OLEH FAEZAH BINTI MUHAYAT DAN MUSAZLIZA BINTI MUSTAN SHIR

 

Pengenalan

MEMBACA novel Perlumbaan Kedua (1992) karya Marwilis Haji Yusof pasti mengingatkan pembaca kepada novel Tikus Rahmat (1963) karya Hassan Ibrahim. “Wan Empuk Kakak Wan Malini” cerpen karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, mengingatkan pembaca kepada watak Wan Empuk dan Wan Malini dalam peristiwa di Bukit Si Guntang yang terdapat dalam karya agung, Sejarah Melayu (1979). Begitu juga dengan karya terbaharu Siti Sara Hassan, Seharum Mawar (2017), seolah-olah mempunyai persamaan dengan cerita rakyat, Bawang Putih Bawang Merah.

Pendekatan Keselarian dalam Bandingan Sastera

Dalam penelitian ini, sekurang-kurangnya dua atau lebih karya yang dipercayai mempunyai ciri-ciri persamaan dan perbezaannya dibandingkan. Bandingan dapat dilakukan secara intrinsik dan ekstrinsik. Dalam konteks intrinsik, perbandingan dibuat dari aspek struktur atau aspek dalaman karya iaitu tema, watak, latar, plot dan gaya bahasa. Dari aspek ekstrinsik pula, kajian karya dilakukan terhadap segala unsur yang melahirkan karya termasuklah diri pengarang dan persekitarannya.

Bagi tujuan kajian ini, pengkaji akan mengkaji Seharum Mawar dengan Bawang Putih Bawang Merah kerana kedua-duanya mempunyai perkaitan. Kajian ini juga hanya berfokus kepada aspek intrinsik tanpa mengabaikan kesedaran bahawa aspek ekstrinsik juga sangat penting dalam menghasilkan karya.

Keselarian dalam Seharum Mawar dan Bawang Putih Bawang Merah

Dalam mengaplikasikan pendekatan keselarian (parallel study), kajian ini memberikan tumpuan kepada sebuah novel remaja bertajuk Seharum Mawar hasil karya Siti Sara Hassan. Ia mengisahkan seorang gadis bernama Mawar yang cantik dan berpekerti mulia. Setelah kematian ibunya, dia tinggal bersama-sama ibu tiri dan adik tirinya. Mawar hidup menderita kerana diseksa oleh ibu dan adik tirinya, terutama apabila ayahnya pergi merantau untuk berdagang. Setelah sekian lama terseksa, Mawar yang hanyut di sungai diselamatkan oleh Jaka seorang pemuda yang tinggal bersama-sama nenek dan adik perempuannya di dalam hutan. Mawar tinggal bersama-sama keluarga angkatnya di situ. Sikap pekerti mulia Mawar menyebabkan dia disayangi oleh keluarga angkatnya. Selepas beberapa bulan tinggal di dalam hutan, keluarga angkatnya menyerahkan Mawar ke pangkuan ayahnya di kampung. Ibu dan adik tirinya juga telah insaf dan menyedari akan kesilapan mereka. Jaka yang menaruh perasaan terhadap Mawar telah menghantar rombongan meminang dan pada ketika itu, barulah Mawar mengetahui akan asal usul keluarga angkatnya yang merupakan kerabat diraja. Akhirnya Mawar berkahwin dengan Tuanku Jaka Shah dan hidup bahagia di istana Negeri Jelapang Emas.

Jalan cerita Seharum Mawar ini memperlihatkan persamaan dengan cerita rakyat yang terkenal, iaitu Bawang Putih Bawang Merah. Teks yang diteliti untuk tujuan kajian ini ialah Bawang Putih Bawang Merah yang disusun semula penceritaannya oleh Rubaidin Siwar terbitan DBP, Cetakan Ketiga pada tahun 1990. Buku ini mula dicetak pada tahun 1980 dan telah diulang cetak sebanyak tujuh kali. Cetakan terakhir adalah pada tahun 2002.

