Oleh NURDIANA MOHD KAMAL

Persidangan media dua program DBP oleh Datuk Abdul Adzis Abbas, Ketua Pengarah DBP (dua dari kiri).

Persidangan media dua program DBP oleh Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP (tiga dari kiri). Yang turut kelihatan Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP (kiri sekali) dan wakil penganjur program.

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM), Pertubuhan Pengkarya Filem Muda (MYFA), Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (WADI Malaysia) dan Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) telah melancarkan dua program, iaitu Ekspresi Muzik Jalanan 2018 (EMJ 2018) dan Festival Filem Pendek Nusantara 2018 (FFPN 2018) pada 19 Februari 2018 (Isnin) di Galeri Bahasa Jiwa Bangsa, Menara DBP. Antara yang turut hadir dalam majlis persidangan akhbar pelancaran program tersebut ialah Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah DBP dan wakil penganjur.

Tujuan program EMJ 2018 diadakan adalah untuk menjadikan pemuzik jalanan sebagai perantara dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu melalui penciptaan lagu puisi yang dapat disebarkan terus kepada pelbagai lapisan masyarakat. Program ini juga dapat mendekatkan DBP dengan kelompok pemuzik jalanan yang didominasi oleh golongan muda.

EMJ 2018  menggunakan Facebook  sebagai medium penjurian. Lagu mestilah dicipta daripada puisi yang telah diterbitkan dalam buku atau majalah DBP, dipersembahkan di tempat terbuka, dirakam kemudian dimuat naik dalam Facebook DBP. Video yang mendapat jumlah Suka/Like tertinggi setiap bulan dari Mac hingga September 2018 akan dinobatkan sebagai juara bulanan dengan hadiah RM1000.00.

Seterusnya pemenang bulanan akan  bertanding di gelanggang akhir EMJ 2018 pada bulan Oktober 2018 bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2018. Tujuh juara bulanan akan berebut takhta juara yang akan membawa pulang wang tunai RM3000.00, diikuti naib juara wang tunai RM2000.00 dan tempat ketiga, RM1000.00. Maklumat pertandingan terdapat dalam Facebook DBP dan di http://lamanweb.dbp.gov.my.

Sementara itu, FFPN 2018 ialah festival yang bertujuan untuk merancakkan lagi industri penghasilan video berbahasa Melayu dalam kalangan belia ASEAN. FFPN 2018 merupakan edisi sulung yang akan diadakan pada 7 Julai 2018 (Sabtu) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Yang paling menarik, 17 anugerah menjadi rebutan dengan nilai hadiah wang tunai, barangan serta trofi festival mencecah RM100,000.00. Penyertaan FFPN 2018 dibuka dari 1 Mac 2018 hingga 30 Mei 2018. Syarat-syarat penyertaan akan diperincikan bersama-sama borang penyertaan pada bulan Mac 2018.

Sesungguhnya kedua-dua program ini dapat menyokong usaha murni untuk memartabatkan dan mengembangkan bahasa kebangsaan dalam semua lapisan masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013605
    Visit Today : 868
    This Month : 32950
    Total Visit : 1013605
    Hits Today : 2906
    Total Hits : 4135011
    Who's Online : 7
  • Kategori