Image_1101_1024x1024@2x

 

Judul buku      : Dunia Ialah Sebuah Aksara: Esei-esei Sastera Antarabangsa

Pengarang      : Muhammad Haji Salleh

Penerbit          : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit    : 2017

Pengulas         : Abdullah Hussaini bin Mohd Ghazali

“Walaupun ramai yang tidak menyetujuinya, namun hakikat bahawa kita sudah menjadi sebahagian daripada dunia yang lebih besar tidak dapat kita tolak, kita sembunyikan atau kita lenyapkan daripada lidah atau kewujudan kita.” – Dunia ialah Sebuah Aksara, hlm. xi.

JIKA saya menyingkap di sebalik kepala Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, barangkali yang saya ketemui ialah aneka aksara yang sukar dideskripsikan, seperti muka depan sampul buku tersebut. Buku ini  kumpulan eseinya berkenaan sastera. Kesemua eseinya dikumpulkan daripada ruangan majalah Dewan Sastera seawal tahun 2000 hingga tahun 2015.

Kamus Dewan edisi keempat mendefinisikan esei sebagai karangan prosa tentang sesuatu tajuk. Menurut Kamus Merriam-Webster, esei penulisan kecil yang memaparkan buah fikiran seseorang atau pandangan terhadap sesuatu subjek. Bagi penulis muda Wan Nor Azriq pula, “Esei boleh bercerita; esei boleh bergosip; esei boleh berfalsafah; esei boleh berpolemik. Esei boleh menjadi apa-apa yang kita inginkan. Yang penting, sebuah esei harus mengandungi percakapan idea.” Jika anda membaca buku ini, pasti anda akan menyetujuinya.

SN Muhammad Haji Salleh menggumpalkan kesemua erti esei itu ke dalam penulisannya. Kita boleh menemukan falsafah, nama penulis asing yang kita tidak pernah dengar sebelum ini, polemik tentang sastera dan nasibnya, perihal sejarah bangsa, warisan dan bahasa yang semakin kita lupakan, musim sejuk di luar negara, pengalaman guru dan anak murid, sanjungan terhadap penulis dan juga sikap keanehan penulis yang gila kamus sehingga tidur dengannya!

Buku ini mengandungi esei sastera antarabangsa dan terbahagi kepada enam bahagian, iaitu Asia, Eropah, Amerika, Afrika, Australia dan umum. Paling banyak subbahagian ialah bahagian Asia dan umum. Bahagian Asia menyebut negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, India, Jepun, Korea, China dan Timur Tengah. Bahagian Eropah pula mempunyai dua subbahagian, iaitu England dan United Kingdom. Sementara itu bahagian Amerika pula terdapat dua subbahagian Amerika Utara dan Amerika Selatan. Bahagian Afrika, Australia dan umum tidak punya subbahagian.

Gaya bahasanya jernih, mudah difahami dan tidaklah mempunyai jargon kesusasteraan yang membuatkan pembaca terpinga-pinga. Kadangkala tulisannya begitu puitis. Perhatikan ungkapannya pada salah satu esei yang berbunyi, “Dunia remaja adalah tingkap masa hadapan”. Tidak kita boleh nafikan bahawa SN Muhammad Haji Salleh ialah seorang pemuisi dan bukan setakat menulis sekian banyak buku puisi, memenangi anugerah pula, malah beliau juga seorang ahli akademik yang sudah tentunya sedikit-sebanyak, dengan latarnya yang begitu dalam terhadap bidang puisi, mempengaruhi penulisan eseinya.

Kita tahu bahawa beliau juga merupakan penterjemah dan telah menterjemahkan karya-karya penulis luar seperti penyair terkenal Pablo Neruda ke dalam bahasa Melayu. Malah pada zaman mudanya, beliau mula menulis sajak dalam bahasa Inggeris dan tersiar dalam surat khabar serta majalah antarabangsa. Hal ini turut dicatatkannya dalam beberapa eseinya. Keupayaan SN Muhammad Haji Salleh turut ditampilkan dalam beberapa terjemahan langsung beberapa sajak penulis luar negara seperti pada esei bertajuk “Ke Urdu, Sebuah Bakat Besar”. Beliau menterjemahkan salah satu sajak penyair terkenal India, Mohammad Alvi yang berbunyi :

