Oleh SALIM MD ZAIN  

                                               

BATU Bersurat Terengganu

 TULISAN Melayu huruf Arab yang telah digunakan sejak kedatangan Islam di Nusantara dikenali dengan nama tulisan “Jawi”. Nama “Jawi” merupakan kata adjektif perkataan “Jawah” yang berasal daripada bahasa Arab. Berkemungkinan besar perkataan “Jawi” atau “Jawah” ini berasal daripada perkataan “Javadwipa”, iaitu nama bagi sebuah daerah di Asia Tenggara pada zaman purba. Ini dibuktikan dengan catatan oleh Ibnu Battutah dalam bukunya al-Rihlah yang menggelar Sumatera sebagai al-Jawah. Orang Arab hanya mengambil bahagian kata “Java” yang digunakan bagi merujuk seluruh Asia Tenggara, manakala kata “dwipa” ditinggalkan. Oleh itu, kata “Jawah” atau “Jawi” bukan sahaja merujuk pada orang Jawa, iaitu penduduk yang berasal dari Tanah Jawa, tetapi merujuk pada semua bangsa dan kaum peribumi Asia Tenggara termasuklah seluruh rumpun bangsa Melayu, Aceh, Banjar, Bugis, Campa, Jawa, Lombok, Mandailing, Minangkabau, Patani, Sunda, Filipina dan lain-lain. Oleh sebab itu, kebanyakan ulama dari Asia Tenggara sering menggunakan kata “al-Jawi” di hujung nama mereka sekalipun berlainan suku bangsa seperti Syeikh Abdul Samad al-Palembani al-Jawi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani al-Jawi, Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi dan ramai lagi.
     

            Hikayat Abdullah                       Seni khat memaparkan keunikan tulisan Jawi            

Kini, istilah “tulisan Jawi” dikenali di Malaysia, Singapura, Selatan Thai dan  Brunei Darussalam, manakala di Indonesia tulisan ini dikenali sebagai “tulisan Melayu huruf Arab” atau “tulisan Melayu Arab”. Pada zaman kegemilangannya, tulisan Jawi telah digunakan secara meluas oleh orang Melayu dalam pelbagai bidang penulisan dan kesenian. Banyak bukti sejarah yang menunjukkan tulisan Jawi telah digunakan sekian lama. Contohnya, batu bersurat Terengganu yang ditemui di Sungai Tersat, Kuala Berang, Hulu Terengganu  bertarikh 702H (1303M); mata wang (emas dan perak) yang diukir dengan nama raja Melayu yang memerintah seperti Sultan Muzaffar Shah, Mansur Shah dan lain-lain; surat  raja-raja Melayu yang menggunakan tulisan Jawi termasuk surat kepada raja-raja bukan Melayu seperti Portugal dan Inggeris; surat-surat perjanjian raja dan negara di Nusantara; catatan pemilikan dan perdagangan; piagam dan teks pemasyhuran; ukiran pada batu nisan; surat khabar dan majalah seperti Alamat Lankapuri, Jawi Peranakan, majalah Bustan Arifin dan Al-Imam. Kitab dan buku merupakan bentuk penulisan yang paling banyak terdapat sama ada dalam berbentuk manuskrip (tulisan tangan) atau cap batu. Kitab muktabar seperti Sayr as-Salikin, Hidayatus Salikin, Sabilal-Muhtadin, Tajul Muluk dan banyak lagi berjaya mendaulatkan tulisan Jawi.

[sirus+salikin1.JPG]
                                      Kitab Sayr as-Salikin                               

Malangnya, senario penggunaan tulisan Jawi di Malaysia kini seolah-olah mengalami “zaman kepupusan”. Semakin ramai anak Melayu yang gagal menguasai tulisan Jawi, malah berasa asing terhadap lambang jati diri bangsa sendiri. Kelemahan kemahiran menulis dan membaca Jawi dalam kalangan generasi muda bukan lagi senario yang luar biasa dalam masyarakat Melayu kita, walaupun terbukti dalam sejarah tamadun bangsa bahawa tulisan inilah yang menjadi wahana kemajuan negara bangsa khususnya di Kepulauan Melayu.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang memartabatkan bahasa Melayu dengan ketetapan tulisan Rumi, secara tidak langsung menyempitkan lagi ruang dan peluang untuk mengembangkan semula tulisan ini apabila ramai penerbit tidak lagi berminat dengan penerbitan bertulisan Jawi. Kedudukan tulisan Jawi semakin parah apabila kitab-kitab agama juga diterbitkan dalam tulisan Rumi. Justeru, bagi memupuk kembali kesedaran terhadap pentingnya memelihara warisan khazanah bangsa yang sangat berharga ini, semua pihak harus memainkan peranan bersama.

     

Akhbar dan slogan yang memartabatkan tulisan Jawi

Usaha Pendeta Za’ba mengumpul perkataan Melayu dalam tulisan Jawi sejak tahun 1918 sehingga terhasilnya buku Rahsia Tulisan Jawi pada  tahun 1931 dan diikuti kejayaan menghasilkan buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi perlu disegarkan semula. Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan dan seharusnya Jawi mampu bergerak seiringan dengan tulisan perdana yang lain. Inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan program J-Qaf (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain) sejak tahun 2005 merupakan langkah yang harus dipuji. Justeru komitmen dan sokongan padu semua pihak, terutama golongan masyarakat Melayu sangat dituntut demi mempertahankan tulisan Jawi sebagai tunjang kekuatan intelektual, nadi dan jantung bangsa yang tiada galang gantinya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014979
    Visit Today : 1008
    This Month : 34324
    Total Visit : 1014979
    Hits Today : 5463
    Total Hits : 4142265
    Who's Online : 12
  • Kategori