Cerita Bawang Putih Bawang Merah mengisahkan Pak Ali yang mempunyai dua orang isteri, iaitu Mak Labu dan Mak Kundur. Hasil daripada perkahwinannya yang pertama, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Bawang Merah. Isteri keduanya, Mak Kundur turut melahirkan seorang anak perempuan bernama Bawang Putih. Selepas kematian Pak Ali, hidup Mak Labu dan Bawang Merah terseksa apabila mereka dipaksa melakukan pelbagai kerja rumah. Tambah menyedihkan, Mak Kundur tergamak membunuh Mak Labu dengan memukul dan menolaknya ke dalam perigi ketika dia hendak mandi. Hidup Bawang Merah semakin tertekan. Kelembutan, kecantikan dan kemerduan suara Bawang Merah telah berjaya menambat hati seorang putera raja negeri itu. Putera raja tersebut melamar Bawang Merah. Mereka berkahwin dan hidup bahagia. Mak Kundur dan Bawang Putih semakin cemburu. Dalam diam mereka berhasrat untuk menghancurkan perkahwinan tersebut. Bawang Merah yang lurus bendul itu disuruh melakukan pelbagai muslihat untuk menguji kasih sayang putera raja itu terhadapnya.  Akhirnya kejahatan Mak Kundur dan Bawang Putih terbongkar dan dia telah dijatuhkan hukuman buang daerah.

Bandingan Tema

Seharum Mawar dan Bawang Putih Bawang Merah mengungkapkan tema penderitaan yang berakhir dengan kebahagiaan. Kedua-duanya, Mawar dalam Seharum Mawar dan Bawang Merah dalam Bawang Putih Bawang Merah menderita dan terseksa hidup akibat perbuatan jahat ibu tiri.

Ibu Kuntum yang membenci Mawar dan sering menyeksanya adalah kerana Mawar merupakan anak suaminya dengan isterinya yang tua. Malah, ketika berkahwin dengan bapa Mawar, Ibu Kuntum merupakan janda yang mempunyai seorang anak perempuan. Lantaran itu, baginya adalah wajar dia melebihkan kasih sayangnya terhadap anak perempuannya sendiri berbanding dengan menyayangi anak tirinya.

Mak Kundur dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah merupakan ibu tiri kepada Bawang Merah. Ibu kandung Bawang Merah bernama Mak Labu. Mak Kundur dan Mak Labu sering bergaduh sehingga menimbulkan perasaan dendam dalam diri Mak Kundur. Akibat daripada perasaan dendam tersebut, Mak Kundur sanggup membunuh Mak Labu dengan memukul dan menolaknya ke dalam perigi. Mak Labu menjelma menjadi ikan kaloi di dalam telaga itu.

Ketidakjujuran manusia dalam pertuturan dan tingkah laku merupakan antara persoalan yang dipaparkan dalam novel Seharum Mawar. Sikap ketidakjujuran manusia diperlihatkan dalam watak Ibu Kuntum yang mempunyai agenda tersembunyi dalam menjalinkan persahabatan dengan Ibu Mawar. Melalui teknik imbas kembali, Mawar menceritakan bagaimana ibunya meninggal dunia setelah meminum air rebusan akar kayu pemberian Ibu Kuntum. Setelah meminum air rebusan tersebut, ibunya sudah tidak mempedulikan Mawar lagi, dia hanya menghabiskan masa melayani Ibu Kuntum sehingga tubuhkan semakin susut dan cengkung. Meskipun sudah ramai dukun dan bomoh yang datang merawat, namun sakit Ibu Mawar tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih dan akhirnya dia meninggal dunia. Tidak lama kemudian, Ibu Kuntum berkahwin dengan bapa Mawar. Peristiwa ini menunjukkan ketidakjujuran Ibu Kuntum dalam menjalinkan persahabatan kerana dia ingin merampas dan berkahwin dengan bapa Mawar. Sikap baik Ibu Kuntum terhadap Ibu Mawar ternyata mengandungi agendanya yang tersendiri dan akhirnya matlamatnya untuk berkahwin dengan bapa Mawar tercapai. Malah, setelah tinggal bersama-sama Mawar, Ibu Kuntum berpura-pura menyayangi anak tirinya itu apabila suaminya berada di rumah. Namun, apabila bapa Mawar pergi berdagang, Mawar diperlakukan seperti hamba di rumahnya sendiri.

Semenjak ayahnya berkahwin dengan Ibu Kuntum, ayahnya sudah berubah. Mawar tidak lagi dipedulikan. Tiada lagi senda gurau seperti dahulu. Ayahnya lebih banyak meluangkan masa bersama-sama ibu tirinya. Mawar hanya memerhati dengan penuh rasa sedih. Apakan daya Mawar, kasih ayahnya kini telah berubah arah (Seharum Mawar, 2017:29).

