Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

Upacara perasmian yang disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Upacara perasmian oleh Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

“PERJUANGAN Bangsa” telah dipilih sebagai tema Pertemuan Penyair ASEAN 2017. Tema ini telah diterjemahkan dalam bentuk puisi dan syair sepanjang dua hari berlangsungnya program di Dewan Bahasa dan Pustaka. Acara yang diadakan pada 29 hingga 30 September ini telah menghimpunkan penggiat puisi dan syair 10 buah negara ASEAN. Program ini merupakan anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Akademi Seni ND Lala bersempena “Diversecity: Kuala Lumpur International Arts Festival 2017” di bawah genre sastera.

Acara yang diadakan ini terbahagi kepada tiga segmen utama, iaitu Forum Puisi dan Syair ASEAN 2017, Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP: Puisi Akrab ASEAN serta Malam Persembahan Puisi dan Syair ASEAN 2017.

Sesi ucaptama yang disampaikan oleh Dr. Siti Zainon Ismail(Malaysia) dan Rusli Marzuki Saria (Indonesia).

Sesi ucaptama oleh Dr. Siti Zainon Ismail (kanan) dan Rusli Marzuki Saria (kiri).

Sebanyak 15 kertas kerja telah dibentangkan oleh wakil negara ASEAN dan dua ucaptama yang disampaikan oleh Dr. Siti Zainon Ismail (Malaysia) dan Rusli Marzuki Saria (Indonesia). Forum yang berlangsung selama dua hari ini telah diadakan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP.

Antara pemakalah forum dari Malaysia yang terlibat ialah Zaen Kasturi, Dr. Ariff Mohamad, Shafa’atussara Silahudin dan Syahidatul Munirah Badrul Munir. Manakala pemakalah dari negara lain ialah Maman S. Mahayana, Idawati M.A dan Ufatin CH(Indonesia), Noridah Kamari (Singapura), Dr. Haji Mohd Ali Raden @ H. Mar (Negara Brunei Darussalam), Chheangly Yeng (Kemboja), Profesor Madya Phaitoon Thanya (Thailand), Mookie Katigbak Lacuesta (Filipina), Nguyen Phan Que Mai (Vietnam), Aung Khin Myint (Myanmar) dan Soukhee Noraslip @ D. Done Jae (Laos).

Sesi pembentangan kertas kerja.

Sesi pembentangan kertas kerja.

Forum ini mewacanakan seni puisi dan syair dengan lebih mendalam mengikut demografi pemakalah. Forum juga merupakan platform kesemua 10 buah negara ASEAN berkongsi pandangan yang mengembangkan minda masyarakat, selain menjadi medium bagi mengeratkan lagi jaringan komuniti sastera ASEAN. Secara tidak langsung, forum ini mendedahkan persaingan global bagi menjadikan bidang persuratan dan kepenyairan sebagai wadah perjuangan membangunkan negara bangsa.

Pelancaran buku Perjuangan Bangsa dalam Puisi dan Syair ASEAN.

Pelancaran buku Perjuangan Bangsa dalam Puisi dan Syair ASEAN.

Yang turut dilancarkan pada majlis tersebut ialah buku Perjuangan Bangsa dalam Puisi dan Syair ASEAN terbitan ITBM bersempena penganjuran program ini. Buku ini menghimpunkan 18 makalah (kertas kerja) dan 18 puisi pembentang yang terlibat dalam Program Puisi dan Syair ASEAN 2017.

Buku selenggaraan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA), Rozlam Mohamed Noor dan Roslan Madun ini mendokumentasikan nilai budaya yang penting dalam usaha mengembangkan dan melestarikan puisi serta syair demi perjuangan bangsa dalam era yang mencabar ini.

Persembahan Puisi dan Syair ASEAN  yang melibatkan 19 pendeklamasi puisi dan penyair dari dalam dan luar negara.

Persembahan Puisi dan Syair ASEAN yang melibatkan 19 orang pendeklamasi puisi dan penyair.

Pelancaran buku dan perasmian acara ini telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Yang turut hadir ialah Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP dan Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM merangkap Kurator Sastera “Diversecity: Kuala Lumpur International Arts Festival 2017”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036475
    Visit Today : 1253
    This Month : 19074
    Total Visit : 1036475
    Hits Today : 5881
    Total Hits : 4251971
    Who's Online : 9
  • Kategori