Oleh HUMAIRA ABDUL RAHMAN

PADA 8 Disember 2017, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan Majlis Hari Inovasi DBP 2017 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Majlis yang bertemakan “Membudayakan Kreativiti, Memperkasakan Inovasi” telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia. Majlis ini juga diadakan untuk melancarkan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015. Yang turut hadir ialah Prof. Dato’ Seri Dr. Md Salleh bin Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Datuk Haji Abdul Adzis bin Abas, Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP dan Encik Kamarul Zaman bin Shaharudin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP.

Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad manuskrip yang dipamerkan.

Dato’ Sri Alias  meneliti manuskrip lama yang dipamerkan.

Kreativiti dan Inovasi amat berkait rapat dalam peningkatan kualiti dan produktiviti kepada organisasi yang dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan sesebuah organisasi. Dalam konteks sektor awam atau badan berkanun, sesuatu inovasi seharusnya dapat memberikan manfaat kepada pihak awam iaitu rakyat serta dapat memberikan nilai tambah kepada keadaan yang sedia ada.

Ucapan Ketua Pengarah DBP,

Ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah DBP.

Menurut Datuk Haji Abdul Adzis, budaya kreativiti dalam kerja-kerja seharian dapat menanamkan sikap baharu kepada staf DBP khususnya dan penjawat awam umumnya agar lebih mudah melahirkan idea-idea baharu untuk tujuan penambahbaikan yang berterusan. Ini kerana sektor awam tidak terkecuali daripada perlu melakukan inovasi segera sejajar dengan tuntutan semasa untuk memastikan mereka lebih cekap mengurus, berhemah dalam berbelanja serta bertanggungjawab terhadap setiap keputusan dan perkhidmatan yang dihulurkan kepada rakyat atau komuniti industri.

“Bagi meneruskan kecemerlangan DBP dalam sistem pengurusan kualiti, DBP telah mengambil keputusan untuk mengorak langkah dan beralih daripada versi MS ISO 9001:2008 kepada MS ISO 9001:2015. Pada hari ini, 8 Disember 2017, secara rasminya MS ISO 9001:2015 akan dilancarkan oleh Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad. DBP menjangka akan memperoleh secara rasmi Pensijilan MS ISO 9001:2015 daripada pihak SIRIM pada 22 Jun 2018 bersempena dengan ulang tahun DBP yang ke-62,” jelasnya lagi.

Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad melaksanakan simbolik majlis perasmian Hari Inovasi DBP 2017.

Gimik pelancaran Majlis Hari Inovasi DBP 2017.

Selain itu, DBP juga telah melaksanakan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) bagi menyokong usaha-usaha Kerajaan ke arah transformasi perkhidmatan awam. EKSA merupakan penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam yang merupakan salah satu inisiatif ke arah peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan yang turut menekankan elemen-elemen baharu seperti Imej Korporat, Kreativiti dan Inovasi, Amalan Hijau dan Persekitaran Kondusif.

Sebagai agensi ulung yang menerajui usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, aktiviti pengembangan dan pemasyarakatan bahasa dan sastera Melayu merupakan antara strategi utama yang mampu menjadikan bahasa Melayu berperanan penting dalam pembinaan tamadun bangsa.

Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad memberikan ucapan perasmian majlis Hari Inovasi DBP 22017.

Dato’ Sri Alias menyampaikan ucapan pada majlis Hari Inovasi DBP 2017.

Dalam ucapan perasmian oleh Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad, beliau menyarankan agar DBP membentuk sebuah bahagian baharu yang didedikasikan untuk mencipta model perniagaan baharu berasaskan ekonomi digital dan juga untuk membangunkan teknologi perintis serta projek inovasi baharu. Penubuhan bahagian baharu ini akan berfungsi sebagai pusat evolusi dan inovasi dalam menghasilkan perkhidmatan dan produk baharu sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh pemain-pemain industri di luar negara. Inovasi merupakan kunci kejayaan kepada sesebuah entiti perniagaan dan organisasi.

“Untuk melahirkan masyarakat dan generasi yang berilmu, kreatif, inovatif dan berfikir pada aras tinggi, DBP mempunyai peranan yang amat penting dalam pembentukan dan penerapan budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan masyarakat, khususnya remaja dan pelajar sekolah. Untuk tujuan ini, penyediaan sumber ilmu dan bahan pembelajaran dalam bidang sains sosial, sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan pelbagai bidang lain adalah salah satu kunci dalam melahirkan masyarakat dan generasi yang berilmu, kreatif dan inovatif. Bagi mencapai matlamat dan hasrat ini, DBP perlu sentiasa responsif terhadap perubahan global terutamanya dalam bidang ilmu, serta senantiasa progresif dan bergerak seiring dengan dinamisme perkembangan teknologi dan sebarang perubahan dasar Kerajaan,” jelasnya lagi.

Antara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut ialah Anugerah EKSA, Anugerah Cadangan Inovasi DBP, Anugerah Citra Sahabat DBP, Anugerah Citra Program DBP, Anugerah Citra Karya DBP dan anugerah utama iaitu Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP 2017. Pemenang anugerah ini terdiri daripada kalangan pegawai DBP, Bahagian-bahagian DBP dan beberapa orang wakil daripada sektor awam dan swasta.

Encik Azmi Ibrahim, Ketua Editor Bahagian Majalah,

Encik Azmi Ibrahim, Ketua Editor Bahagian Majalah, menerima Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP 2017.

Anugerah utama iaitu Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP 2017  telah dianugerahkan kepada Bahagian Majalah DBP dengan projek inovasi mereka iaitu Projek Transformasi Pengurusan Jurnal. Projek inovasi yang berteraskan tranformasi pengurusan jurnal ini telah banyak memudahkan urusan jurnal seperti penghantaran dan penerimaan secara dalam talian, menjimatkan masa editor atau pengurus jurnal, menjimatkan kos, meningkatkan produktiviti dan mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Lebih membanggakan lagi, salah satu jurnal, iaitu Jurnal Bahasa telah diangkat menjadi Penerima Hadiah Utama Anugerah Makalah Jurnal Terbaik Kemanusiaan & Sains Sosial dalam Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) – KPT 2015.

MSS_9032

Antara penerima anugerah pada Majlis Hari Inovasi DBP 2017.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013439
    Visit Today : 702
    This Month : 32784
    Total Visit : 1013439
    Hits Today : 2347
    Total Hits : 4134452
    Who's Online : 15
  • Kategori