Oleh HASNI JAMALI

Barisan panel Bicara @ Muzium

Barisan panel Bicara @ Muzium

BERSEMPENA dengan Pameran Kartun dan Kita yang berlangsung dari 8 Disember 2017 hingga 5 April 2018, Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Rumah Kartun Komik Malaysia (MCCH) dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) telah menganjurkan Bicara @ Muzium: Bila Kartun Berbicara “Kuasa Kartun” pada 28 Februari 2018, di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, Muzium Negara, Kuala Lumpur. Forum ini dikendalikan oleh Encik Ahmad Hilmy Abdullah yang lebih mesra dikenali sebagai Kartunis Mie. Para panel pula terdiri daripada Profesor Dr. Muliyadi Mahamood, pensyarah Universiti Teknologi MARA, Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat), kartunis terkenal dan Encik Hassan Abd. Muthalib (Pak Hassan), pereka dan pembikin filem animasi.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Mohamad Shawali Haji Badi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia. Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi minat dan kecenderungan menghasilkan kartun sebagai wadah yang berkesan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Encik Mohamad Shawali Haji Badi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, menyampaikan kata alu-aluan.

Encik Mohamad Shawali Haji Badi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, menyampaikan kata alu-aluan.

Pusingan pertama forum dimulakan dengan ajuan soalan khalayak dan pandangan para panel berkenaan “kuasa kartun”. Dr. Muliyadi menerangkan bahawa kartun pada zaman sebelum merdeka ialah senjata untuk menyampaikan kritikan dan mendedahkan kelemahan pemerintah. Berdasarkan ilustrasi yang dihasilkan, kartun berjaya menarik perhatian pembaca agar terpengaruh dengan mesej yang hendak disampaikan.

Lat pula berpandangan bahawa kuasa kartun dinilai berdasarkan penerimaan masyarakat. Sekiranya tiada dorongan dan sokongan orang ramai, maka tiadalah penghasilan kartun yang baharu. Manakala Pak Hassan pula menerangkan kuasa kartun dapat dilihat melalui mesej yang tersirat dalam karya tersebut.

Lat memberi pandangan beliau tentang Kuasa Kartun.

Lat memberi pandangan beliau tentang kuasa kartun.

Definisi kartun sebagai lukisan yang dihasilkan berbentuk representasi memberikan satu pandangan yang luas terhadap lambang ketamadunan bangsa dan negara. Kartun disampaikan dengan pelbagai sifat, seperti lucu, tajam atau sindiran. Kartun boleh berdiri sendiri sebagai sebuah lukisan tunggal tanpa perkataan atau disertai kata-kata dan boleh mengandungi lebih daripada satu bingkai.

Sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi, dunia kartun semakin maju dengan kewujudan animasi. Kartun tidak lagi sekadar dilihat di atas kertas dan statik, tetapi berkuasa menyampaikan mesejnya melalui tayangan media elektronik dan internet.

Seperti pengkarya yang lain, kartunis juga mengamalkan disiplin yang tinggi bagi menghasilkan karya yang berkualiti. Menurut Dr. Muliyadi, campur tangan penerbit terhadap karya yang dihasilkan merupakan perkara yang baik. Tapisan yang dilakukan oleh penerbit harus diterima dan dipatuhi mengikut dasar yang telah ditetapkan. Sifat ini merupakan jalinan mesra antara kartunis dengan penerbit yang mementingkan aspek saling bertolak ansur dan hormat-menghormati. Namun, kartunis mempunyai pilihan untuk menerbitkan karya secara kendiri sekiranya tidak mahu terikat dengan dasar sesebuah penerbitan.

Lat pula berkongsi dua perkara yang menjadi prinsip pengkaryaan beliau. Pertama, kartunis harus memastikan model yang dilukis gembira apabila melihat hasil karikatur yang dihasilkan dan kedua, kartunis mampu membuat pembaca terhibur dan menikmati karyanya.

Encik Hassan Abd. Muthalib (Pak Hassan), pereka dan pembikin filem animasi.

Encik Hassan Abd. Muthalib (Pak Hassan), pembikin filem animasi.

Kuasa kartun pada masa dahulu dan kini diulas oleh Pak Hassan yang berpengalaman dalam bidang animasi. Hikayat Sang Kancil merupakan antara filem animasi yang dihasilkan Pak Hassan. Minat dan usaha gigih beliau dalam penghasilan animasi membantu dunia kartun agar tidak pupus ditelan zaman.

Sebagai penutup forum, para panel mengingatkan para kartunis pelapis bahawa penghasilan kartun yang baik dapat memikat hati dan mempengaruhi nilai budaya dalam diri pembaca. Kartunis perlu bijak mengadunkan idea dengan menerapkan nilai dan kebudayaan tempatan dalam karya mereka. Hal ini kerana kartun, komik dan animasi merupakan seni lukisan yang diterjemahkan oleh kartunis melalui kaca matanya tentang realiti kehidupan yang dekat dengan diri pembaca, sekali gus mengangkat martabat budaya dan identiti sesebuah bangsa dan negara.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042898
    Visit Today : 762
    This Month : 25497
    Total Visit : 1042898
    Hits Today : 2345
    Total Hits : 4281940
    Who's Online : 15
  • Kategori