OLEH IRFAN BIN MOHAMAD

Kerap kali kita menggunakan perkataan Inggeris dalam pertuturan harian sama ada penuturnya menyelitkan sesuatu perkataan itu secara sengaja atau tidak sengaja. Bagi kebanyakan orang, mereka beranggapan tiada istilah alih bahasa yang telah diterima pakai dalam bahasa Melayu. Maka mereka terus bercakap dengan istilah Inggeris dalam ayat bahasa Melayu mereka. Ada juga yang sengaja menggunakan perkataan dengan gaya slanga Inggeris, mungkin untuk dilihat atau didengar lebih maju dan terkehadapan.

Keadaan menjadi lebih parah apabila kita mula menuturkan istilah-istilah perubatan yang kebanyakannya berasal daripada perkataan bahasa Inggeris. Bagi orang yang tidak berada dalam bidang ini, istilah Inggeris pun mungkin tidak biasa didengari. Oleh itu, ini boleh menghindarkan mereka daripada berbuat salah sejak dari awal lagi. Masalah yang timbul ialah apabila penuturnya adalah daripada golongan bidang berkaitan cuma keprihatinan terhadap kepersisan ejaan yang betul itu yang mungkin belum ada.

Kejahilan ini sebenarnya lebih terserlah apabila perkataan yang dialihbahasakan itu dinukilkan dalam bentuk tulisan. Padah lagi jika tulisan itu dijadikan sebagai sebahagian daripada papan tanda atau penunjuk arah di sesebuah hospital atau institusi pengajian tinggi.

istilah perubatan 1

Contoh ejaan otorinolaringologi (bidang berkaitan telinga, hidung dan kerongkong) yang betul.

Sebenarnya perkataan atau istilah perubatan ini telah wujud dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua atau Kamus Dewan Edisi Keempat.

istilah perubatan 2

Kesalahan ejaan yang ketara pada perkataan yang sepatutnya dieja ‘Psikiatri’ (cabang perubatan berkaitan gangguan mental). Ia terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Kata asal Bahasa Melayu Maksud
Psychiatry Psikiatri Cabang perubatan yang berkaitan dengan kajian dan rawatan gangguan mental
Otorhinolaryngology Otorinolaringologi Kajian tentang penyakit telinga, hidung dan kerongkong
Orthopedic Ortopedik Subbidang ilmu pembedahan yang khususnya berkaitan dengan pemulihan fungsi sistem rangka serta sendi dan struktur yg berkaitan
Immunology Imunologi Cabang ilmu perubatan yang berkaitan dengan pelalian atau daya tahan terhadap penyakit
Ophthalmology Oftalmologi Kajian tentang mata dan penyakitnya
Anatomy Anatomi (Ilmu tentang) struktur fizikal manusia, binatang atau tumbuh-tumbuhan
Hematology Hematologi Cabang sains perubatan yang berkaitan dengan penyakit darah dan tisu pembentuk darah

Dari segi asal usul terbit sejarahnya, istilah-sitilah perubatan ini banyak yang berasal daripada bahasa selain Inggeris, contohnya perkataan ‘oto…’ dan ‘ortho… ’ yang berasal dari Greek. Oleh itu, sikap tidak prihatin terhadap ejaan istilah-istilah ini bukan sahaja berakhir dengan salah eja bahkan ia membawa kepada salah maksud, hanya dengan menambah atau menggugurkan satu huruf. Contohnya, ‘oto…’ merujuk kepada perkara berkaitan dengan telinga, manakala ‘ortho…’ pula bermaksud lurus yang sering digunakan dalam bidang kepakaran berkaitan sistem rangka, sendi serta struktur yang berkaitan tulang. Jadi ejaan ‘otopedik’ bagi merujuk kepada bahagian tulang, adalah salah. Sepatutnya ia dieja ‘ortopedik’.

istilah perubatan 3

Ejaan yang salah akan sedikit mencalarkan sesebuah institusi kerana ia menggambarkan tahap ketelitian. Ejaan yang betul ialah ortopedik (‘Oto’ merujuk kepada bidang berkaitan telinga)

Secara umumnya, ejaan dalam bahasa Melayu yang berasal daripada perkataan Inggeris, huruf ‘y’ digantikan dengan huruf ‘i’. Pada kebanyakan masa, huruf ‘h’ yang berada selepas ‘t’ akan digugurkan. Jika para pembaca ingin menyemak ejaan yang dimelayukan itu sama ada betul atau tidak, pengesahan pantas dan mudah boleh didapati hanya dengan menaip perkataan tersebut pada ruangan ‘Cari’ pada laman sesawang Kamus Dewan Bahasa dan Putaka dalam sesawang ‘http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kamus online’. Sebaliknya jika kita mempunyai perkataan bahasa Inggeris yang tidak pasti ejaan dalam bahasa Melayu, boleh sahaja ditaip perkataan tersebut pada ruangan ‘Cari/Carian’. Ejaan yang betul akan keluar yang diambil atau dirujuk daripada Kamus Inggeris – Melayu Dewan.

Sudah sampai masanya kita memperbetulkan yang biasa mahupun yang tidak biasa kerana mengeja sesuatu yang betul itu melambangkan ketelitian dan kecermatan kita dalam membuat sesuatu pekerjaan.

Sila Beri Pandangan


  • Laman

  • Arkib