombongan lapan orang pegawai dari DBP diketuai oleh Puan Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera.

“Forum Bahasa Melayu: Bahasa Melayu sebagai Bahasa Supranasional”  pada 10 Februari 2018 sempena Hari Melayu Yala Ke-5.

“Forum Bahasa Melayu: Bahasa Melayu sebagai Bahasa Supranasional”
pada 10 Februari 2018 sempena Hari Melayu Yala Ke-5.

Pada 10 Februari, perwakilan dari Malaysia turut serta dalam forum “Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Supranasional”. Dalam forum tersebut, enam orang ahli panel telah terlibat untuk mewakili lima buah negara peserta yang terdiri daripada Prof. Dr. Ratiya Salaeh, pensyarah Universiti Taksin Songkhla; Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena); Datuk A Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP; Encik Islahuddin, wakil Indonesia; Encik Arif Ridzuan Sahab, wakil Singapura; dan Encik Jawawi Ahmad, wakil Brunei Darassalam. Forum ini dipengerusikan oleh Encik Suhaimi Ismail, dari Kolej Teknik Yala yang merupakan setiausaha jawatankuasa kerja Hari Melayu Yala Ke-5.

Bengkel Penataran Bahasa Melayu pada 11 Februari 2018.

Bengkel Penataran Bahasa Melayu pada 11 Februari 2018.

Pada 11 Februari, dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 1.00 tengah hari, penulis turut terlibat sebagai penceramah Bengkel Penataran Bahasa Melayu yang meliputi aspek pengajaran tatabahasa bahasa Melayu, penulisan kertas cadangan dan penulisan laporan. Dalam bengkel tersebut, 200 orang guru dan pelajar dari Yala dan Pattani telah ikut serta. Bengkel Penataran Bahasa Melayu telah dirasmikan oleh Sanya Suwannapho, Timbalan Mayor Majlis Perbandaran Yala.

Penyampaian cenderamata kepada Sanya Suwannapho, Timbalan Mayor Majlis Perbandaran Yala yang telah merasmikan Bengkel Penataran Bahasa Melayu.

Penyampaian cenderamata kepada Sanya Suwannapho, Timbalan Mayor Majlis Perbandaran Yala yang telah merasmikan Bengkel Penataran Bahasa Melayu.

Keterlibatan DBP dalam program tersebut bertepatan dengan Pelan Strategik DBP 2016–2020, iaitu mengantarabangsakan bahasa dan persuratan Melayu melalui kegiatan yang dilaksanakan secara bersinergi dengan pihak luar negara. Jalinan kerjasama sebegini akan diteruskan dalam masa-masa yang mendatang.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014539
    Visit Today : 568
    This Month : 33884
    Total Visit : 1014539
    Hits Today : 2246
    Total Hits : 4139048
    Who's Online : 14
  • Kategori