Sungguh tidak patut, Ibu Kuntum tergamak mengambil kesempatan atas kebaikan ibunya. Kebaikan yang Ibu Kuntum tunjukkan kepada Ibu Mawar hanya sebagai udang di sebalik batu. Kata-kata manis Ibu Kuntum telah berjaya menambat hati mereka sekeluarga. Tidak sekalipun Mawar menduga Ibu Kuntum sekejam itu. Dahulu Ibu Kuntum seorang wanita yang lembut tutur katanya, pandai mengambil hati semua orang malah dia amat rajin menolong ibunya. Itu cukup menyenangkan hati Mawar. Tidak Mawar menduga semua itu hanya sandiwara semata (Seharum Mawar, 2017: 32).

Apa yang membezakan persoalan ini dalam kedua-dua karya ialah dari segi matlamat tindakan watak. Dalam novel Seharum Mawar, ketidakjujuran dan pengkhianatan Ibu Kuntum ialah kepada sahabatnya sendiri iaitu Ibu Mawar untuk mencapai cita-citanya berkahwin dengan bapa Mawar. Dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah pula, ketidakjujuran Mak Kundur terserlah melalui peristiwa pembohongannya dengan pemerintah dan raja demi mencapai cita-citanya untuk menumpang tuah dan kesenangan anaknya jika dapat berkahwin dengan putera raja. Justeru, jelas dilihat perbezaan kepentingan tindakan ketidakjujuran watak-watak dalam kedua-dua karya.

Meskipun terdapat persamaan persoalan perbuatan jahat akan menerima hukuman dalam kedua-dua karya, namun apa yang membezakan persoalan ini dalam kedua-dua karya ialah jenis hukuman yang diterima oleh kedua-dua watak. Misalnya dalam Seharum Mawar, Ibu Kuntum menerima balasan atas perbuatannya terus daripada Allah SWT apabila dia ditakdirkan terjatuh dan lumpuh, manakala dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah, Mak Kundur menerima hukuman atas perbuatannya daripada manusia iaitu raja di negerinya. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa walaupun kedua-dua buah novel ini bertolak daripada idea besar atau tema yang sama, akan tetapi persoalan yang mendukungnya tidak semuanya sama. Persoalan-persoalan tersebut masing-masing bersesuaian dengan konteks cerita yang dipaparkan.

Bandingan Watak dan Perwatakan

Kedua-dua karya ini melukiskan watak wanita sebagai watak utama. Dalam Seharum Mawar, watak protagonis yang mendominasi cerita ialah watak Mawar. Mawar digambarkan sebagai seorang gadis sunti berusia 15 tahun yang baik, cantik dan berpekerti mulia. Mawar bukan sahaja pandai memasak, menjahit dan membuat sulaman, malah suka mempelajari ilmu baharu seperti ilmu membuat ubat-ubatan daripada akar kayu dan pokok herba yang dipelajarinya daripada Nenek Kantan ketika tinggal di hutan.

Cerita Bawang Putih Bawang Merah juga menampilkan wanita sebagai watak protagonis. Bawang Merah digambarkan sebagai seorang gadis yang baik, lemah lembut, berbudi bahasa dan rajin membantu ibu bapanya melakukan kerja-kerja di rumah dan di ladang. Dia juga mempunyai rupa paras yang menawan dan suara yang merdu apabila bergurindam. Sikapnya yang penyabar dan tidak pernah melawan telah menyebabkan dia selalu ditindas dan didera oleh ibu dan adik tirinya.

Selain kedua-dua watak protagonis dipelopori oleh wanita, persamaan kedua-dua watak utamanya menderita dan terseksa adalah disebabkan oleh perbuatan ibu tiri. Mawar dan Bawang Merah diseksa oleh ibu tiri setelah ibu kandung mereka meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, tempoh penderitaan dan penyeksaan yang dialami oleh Mawar lebih singkat berbanding dengan Bawang Merah. Mawar mengalami penderitaan dan penyeksaan hidup dalam usianya 15 tahun, tetapi Bawang Merah mengalami penderitaan sejak kecil sehinggalah dia berumah tangga. Ibu kandung Mawar meninggal dunia kerana sakit, sementara ibu kandung Bawang Merah dibunuh oleh ibu tirinya dengan memukul dan menolak mak Bawang Merah ke dalam telaga dan bertukar menjadi seekor ikan kaloi. Meskipun kedua-dua cerita menampilkan watak wanita sebagai watak utama, namun pelukisan watak dalam kedua-dua novel dilihat mempunyai perbezaan. Dalam novel Seharum Mawar, Mawar digambarkan lebih aktif, bijak menggunakan akal dalam bertindak, berwawasan dan mempunyai ketahanan peribadi yang dapat mengelakkan dirinya daripada terus menderita. Sikapnya yang suka merendah diri dan ingin belajar ilmu perubatan tradisional daripada Nenek Kantan melambangkan ketinggian semangatnya untuk memajukan diri demi masa depannya.

