OLEH HUMAIRA ABDUL RAHMAN

Sebahagian daripada Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Pada 28 November 2017, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 dan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Tunas Cipta 2015/2016 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Majlis ini telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Yang turut hadir ialah Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Dato’ Seri Dr. Md Salleh bin Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Datuk Haji Abdul Adzis bin Abas, Ketua Pengarah DBP dan Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran,Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang dilaksanakan secara dwitahunan ini diadakan untuk memberi pengiktirafan bertaraf nasional kepada karya sastera tanah air yang bermutu yang terbit atau tersiar dalam tahun penilaian dan mengenal pasti karya-karya sastera yang bermutu dan ditulis dalam bahasa Melayu. Selain itu, Hadiah Sastera Perdana Malaysia ini juga bertujuan untuk menggalakkan penerbit tempatan untuk menerbitkan karya sastera yang bermutu dalam bahasa Melayu.

ZFK28112017(227) Hadiah Sastera Perdana 2017

Penulis Novel Bukan Orang-orang menerima anugerah pada majlis tersebut.

Hadiah Sastera Tunas Cipta pula diadakan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada karya yang berbentuk puisi, cerpen dan rencana yang disiarkan dalam majalah di Malaysia di samping bertujuan untuk menggalakkan penghasilan karya yang bermutu tinggi dalam kalangan penulis muda berusia 7 hingga 21 tahun.

Proses penilaian melalui tiga fasa iaitu urus setia, panel saringan dan panel akhir. Penilaian dibuat dalam empat kategori utama, iaitu kategori buku atau kumpulan karya perseorangan; karya eceran, kesusasteraan kanak-kanak dan kesusasteraan remaja. Bagi kategori genre esei atau kritikan sastera eceran dibahagikan kepada dua, iaitu esei atau kritikan sastera makalah ilmiah dan esei atau kritikan sastera separa ilmiah.

ZFK28112017(62) Hadiah Sastera Perdana 2017

Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid berucap dan merasmikan Majlis Hadiah Sastera Perdana dan Hadiah Tunas Cipta 2015/2016.

Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia dalam ucapannya berkata, hadiah dan anugerah yang diberikan mampu menjadi pendorong kepada penulis muda meningkatkan iltizam untuk menghasilkan lebih banyak karya yang bermutu dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Jelasnya lagi. karya sastera yang mempunyai kekuatan daripada segi bahasa dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, pengungkapan estetika bahasa yang seimbang dengan kesan pemikiran, bermoral dan memancarkan inovasi dan kreativiti, layak dan diperakui sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/ 2016.”

Selain itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis bin Abas menyatakan bahawa pihak DBP akan menggiatkan lagi usaha dengan mengadakan program-program untuk mencungkil dan membina bakat penulis dan pada masa yang sama berusaha memasyarakatkan lagi karya sastera.

ZFK28112017(204) Hadiah Sastera Perdana 2017

Penulis karya Kumpulan Drama Saya dari Tanjung Penaga menerima anugerah pada majlis tersebut.

“Ini merupakan usaha yang berterusan dan dilaksanakan secara sistematik dengan kerjasama persatuan penulis, pusat pengajian tinggi dan organisasi kerajaan serta swasta. Kita berharap agar kesedaran dan celik sastera dalam kalangan masyarakat akan bertambah baik dan dapat membantu rakyat membina jati diri dan meningkatkan lagi kreativiti dalam menghadapi asakan budaya dan cabaran dunia komersial dari luar,” katanya lagi.

Seramai 44 orang telah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 dan 20 orang telah menerima Hadiah Tunas Cipta 2015/2016. Empat hadiah utama dianugerahkan dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Kategori A iaitu karya buku atau kumpulan. Bagi kategori Novel dianugerahkan kepada Puan Hafizah Iszahanid dengan karya novel yang bertajuk Bukan Orang-orang, bagi kategori Kumpulan Cerpen dianugerahkan kepada Encik Jasni Matlani dengan karya yang bertajuk Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo, manakala bagi kategori Kumpulan Puisi dianugerahkan kepada Encik Zainal Palit (Zaen Kasturi) dengan karya yang bertajuk “77 Tuju” (siri “ingatan kepada kawan”) dan ketiga-tiganya merupakan karya terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, 2015. Bagi kategori Kumpulan Drama pula dianugerahkan kepada Encik Ali@Azam Awang (Marzuki Ali) dengan karya yang bertajuk “Saya dari Tanjung Penaga” yang merupakan karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2015.

Anugerah seperti ini diharap dapat memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu agar terus subur dan mekar bagi mencapai cita-cita dan harapan untuk melihat bahasa dan sastera sebagai asas jati diri Melayu yang terus dijunjung di negara ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044097
    Visit Today : 518
    This Month : 26696
    Total Visit : 1044097
    Hits Today : 1432
    Total Hits : 4286405
    Who's Online : 10
  • Kategori