OLEH NOOR HAFEDAH BINTI JAMIYIL

Sirih junjung buat pinangan,

Dihias indah cantik ditatang;

Tradisi kita dilupa jangan,

Adat dikendong budaya dijulang.

 

MALAYSIA (ketika itu digelar Tanah Melayu), mempunyai latar belakang zaman silam yang menarik, sekali gus merupakan laluan dagangan antarabangsa suatu ketika dahulu, yang mempunyai pelbagai budaya di dalamnya. Ia memaparkan keunikan warisan budaya masyarakatnya yang mempunyai pelbagai pengaruh, tidak salah jika Malaysia digelar sebagai ‘kampus’ warisan budaya.

Warisan budaya harus dikekalkan kerana ia melambangkan dan mencerminkan identiti sesebuah negara dan bangsa. Tamadun sesuatu bangsa biasanya dapat dilihat pada warisan seni budayanya, yang mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara, seperti pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya.

Warisan budaya juga perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun. Melalui warisan budaya, kita akan mengetahui asal usul kita. Jatuh bangun susur galur kita yang terdahulu dapat dijadikan pengajaran untuk masyarakat pada masa kini. Misalnya, tarian Portugis yang dipersembahkan di tempat-tempat pelancongan, mengingatkan kita bahawa negara kita pernah ditakluki oleh Portugis. Selain itu, persembahan teater tradisional yang sering memainkan cerita-cerita bangsawan yang berlatarkan tentang Kesultanan Melayu Melaka dan kejatuhannya, memberikan banyak pengajaran kepada masyarakat.

Amalan warisan budaya melambangkan sikap majmuk masyarakatnya, misalnya, pakaian tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni. Pemakainya juga tidak merujuk kepada sesuatu bangsa sahaja. Tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India, bebas memakai pakaian tradisional bangsa lain. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat di Malaysia bersatu hati dan sangat menghormati cara, pemikiran, budaya, dan agama sesama mereka.

Melalui warisan budaya juga, ia dapat memupuk perpaduan antara rakyat. Rakyat majmuk di Malaysia kaya dengan nilai-nilai murni, contohnya, mereka saling hormat-menghormati, bersopan santun, saling kunjung-mengunjungi dan sebagainya. Jika dilihat pada hari perayaan, tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam, masyarakat majmuk Malaysia pasti akan bersama-sama berkumpul untuk meraikannya. Mereka saling kunjung-mengunjungi, bertukar juadah, juga saling menerima dan memberi. Hal ini mendedahkan mereka dengan budaya serta adat-adat masyarakat serumpun. Secara tidak langsung, semangat kekitaan dapat dipupuk dan mengeratkan lagi perhubungan silaturahim.

Makanan tradisi juga mampu mengetengahkan warisan budaya Malaysia melalui pelbagai jenis makanan, seperti nasi lemak, lemang, kuih-muih tradisional, roti canai, muruku, putu mayam, kuih bakul, zong zi, kuih bulan dan bermacam-macam lagi. Tanpa kita sedar, kepelbagaian masakan dan makanan ini, mampu menyatukan masyarakat dan mencerminkan kebudayaan setiap bangsa.

Selain itu, sektor pelancongan juga mampu mengembangkan warisan budaya di mata dunia. Terdapat agensi-agensi yang sentiasa berusaha ke arah memartabatkan warisan budaya agar ia dikenali oleh orang luar. Contohnya, persembahan tradisional, seperti tarian, teater, persembahan kesenian, sering diadakan bagi memperkenalkan Malaysia. Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sering mengadakan aktiviti Semarak Bangsawan yang dijadualkan pada minggu kedua setiap bulan. Pelbagai kisah dijadikan ‘pelaris’ warisan budaya. Sewaktu pementasan dijalankan, pelbagai jenis kostum, budaya, pemikiran, adegan, nyanyian dan sebagainya ditonjolkan bagi memperlihatkan keunikan sesuatu budaya itu. Pihak berwajib bijak memainkan peranan bagi mengimbangi warisan budaya negara, seiring arus pemodenan masa kini.

Dalam mengekalkan warisan budaya untuk menonjolkan variasi dalam kalangan masyarakat, kedatangan pelancong asing juga mampu menjadikan ekonomi Malaysia semakin meningkat iaitu melalui pertukaran wang asing. Perkara ini diumpamakan, sambil menyelam minum air, kerana di samping mengekalkan warisan budaya bangsa, kita juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

Pelancong luar juga sering mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan negara. Ada juga yang tinggal di perkampungan budaya untuk mempelajari dengan lebih dekat akan warisan budaya tempatan. Maka, tidak hairanlah jika ada bangsa asing yang boleh bertutur bahasa Melayu dengan fasih. Malah, ada juga yang mampu bertutur mengikut dialek negeri tertentu dan membina keluarga bersama-sama orang tempatan. Di sini, jelas diperlihatkan bahawa pelancongan merupakan satu cara untuk mengembangkan warisan budaya.

Kesimpulannya, budaya warisan seharusnya dikekalkan bagi mengelakkan warisan budaya sesebuah bangsa itu pupus ditelan zaman. Hal ini demikian kerana budaya ini merupakan warisan daripada nenek moyang kita yang harus dijaga sebaik-baiknya agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Semua pihak haruslah memainkan peranan penting dalam menjaga dan menjadikan warisan budaya sebagai satu identiti kaum, negara dan maruah bangsa.

 

Sila Beri Pandangan


  • Laman

  • Arkib

  • Statistik

    282580
    Melawat hari ini: 340
    Jumlah Pelawat: 282580
    Hits hari ini: 598
    Jumlah Hits : 511406
    Siapa atas talian: 1
Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.