Manakala Bawang Merah dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah pula digambarkan sebagai wanita yang pasif, baik, jujur, dan sabar. Watak Bawang Merah memperlihatkan sikap lemah seorang wanita yang sering ditindas dan diperbodohkan oleh orang lain. Sikap Bawang Merah yang ‘lurus bendul’ dan hanya mengikut arahan ibu tirinya tanpa memikirkan kesannya terhadap diri dan suaminya, membuktikan perbezaan watak utama dalam kedua-dua buah novel yang diteliti.

Bandingan Plot

Dalam cerita Seharum Mawar dan Bawang Putih Bawang Merah, plot dijalinkan mengikut kronologi iaitu mengikut urutan masa. Kedua-dua cerita mengemukakan permulaan, perkembangan, klimaks cerita dan peleraian. Walau bagaimanapun, perkembangan plot, klimaks sehingga ke akhir cerita dan teknik yang digunakan adalah berbeza antara kedua-duanya.

Dengan menggunakan teknik pemerian, kedua-dua cerita dimulakan dengan memperkenalkan kampung dan keluarga yang menjadi tunjang cerita tetapi plot Seharum Mawar sudah ada teknik imbas kembali iaitu ketika Mawar termenung di serambi rumah terkenangkan masa silam bersama-sama ibu dan bapanya serta kehadiran Mak Kuntum dan Kuntum dalam keluarganya.

Mawar termenung sendirian di serambi rumahnya. Dia terkenangkan zaman silam, keindahan kehidupan bersama-sama ibunya, banyak likur yang lalu.

(Seharum Mawar, 2017: 3)

Berbanding dengan cerita Bawang Putih Bawang Merah yang bermula secara mendatar dengan hasrat Pak Ali ingin berkahwin lagi kerana perkahwinannya dengan Mak Labu tidak dikurniakan cahaya mata. Setelah berkahwin dengan Mak Kundur, Mak Labu juga hamil dan mereka melahirkan anak perempuan yang diberi nama Bawang Merah dan Bawang Putih.

Dalam perkembangan plot, cerita Seharum Mawar menggunakan teknik imbas kembali, dialog dan monolog. Teknik imbas kembali diperlihatkan apabila Mawar digambarkan sentiasa mengingati kehidupannya bersama-sama ibu dan ayahnya. Walaupun Mawar sudah bahagia tinggal di dalam hutan bersama-sama Nenek Kantan, Teratai dan Jaka, dia tetap mengingati saat-saat bersama-sama dengan ibu dan ayahnya. Teknik dialog digunakan dalam perbualan antara watak dalam cerita, manakala teknik monolog pula digunakan ketika Mawar bersedih kerana diherdik dan diseksa oleh Mak Kuntum dan disuruh membuat semua kerja rumah. Mawar juga tidak dibenarkan makan bersama-sama Mak Kuntum dan Kuntum, hanya makan sisa-sisa mereka sahaja. Mawar bertanya kepada dirinya mengapa Mak Kuntum tidak suka kepada dirinya. Apa salah dirinya sehingga menyebabkan Mak Kuntum bersikap demikian.

Apa salah dirinya sehingga Ibu Kuntum begitu membencinya? Sudahlah kasih ayahnya dirampas semuanya oleh Ibu Kuntum. Kini dirinya pula diseksa tanpa rasa belas kasihan. Mawar diperlakukan seolah-olah dirinya tidak punya perasaan. Hmm … Mawar mengeluh lagi.

(Seharum Mawar, 2017: 43)

Berbeza dengan cerita Bawang Putih Bawang Merah, plot diteruskan dengan pertelingkahan dan pergaduhan antara Mak Labu dan Mak Kundur. Mak Labu dan anaknya, Bawang Merah membuat semua kerja rumah tetapi Mak Kundur dan Bawang Putih hanya duduk sahaja di rumah. Selepas kematian Pak Ali, pergaduhan antara mereka menjadi lebih parah sehingga menyebabkan Mak Kundur sanggup membunuh Mak Labu dengan memukul dan menolaknya ke dalam perigi. Mak Labu menjelma menjadi seekor ikan kaloi.

