sejarah-melayu

Judul                : Sejarah Melayu

Pengarang       : Ahmad Dahlan

Terbitan          : Dewan Bahasa Dan Pustaka

Tahun Terbit : 2017

Pengulas     : ABDUL HAKAM BIN JAMALUDDIN

Setiap bangsa yang wujud di dunia ini pasti mempunyai asal usul mereka tersendiri. Tidak ada bangsa yang tiada mempunyai asal usul. Maka disiplin ilmu sejarah begitu penting bagi mereka yang ingin mengkaji asal usul keturunan dan sesuatu bangsa. Bahkan dengan mengkaji sejarah bangsa sendiri secara tidak langsung akan menanamkan sifat jati diri dalam sebuah masyarakat untuk terus dipegang dari satu generasi ke generasi yang lain. Bahkan bagi orang luar juga jika ingin mengetahui sikap, tingkah laku dan sosial sesuatu bangsa pasti akan menjadikan sejarah sebagai rujukan utama mereka agar dapat memahami secara umum cara hidup sesebuah masyarakat.

Orang Melayu di alam Nusantara ini juga mempunyai catatan sejarah mereka tersendiri. Buat sesiapa yang ingin mengetahui tentang sejarah orang Melayu, buku Sejarah Melayu yang ditulis oleh Ahmad Dahlan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017, boleh dijadikan sebagai bacaan utama. Buku yang berhalaman 743 muka surat ini pada asalnya diterbitkan dalam versi Bahasa Melayu Indonesia. Kemungkinan agak sukar untuk mendapatkan buku ini dalam pasaran tempatan, maka adalah wajar apabila pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mengorak langkah menerbitkan buku ini untuk memenuhi keperluan pembaca dan pengkaji tempatan terutamanya di Malaysia.

Secara umumnya, buku ini telah memuatkan sejarah kerajaan-kerajaan yang terdapat di Alam Melayu. Bermula dengan bab yang mendefinisikan siapakah Melayu. Hal ini dilihat penting kerana istilah ‘Melayu’ selalu menjadi polemik dalam kalangan sarjana. Maka menurut penulis, kajian tentang Melayu perlu dilakukan dengan lebih mendalam. Selanjutnya penulis telah memuatkan tentang sejarah kerajaan-kerajaan awal di Alam Melayu ini. Pada masa yang sama, buku ini turut menceritakan kewujudan empayar Srivijaya dan Majapahit yang sangat penting dalam sejarah Melayu. Hal berkaitan mitos mengenai asal usul Raja-Raja Melayu juga telah dimuatkan oleh penulis dalam buku ini. Dengan merujuk teks Melayu Sulalatus Salatin, buku ini menerangkan bahawa Raja-Raja Melayu adalah berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain.

Bagi orang Melayu, kemunculan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka telah menjadi sejarah penting dalam peradaban Melayu. Kemunculan kerajaan ini menjadi puncak kegemilangan orang Melayu. Pada tempoh ini juga Islam mula bertapak kukuh di Alam Melayu dan Melaka telah menjadi pusat penyebaran Islam. Namun begitu, kegemilangan ini telah dicemburui oleh kuasa asing sehingga membawa kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Kemudiannya kedatangan kuasa Barat yang silih berganti ke Alam Melayu hanya semata-mata ingin menguasai sumber alam demi mengaut keuntungan. Bahkan perselisihan yang wujud dalam kerajaan-kerajaan Melayu akhirnya telah membawa perpecahan kepada dunia Melayu apabila pada tahun 1824 dunia Melayu telah dibahagikan pada dua bahagian melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Kelemahan ini mengakibatkan dunia Melayu dijajah oleh kuasa asing sehinggalah wujudnya dua buah negara bangsa utama di Alam Melayu iaitu Malaysia dan Indonesia. Oleh itu bagi pembaca yang ingin mendapatkan maklumat mendalam tentang sejarah Melayu, perlu dapatkan naskhah ini bagi meluaskan lagi pengetahuan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045751
    Visit Today : 647
    This Month : 28350
    Total Visit : 1045751
    Hits Today : 2082
    Total Hits : 4292647
    Who's Online : 8
  • Kategori