Oleh SITI SUHANA MOHD AMIR

Ucapan Alu-aluan oleh YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.

Ucapan alu-aluan oleh YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) Cawangan Sarawak selaku urus setia Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) 2017 mendapat dukungan penuh Kerajaan Negeri Sarawak dalam menganjurkan anugerah berprestij ini buat kali ke-10. Penyampaian anugerah mengikut kategori yang berlangsung pada 26 Februari 2018 (Isnin) di Hotel Pullman, Kuching merupakan projek terulung kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di Sarawak dan dimulai sejak tahun 1994 lagi.

Kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Taib menyerikan lagi majlis dan berkenan menyampaikan anugerah kepada para pemenang dan turut melancarkan buku P. Ramlee Di Mana ‘Kan Kucari Ganti karya Datuk Aziz Sattar. Para tetamu juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu P. Ramlee oleh Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak dan Deklamasi Puisi Khas oleh Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah, Ahli Lembaga Pengelola DBP.

Amanat daripada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Amanat TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Projek ASNS yang dinaungi oleh Pejabat Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak merupakan pemberian anugerah kepada para penulis yang memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kebahasaan dan kesusasteraan di Sarawak bagi tempoh masa yang tertentu. Penyampaian anugerah dilaksanakan dalam tempoh antara dua tahun atau lebih berdasarkan kesesuaian dan persetujuan Jawatankuasa Induk ASNS. Pemilihan dan keputusan penerima ASNS 2017 dibuat oleh Jawatankuasa Penilai ASNS yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penilai ASNS 2017, penyampaian anugerah mengikut kategori diberikan kepada Haji Hamzah Hamdani (Anugerah Khas Bahasa dan Sastera) yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM6,000.00, sijil penghormatan negeri dan sepersalinan pakaian; Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre, iaitu Idris Boi (novel), Mohd Ali Salim (cerpen) dan Pharo Abdul Hakim (puisi); dan Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa, iaitu Harry Usup Umbar (bahasa Iban) dan Wong Ching Ping (bahasa Cina). Penerima Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre dan Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa, masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM4,000.00, sijil penghormatan negeri dan sepersalinan pakaian.

Pelancaran Buku P. Ramle Di Mana ‘Kan Kucari Ganti karya Datuk Aziz Sattar.

Pelancaran buku P. Ramle Di Mana ‘Kan Kucari Ganti karya Datuk Aziz Sattar.

Penganjuran ASNS ini telah mencapai empat objektif yang digariskan, iaitu memberikan penghargaan kepada sumbangan penulis dan sekali gus mendorong mereka untuk terus berkarya dengan lebih giat; menggalakkan penulis di Sarawak supaya terlibat dalam bidang penulisan dengan lebih serius dan bertanggungjawab; membantu ke arah peningkatan dan kemajuan bahasa dan sastera kebangsaan di negeri ini; dan meningkatkan imej dan prestasi bidang kesusasteraan dan penulisan pada keseluruhannya.

Sesungguhnya, pengurniaan ASNS 2017 merupakan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada penulis dan sasterawan tempatan atas sumbangan besar mereka terhadap perkembangan dan pertumbuhan sastera dan penulisan dalam bahasa kebangsaan, khususnya di Sarawak. Semoga pada tahun-tahun mendatang, lebih ramai lagi penulis dan sasterawan tempatan dapat menyumbangkan karya dan seterusnya dicalonkan sebagai penerima ASNS.

TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama-sama penerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak 2017.

TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama-sama penerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak 2017.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036213
    Visit Today : 991
    This Month : 18812
    Total Visit : 1036213
    Hits Today : 3763
    Total Hits : 4249853
    Who's Online : 6
  • Kategori