Dalam perkembangan plot juga, unsur konflik dimasukkan. Cerita Seharum Mawar tidak banyak konflik kerana penderitaan yang dialami oleh Mawar hanya seketika. Konflik antara Mawar dan Mak Kuntum hanya berlaku selepas kematian ibu Mawar iaitu Mawar dipaksa untuk membuat semua kerja rumah. Konflik seterusnya berlaku antara Mawar dengan Kuntum apabila kuntum melihat Mawar bersembang dengan Demang dan berasa cemburu. Selepas Mawar tinggal bersama-sama Nenek Kantan di hutan, hidupnya lebih gembira. Kesusahan dan kesedihan sepanjang tinggal bersama-sama Mak Kuntum dan Kuntum tidak lagi dirasakan. Semua penderitaannya telah berakhir.

Namun, dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah, banyak konflik yang berlaku kepada Bawang Merah sejak dari kecil sehingga dia berumah tangga. Ibu tirinya, Mak Kundur tidak pernah menyesal dan sentiasa berusaha untuk menyakiti Bawang Merah. Bermula selepas kematian ibunya, Bawang Merah diseksa oleh ibu tirinya bukan sahaja membuat kerja-kerja rumah tetapi sehingga Bawang Merah memakan ikan kaloi jelmaan ibunya. Setelah Bawang Merah berkahwin dengan raja, ibu tirinya juga mengajar Bawang Merah membuat pelbagai perkara yang kononnya untuk menguji kasih sayang raja kepadanya. Akan tetapi segala perbuatan yang diajar oleh ibu tiri Bawang Merah itu telah menyebabkan raja murka. Konflik diri Bawang Merah bermula sejak dari kecil sehingga dia dewasa.

Dalam peleraian cerita, Seharum Mawar nampak lebih positif apabila Mak Kuntum dan Kuntum insaf atas perbuatan mereka. Setelah Mak Kuntum lumpuh dan tidak berdaya berbuat apa-apa, Mawar dan Nenek Kantan yang mengubatinya sehingga pulih seperti sedia kala. Begitu juga dengan Kuntum yang insaf setelah perasaannya dipermainkan oleh lelaki. Kuntum belajar membuat kerja-kerja rumah daripada Mawar dan membantu dalam semua hal. Mawar akhirnya dipinang oleh Jaka, anak raja di negeri berkenaan dan mereka hidup bahagia di istana. Namun, Bawang Merah, dalam peleraian cerita walaupun sudah berkahwin dengan raja dan hidup di istana, ibu tirinya masih tidak insaf dan sentiasa mencari alasan dan jalan untuk mengenakan Bawang Merah. Ibu tiri dan adik tirinya akhirnya dibuang daerah oleh raja atas kesalahan yang mereka lakukan.

Setelah dilihat perkembangan plot kedua-dua cerita, terdapat perbezaan dalam menggerakkan cerita sehingga ke akhir walaupun kedua-duanya mengisahkan tentang penderitaan seorang gadis yang diseksa oleh ibu tiri. Seharum Mawar menggunakan pelbagai teknik plot yang bersesuaian untuk menggerakkan dan menjadikan cerita lebih menarik, manakala cerita Bawang Putih Bawang Merah hanya banyak menggunakan teknik pemerian dan dialog daripada pengenalan, perkembangan dan pengakhiran cerita. Pola plot cerita Bawang Putih Bawang Merah ini dilihat agak mudah berbanding Seharum Mawar kerana latar sejarah cerita ini yang berasal daripada cerita rakyat yang diceritakan kepada kanak-kanak.

Bandingan Latar

Dalam menyentuh aspek latar, novel Seharum Mawar dan Bawang Putih Bawang Merah menggunakan latar tempat seperti kampung, hutan dan istana raja. Apa yang membezakan kedua-duanya ialah perincian yang diberikan oleh pengarang.

Dalam Seharum Mawar, Desa Permai merupakan nama kampung tempat tinggal Mawar yang terletak di bawah pemerintahan Raja Bersiung di negeri Kedah. Ini jelas menunjukkan cerita ini digambarkan berlaku di negeri Kedah.

Pada zaman dahulu, terdapat sebuah desa yang amat permai, keindahan sekitarnya mendamaikan hati. Desa di bawah pemerintahan Raja Bersiung yang memerintah negeri Kedah.

Kisah dukanya ini akan mengubah kehidupan penduduk Desa permai kepada keadaan yang tidak pernah dijangkakan sebelum ini.