Sewaktu aku terkejut dari tidur

Pada suatu malam buta

Kulihat cahaya bulan

Berdiri dalam kamar kau

Maka jerejak besar tingkap

Bertaburan di lantai

Dalam beberapa eseinya, SN Muhammad Haji Salleh turut memperkenalkan beberapa orang pengarang sastera antarabangsa. Barangkali antara kita tidak ramai yang mendengar nama-nama seperti Jorge Luis Borges, Paul Auster, Kazuko Shiraisi, Doris Lessing, Odysseas Elytis, Panji Tisna dan beberapa nama lain lagi. Bukan sekadar menyebut namanya bahkan beliau mengulas serba sedikit berkenaan karya-karya mereka serta kehidupan mereka juga. Sebagai contoh, dalam esei “Harap Jorge Luis Borges Sebenar Tampil ke Depan”, beliau mengupas salah satu cerpen penulis terulung Argentina tersebut bertajuk “Borges dan Saya”. Jorge Luis Borges dikatakan sebagai penghubung antara dunia sastera moden dengan pascamoden dan tulisannya telah mempengaruhi sekian banyak penulis era Latin Bloom seperti Julio Cortazar, Mario Vargas Llosa dan tidak kurang terkenal juga, Gabriel Garcia Marquez. Di Malaysia ada beberapa penulis yang turut menggemari Gabriel Garcia Marquez seperti Ruhaini Matdarin, Zainal Rashid Ahmad dan Roslan Jomel.

Ternyata dengan menyebut sekian banyak nama penulis dan mengupas karya mereka menunjukkan SN Muhammad Haji Salleh sebagai seorang yang luas pembacaannya. Hal ini terbukti dalam beberapa eseinya mengenai pembacaan dan perpustakaan. Dalam eseinya bertajuk “Pengakuan Seorang Pemadat Buku”, beliau menulis, “Buku mengajak saya menelusuri pemikiran besar dan sesekali mengajak saya menjadi besar. Buku juga mengajar banyak bangsa untuk maju dan menjadi besar.” Beliau turut merakamkan pengalaman membacanya sejak kecil, pengalaman membaca di universiti sehinggalah pembacaannya sekarang. Kepentingan membaca sangat dititikberatkannya dan beliau membuat perbandingan budaya membaca dan membeli buku di negara kita dengan negara luar seperti Jepun dan Jerman. Beliau turut mengaku sebagai seorang pemburu pelbagai jenis kamus, daripada kamus paling lama kepada kamus kontemporari. Paling disukainya kamus-kamus lama yang kini sukar ditemukan. Malah beliau mengaku bahawa beliau tidur dengan beberapa buah kamus di sisinya. Beliau menyebut, “Kamus mengutip genius sesuatu bangsa dan dipersembahkan kepada kita secara tersusun dan mudah dirujuk.”

SN Muhammad Haji Salleh turut menyentuh mengenai perpustakaan. Salah satu esei berkenaannya bertajuk “Perpustakaan Itu Tanah Airku”, beliau menceritakan kunjungannya ke perpustakaan-perpustakaan terkemuka seperti Perpustakaan Leiden di Belanda yang menyimpan banyak khazanah bangsa Melayu, Perpustakaan London yang sangat kondusif dan beberapa perpustakaan lain. Di perpustakaanlah beliau menemukan kamus yang sukar ditemui, buku-buku langka yang sangat bernilai dan keasyikan membaca di suatu ruang terpencil yang sukar digambarkan.

Tidak kurang banyak yang disentuh juga adalah berkenaan bahasa. SN Muhammad Haji Salleh menekankan betapa pentingnya rakyat Malaysia berbangga untuk berbahasa Melayu dan tidak bersikap apologetik kerananya. Ada beberapa eseinya yang menyingkap kegeniusan bahasa Melayu dan kehebatan nenek moyang kita yang mencipta sekian banyak perkataan yang sesuai disebut. Kehebatan peribahasa dan kemungkinan asal usulnya turut dibincangkan dalam beberapa esei. Beliau menyatakan kegusarannya kerana semakin banyak orang yang melupakan keindahan bahasa Melayu pada zaman moden kini. Katanya dalam esei “Peribahasa Sebagai Perian Bangsa”, “Peribahasa disimpan kerana diperlukan dan diperlukan sepanjang waktu.”

Begitulah sedikit sebanyak yang dapat diulas mengenai buku kumpulan esei ini. Buku ini sangat wajar dibaca oleh semua golongan lebih-lebih lagi penulis kerana dengan membacanya, dapat menarik diri pembaca ke sebuah dunia yang bukan sahaja dipenuhi aksara, malah makna diri dan serbuk kehidupan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013465
    Visit Today : 728
    This Month : 32810
    Total Visit : 1013465
    Hits Today : 2434
    Total Hits : 4134539
    Who's Online : 15
  • Kategori