Oleh FATHIN NABILA ABDULLAH

budiman

YB Budiman Mohd Zohdi, Pengerusi ITBM.

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menganjurkan Wacana Komersialisasi Sastera pada 13 Februari 2018, di Wisma ITBM, Kuala Lumpur. Wacana telah menyaksikan perbincangan antara ahli panel, iaitu Encik Mohd. Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM,  Dr. Norhayati Abd. Rahman, pensyarah Universiti Malaya, Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Akademi DBP dan Encik Nurul Asyikin Abd. Hamid penulis bebas. Encik Mohd. Rozlan Mohamed Noor pula bertindak sebagai pemudah cara.

panel

Barisan ahli panel (dari kanan), Mohd. Khair, Dr. Norhayati, Nurul Asyikin dan Saifullizan, manakala Mohd. Rozlan sebagai pemudah cara.

Antara objektif wacana adalah untuk mempertingkatkan minat dan kecintaan pelajar atau penulis muda dalam lapangan sastera. Selain itu, wacana berfungsi sebagai penjalin kerjasama antara agensi kerajaan dengan pihak swasta dalam penganjuran program berkaitan bahasa dan sastera.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Haji Sharifullizan Malek, Pengarah DBP Wilayah Tengah dan diikuti perasmian wacana oleh YB Tuan Budiman Mohd. Zohdi, Pengerusi ITBM.

Pusingan pertama dimulakan dengan pandangan Encik Mohd. Khair berkenaan komersialisasi sastera. Dr. Norhayati Abd. Rahman berbicara seputar definisi “komersial” dan “sastera”. Encik Nurul Asyikin Abd. Hamid atau lebih dikenali sebagai Aloy Paradoks, menghuraikan perjalanan beliau memulakan sebuah rumah penerbitan bebas. Manakala Encik Saifullizan membincangkan cabaran dunia sastera hari ini yang digambarkan seperti lingkaran syaitan, iaitu pada era modenisasi ini, minat masyarakat terhadap aktiviti pembacaan amat kurang. Katanya, hal ini dapat ditangani dengan mempelajari sejarah penerbitan buku pada era 1980-an dan 1990-an.

Antara khalayak yang menghadiri wacana.

Antara khalayak yang menghadiri wacana.

Perkara yang ditekankan dalam perbincangan ini adalah bagaimana komersialisasi sastera berlaku. Komersial didefinisikan sebagai hal yang berkaitan atau bersifat perdagangan. Selain itu, komersial boleh ditakrifkan sebagai nilai ekonomi. Manakala sastera pula membawa maksud hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk karangan bebas atau dalam bentuk puisi.

Dua hal yang dibincangkan ini memberikan nilaian yang berbeza kerana komersial dikaitkan dengan keuntungan manakala sastera mempunyai harga yang tak ternilai. Tetapi perbincangan ini telah memberikan ruang dan peluang untuk membincangkan cara-cara mengkomersialkan sastera.

Menurut Encik Mohd. Khair lagi, penulis dan penerbit harus bersinergi dalam menghasilkan dan memasarkan buku. Hal ini penting bagi memastikan mutu dan kualiti penghasilan sesebuah karya terpelihara. Kualiti sesebuah karya amat penting dalam menentukan harga sesebuah karya. Itulah yang dikatakan oleh Dr. Norhayati ketika mengulas tentang komersialisasi.

Aloy pula mengimbas kembali pembabitan awal beliau dalam penerbitan buku dengan modal RM70. Beliau menceritakan usaha mempromosikan buku terbitan syarikatnya dan menampilkan penulis yang mempunyai penampilan yang menarik. Penulis tersebut dianjurkan supaya mempamerkan gaya hidup mereka di media sosial bagi menarik pembaca dalam kalangan remaja untuk membeli buku terbitan syarikatnya.

Pada akhir sesi, beberapa persoalan ditujukan kepada ahli panel berkenaan minat remaja dewasa ini terhadap budaya membaca. Ternyata kita terpaksa akur kepada realiti bahawa minat membaca mereka amat rendah tetapi hal ini dapat ditangani dengan menerbitkan buku gabungan genre yang mereka minati dan seterusnya menyemarakkan semangat mereka untuk membaca. Itulah cadangan yang diutarakan oleh Encik Saifullizan.

Sharifullizan (kiri) menyampaiakn cenderamata kepada YB Budiman sambil diperhatikan oleh Mohd. Khair Ngadiron.

Sharifullizan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada YB Budiman sambil diperhatikan oleh Mohd. Khair.

Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan turut bertanyakan soalan tentang, adakah penulis dapat meneruskan hidup dengan wang hasil menulis. Respons Encik Mohd. Khair adalah sama ada penulis dapat meneruskan hidup dengan hasil aktiviti menulis bergantung kepada gaya hidup.

Kesimpulannya, sastera haruslah dikomersialkan demi memelihara dan memulihara hasil karya sastera yang kian dipandang sepi oleh masyarakat. Kerjasama antara badan kerajaan dan badan bukan kerajaan harus dipereratkan demi memastikan sastera tetap utuh sepanjang zaman. Di samping itu, sinergi antara penulis dengan penerbit amat penting bagi memastikan isi kandungan sastera berkualiti sekali gus menarik minat masyarakat untuk membudayakan pembacaan sastera tidak mengira lapisan bangsa dan umur.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044699
    Visit Today : 1120
    This Month : 27298
    Total Visit : 1044699
    Hits Today : 4151
    Total Hits : 4289124
    Who's Online : 20
  • Kategori