(Seharum Mawar, 2017:1-2)

Berbeza dengan cerita Bawang Putih Bawang Merah, latar tempat tidak dinyatakan secara terperinci. Pengarang hanya menyatakan kawasan kampung yang terletak di pinggir hutan. Latar ini tidak jelas dan pembaca boleh mengandaikan cerita ini berlaku di mana-mana sahaja.

Bulan mengambang penuh, melimpahkan cahaya terang dan lembut pada pohon-pohon kayu dan pondok di pinggir hutan.

Suasana di pinggir hutan pada malam itu, sebagaimana selalunya juga, sunyi sepi sahaja, kecuali bunyi dengutan burung dan deringan cengkerik. Sesekali kedengaran pula bunyi desiran angin malam yang meniup lembut pada daun-daun kayu.

(Bawang Putih Bawang Merah, 1990: 1)

Perbezaan latar tempat antara kedua-dua buah cerita ini dapat dilihat pada permulaan cerita lagi. Walaupun keduanya menggunakan latar kampung di pinggir hutan, namun Bawang Putih Bawang Merah tidak memberi perincian yang mendalam dan tidak menyebut nama tempat cerita ini berlaku.

Seterusnya latar hutan digunakan bagi menggambarkan tempat watak utama membawa diri untuk melepaskan tekanan dan masalah yang dihadapi. Seharum Mawar menggunakan latar hutan untuk watak utamanya Mawar, tinggal bersama-sama keluarga angkatnya setelah diselamatkan oleh Jaka, ketika hanyut di sungai. Semasa tinggal di hutan bersama-sama Nenek Kantan, Jaka dan Teratai, Mawar belajar mengenali tumbuh-tumbuhan hutan dan akar kayu untuk dibuat ramuan ubat tradisional. Ilmu tersebut dipelajari daripada Nenek Kantan sehingga Mawar sendiri pandai membuat ubat daripada akar kayu.

Semasa menikmati keenakan juadah sarapan pagi, suasana rumah itu tidak sunyi dari bunyi suara hidupan hutan. Sesekali Mawar mendengar siulan sang murai yang memeriahkan sepi rumah Nenek Kantan, sang ungka juga tidak mahu kalah dengan merdu suara burung murai.

Sejurus kemudian, Mawar mengikut Nenek Kantan dan Teratai ke hutan. Suara cengkerik dan riang-riang bersahutan, saujana kehijauan alam hutan amat mempesonakan hati Mawar. Berbagai-bagai jenis tumbuhan dapat Mawar lihat. Pokok tongkat ali, misai kucing dan anggerik hutan.

(Seharum Mawar, 2017: 66)

Dalam Bawang Putih Bawang Merah, latar hutan digunakan sebagai tempat Bawang Merah menghiburkan dirinya setelah penat melakukan kerja-kerja rumah. Di situ Bawang Merah menaiki buaian di pohon beringin sambil bernyanyi.

Dengan tidak diketahui oleh Mak Bawang Putih atau anaknya, Bawang Merah setiap petang pergi bermain-main di bawah pohon beringin itu. Di situlah dia melepaskan penat dan lelah sepanjang hari setelah teruk bekerja, dan di situlah juga dia berhiba-hiba mengenangkan nasib dirinya yang selalu diseksa dan diperlakukan semahu-mahunya oleh Mak Bawang Putih.

(Bawang Putih Bawang Merah, 1990: 89)

Latar hutan juga digunakan sebagai tempat perburuan anak raja untuk memburu haiwan. Sudah menjadi kebiasaan anak raja keluar berburu haiwan di hutan dengan ditemani oleh hulubalang.

Peristiwa bermula dua tiga hari sebelumnya. Pada ketika itu Datuk Hulubalang dan Datuk Panglima Kiri sedang mengiringi Raja berburu di dalam hutan.

(Bawang Putih Bawang Merah, 1990: 90)

Hutan juga ialah tempat penting dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah kerana di sinilah tempat bertemunya jodoh antara Bawang Merah dengan anak raja. Suara Bawang Merah yang merdu ketika bernyanyi telah menambat hati raja untuk menjadikan Bawang Merah sebagai permaisuri.

“Beta ingin membawa kamu ke istana,” titah Raja setelah Bawang Merah habis bercerita. “Bersetujukah kamu, Bawang Merah?”

Bawang Merah hanya menunduk kepala mendengar titah baginda itu.

“Maksudnya, Raja ingin menjadikan kamu sebagai isteri baginda,” kata Datuk Panglima Kiri,menjelaskan.

