OLEH NORSUHAILA IBRAHIM

hotel bajethotel ekonomi

                                                                            Bagi mereka yang suka melancong, pastinya akan menempah hotel atau tempat penginapan untuk bermalam. Semasa meninjau hotel untuk ditempah, pastinya kita akan memerhatikan papan nama hotel yang pelbagai nama dengan pelbagai gelaran.

Dalam hal ini, ada juga pemilihan bahasa yang digunakan pada papan nama hotel sebenarnya tidak tepat, terutamanya dari segi penggunaan istilah. Terdapat beberapa kesalahan penggunaan istilah yang ditemukan, antaranya penggunaan nama “Hotel Bajet” atau “Hotel Ekonomi”. Antara penggunaan istilah Hotel Bajet dengan Hotel Ekonomi itu, istilah manakah yang sepatutnya digunakan?

Kedua-dua papan nama hotel di atas ini menggunakan istilah yang tidak sama untuk merujuk tempat yang sama, iaitu merujuk kepada terjemahan nama dalam bahasa Inggeris, “Budget Hotel”. Kadangkala, kedua-dua papan nama hotel itu didirikan di kawasan yang berhampiran. Hal ini tentulah akan mengelirukan, khususnya dari segi penggunaan bahasa yang betul dalam kalangan pelajar sekolah dan orang awam.

Antara dua nama hotel tersebut, iaitu “Hotel Bajet” atau “Hotel Ekonomi” sebenarnya hanya satu istilah yang betul yang sepatutnya digunakan, iaitu “Hotel Ekonomi”. Menurut istilah Malaysia, perkataan budget hotel (istilah sumber) dalam bidang pelancongan,merujuk kepadahotel kelas ekonomi (istilah sasar) yang dihuraikan sebagai hotel yang menyediakan perkhidmatan penginapan yang terhad seperti menyediakan bilik tidur sahaja.

Kesalahan yang mudah itu sepatutnya tidak terjadi sekiranya pihak yang berkenaan, terutamanya yang terlibat dalam kelulusan pemasangan, pembuatan dan pemasangan papan nama kedai atau premis lebih teliti dan lebih peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Sekiranya mereka tidak pasti sama ada ejaan yang ingin digunakan itu adalah tepat atau tidak, mereka sepatutnya merujuk dalam kamus atau boleh juga bertanyakan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa.

Tujuan kesalahan penggunaan istilah pada tanda nama hotel ini didedahkan bukanlah untuk membuka pekung mana-mana pihak, sebaliknya agar kesalahan tersebut dapat dibaiki supaya lebih persis.

Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu memartabatkan bahasa Melayu melalui penggunaan bahasa yang betul, tepat dan indah. Ingatlah bahawa:

 

Yang kurik kundi,

            Yang merah saga;

Yang baik budi,

            Yang indah bahasa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014486
    Visit Today : 515
    This Month : 33831
    Total Visit : 1014486
    Hits Today : 1751
    Total Hits : 4138554
    Who's Online : 20
  • Kategori