(Bawang Putih Bawang Merah, 1990: 106-107)

Perincian yang dilakukan jelas menunjukkan bahawa walaupun kedua-duanya menggunakan latar hutan sebagai sebahagian besar latar tempat dalam cerita, tetapi fungsinya adalah berbeza antara satu sama lain.

Istana raja ialah tempat penting yang sering disebut dalam cerita rakyat Melayu. Istana merupakan lambang kemegahan rakyat pada zaman dahulu. Oleh kerana itu, Seharum Mawar hanya menyebut sahaja latar tersebut dengan memperincikan seni bina istana dan kawasan sekitarnya berbeza dengan cerita Bawang Putih Bawang Merah. Dalam cerita ini, istana raja dijadikan sebagai sebahagian daripada latarnya. Latar istana dihidupkan dengan perkahwinan Bawang Merah dengan raja dan mereka tinggal di sana. Perbuatan khianat Mak Kundur juga berlaku di istana. Penonjolan latar istana dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah dilihat lebih ketara berbanding Seharum Mawar kerana cerita ini berasal daripada cerita rakyat yang dibukukan. Hal ini bersesuaian dengan cerita rakyat yang sering menjadikan istana sebagai latar utamanya.

Bandingan Gaya Bahasa

Dalam aspek gaya bahasa, kedua-dua cerita yang dikaji menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat. Namun, perbezaan gaya bahasa dapat dilihat pada permulaan cerita. Siti Sara dalam Seharum Mawar masih terikat dengan pengaruh cerita rakyat berbanding dengan Rubaidin Siwar dalam Bawang Putih Bawang Merah. Siti Sara memulakan cerita dengan ayat ‘pada zaman dahulu’ yang secara langsungnya memperlihatkan seperti cerita-cerita rakyat yang merangkumi cerita binatang, cerita teladan dan cerita jenaka.

PADA zaman dahulu, terdapat sebuah desa yang amat permai, keindahan sekitarnya mendamaikan hati. Desa di bawah pemerintahan Raja Bersiung yang memerintah negeri Kedah. Suasana di desa tersebut cukup indah. Burung-burung berkicau riang, bertenggek dan bersarang di atas setiap pohon rendang. Bunyi kicauan burung bagaikan tiupan seruling Sang Pujangga. Teramat merdu bunyinya terutama pada awal pagi, ketika matahari mula menyinari dan menceriakan alam.

(Seharum Mawar, 2017: 1)

Berbanding dengan Rubaidin Siwar, cerita Bawang Putih Bawang Merah dimulakan dengan gambaran alam yang indah dan menarik.

BULAN mengambang penuh, melempahkan cahaya yang terang dan lembut pada pohon-pohon kayu dan pondok di pinggir hutan. Pondok itu sederhana sahaja besarnya, dan buatannya juga amat sederhana. Ia diperbuat daripada kayu, dan atap serta dindingnya pula diperbuat daripada daun nipah. Suasana dipinggir hutan pada malam itu, sebagaimana selalunya juga, sunyi sepi sahaja, kecuali bunyi dengutan burung dan deringan cengkerik. Sesekali kedengaran pula bunyi desiran angin malam yang meniup lembut pada daun-daun kayu.

(Bawang Putih Bawang Merah, 2017: 1)

Perbezaan gaya bahasa antara kedua-duanya memperlihatkan kematangan dan kekreatifan penulisnya dalam menarik minat pembaca untuk membaca karya mereka.

Selain itu, novel Seharum Mawar menggunakan bahasa yang bercampur antara bahasa lama dan bahasa baku berbanding dengan cerita Bawang Putih Bawang Merah yang menggunakan gaya bahasa percakapan harian dalam penceritaannya.

Penggunaan bahasa istana juga dilihat digunakan dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah. Bahasa ini digunakan setelah Bawang Merah berkahwin dengan raja dan tinggal di istana.

“Aduh, sakitnya kepala beta!” teriak baginda sambil memegang tempat yang luka dan berdarah di kepala baginda itu.

(Bawang Putih Bawang Merah, 1990:122)

Namun, dalam Seharum Mawar, bahasa istana tidak digunakan walaupun semasa majlis pertunangan antara Mawar dengan Putera Mahkota Tuanku Jaka Shah. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Melayu biasa.

Gaya bahasa dalam kedua-dua karya diperluas dengan memasukkan puisi-puisi seperti gurindam dan syair. Dalam Seharum Mawar, lagu ‘Gurindam Jiwa’ digunakan untuk menggambarkan rasa hati mereka yang akan berpisah. Mawar akan kembali tinggal bersama-sama ayahnya dan Ibu Kuntum, manakala Nenek Kantan, Teratai dan Jaka akan balik ke tempat asal mereka.

Sambil berdehem beberapa kali Mawar bersuara dengan suara yang mempesonakan:

                         Tuai padi antara masak

                        Esok jangan layu-layuan

                        Intailah kami antara nampak

                        Esok jangan rindu-rinduan

Mawar merenung setiap wajah terutama Nenek Kantan, Teratai dan Jaka. Ada rasa resah di hatinya sayu dan hiba,

                         Anak cina memegang lukah

                        Lukah dipasang di Tanjung Jati

                        Di dalam hati tidak kulupa

                        Bagai rambut tersimpul mati

(Seharum Mawar, 2017: 132)

Puisi Melayu tradisional iaitu syair digunakan dalam Seharum Mawar untuk memperkatakan tentang kecantikan Mawar ketika berkahwin dengan Putera Mahkota Tuanku Jaka Shah dari negeri Jelapang Emas.

Syair Mawar,

                        Baik parasnya bukan kepalang

                        Tubuhnya seperti emas cemerlang

                        Cahaya durjanya gilang-gemilang

                        Jika ditentang bagaikan hilang

                        Lemah lembut manis berseri

                        Puteri Mawar konon namanya

                        Patutlah nama dengan rupanya

                        Di negeri Jelapang Emas sangat masyhurnya

                        Seorang pun tiada tolok bandingnya.

(Seharum Mawar, 2017: 168)

Namun,dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah pula, gurindam digunakan ketika Bawang Merah memanggil Si Kaloi.

“Mak Kaloi, Mak Kaloi

Datanglah mak, timbullah mak

Bawang Merah datang lepas bertanak

Membawa nasi melukut dengan sayur keladi

Untuk mak makan di pagi hari.”

(Bawang Putih Bawang Merah, 1990: 78)

Walaupun kedua-dua cerita menggunakan gurindam, syair dan lagu dalam cerita, tetapi penggunaan dan fungsi setiap puisi ini berbeza antara satu sama lain. Seharum Mawar menggunakan gurindam dan syair untuk menunjukkan rasa gembira Mawar dan untuk memerikan kecantikan Mawar ketika berkahwin dengan Jaka, tetapi dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah penggunaan lagu dan gurindam adalah untuk menyatakan rasa hati Bawang Merah yang sedih dan pilu mengenangkan nasibnya yang malang.

Kesimpulan

Berdasarkan penelitian yang dilakukan dalam cerita Seharum Mawar dan Bawang Putih Bawang Merah dengan menggunakan pendekatan keselarian, jelas menemukan persamaan dan perbezaannya daripada aspek intrinsik.

Kedua-dua karya mengetengahkan tema penderitaan yang berakhir dengan kegembiraan tetapi jalinan cerita menuju tema adalah berbeza antara kedua-duanya. Daripada aspek watak, kedua-duanya menggunakan watak wanita yang diseksa oleh ibu tiri sebagai watak utama dalam cerita. Namun, yang membezakan kedua-dua watak ini ialah tempoh penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh kedua-dua watak.

Mawar mengalami penderitaan setelah bapanya berkahwin lain, iaitu ketika dia sudah berusia 15 tahun. Namun, Bawang Merah mengalami penderitaan lebih lama, iaitu sejak kecil sehingga dia berumah tangga.

Seterusnya, dalam perbandingan plot pula kedua-dua cerita mempunyai plot yang mengikut kronologi tetapi Seharum Mawar menggunakan pelbagai teknik plot seperti imbas kembali, dialog dan monolog berbanding dengan Bawang Putih Bawang Merah yang hanya banyak menggunakan teknik pemerian dan dialog sehingga ke akhir cerita.

Perbandingan latar dalam kedua-dua karya juga mempunyai persamaan dan perbezaan. Latar kedua-dua karya berlatarkan kawasan kampung, hutan dan istana tetapi peristiwa yang berlaku di latar tersebut berlainan antara Seharum Mawar dan Bawang Putih dan Bawang Merah.

Perbandingan terakhir yang diteliti ialah gaya bahasa. Gaya bahasa kedua-dua karya mudah difahami dan menggunakan bahasa yang mudah tetapi daripada segi permulaan cerita, penggunaan bahasa istana dan penggunaan unsur puisi adalah berbeza antara kedua-duanya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014394
    Visit Today : 423
    This Month : 33739
    Total Visit : 1014394
    Hits Today : 1260
    Total Hits : 4138062
    Who's Online : 11
  • Kategori