Oleh SITI IRNI YUSLINDA MOSMAN

HADIAH Karya Sastera diperkenalkan pada tahun 1971 melalui Jabatan Perdana Menteri Malaysia. YAB Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ketika itu memperlihatkan keprihatinannya untuk meningkatkan mutu karya kesusasteraan negara dan memberikan insentif kepada setiap karya yang memenangi hadiah. Pada 24 Julai 1971, sebuah panel ditubuhkan untuk menilai dan meneliti genre karya sastera dalam bentuk novel, cerita pendek, sajak (antologi dan stensilan) dan drama yang dipertontonkan kepada umum sepanjang tahun 1971. Panel terdiri daripada penulis, peneliti dan pengkaji Kesusasteraan Melayu, diketuai oleh YBhg. Tan Sri Ghazali Shafie sebagai pengerusi.

Pada awalnya, Hadiah Karya Sastera diadakan pada setiap tahun, iaitu dari tahun 1971 hingga 1976. Sebanyak 1,374 buah sajak, 294 buah cerpen, tujuh buah novel dan empat buah drama telah dinilai. Karya yang dinilai adalah karya yang memiliki ciri-ciri universal dan bertunjangkan nilai masyarakat Malaysia. Pengkategorian terbahagi kepada beberapa kategori seperti sajak, cerpen, antologi sajak, drama dua babak, novel dan penulisan esei/kritikan sastera. Anugerah pertama ini telah memberikan pengiktirafan kepada 30 orang penulis, antaranya, Ahmad Sarju (kategori puisi), Khadijah Hashim (kategori cerpen) dan Azizi Haji Abdullah (kategori novel).

Penilaian Hadiah Karya Sastera memperlihatkan kemunculan penulis muda berbakat besar seperti Anwar Ridhwan, Zakaria Ali, Latiff Mohidin, Zurinah Hassan, Fatimah Busu, Jaafar H.S., Azmah Nordin, Zahari Affandi, Zaihasra, Razak Mamat, T. Alias Taib dan Lim Swee Tin.  Penulis-penulis ini boleh dianggap sebagai “the new emergence” pada dekad tersebut.

Karya puisi dizahirkan melalui cetusan isu dan minda masyarakat dengan bertemakan kehidupan peladang dan nelayan, masalah ekonomi, politik dan sosial, isu semasa, agama dan tokoh seni. Karya cerpen pula lebih cenderung pada tema kehidupan luar bandar. Karya yang dihasilkan oleh penulis seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Arena Wati, Noordin Hassan, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Abdullah Hussain masih memperlihatkan kehalusan pengucapan seni, merentas waktu hingga mencecah alaf baru.

Pada 11 November 1977, semasa berucap dalam majlis penganugerahan Hadiah Karya Sastera 1976, YAB Dato’ Hussein Onn telah menyatakan hasrat kerajaan untuk memberikan penghargaan kepada Sasterawan Negara. Serentak dengan itu, panel Hadiah Karya Sastera dibubarkan dengan harapan mendapat perhatian daripada pihak swasta untuk menerbitkan karya-karya sastera.

Pada 1981, YAB Dato’ Musa Hitam, Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, mencadangkan agar kerajaan mewujudkan semula Hadiah Karya Sastera yang dihentikan selama lima tahun, lantaran sambutan dingin daripada pihak swasta untuk menerbitkan karya-karya penulis. Anugerah ini kemudiannya dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia dan penilaian dilakukan secara dwitahunan, bermula pada tahun 1982/1983. Penilaian karya-karya penulis diperluaskan dan meliputi buku kajian dan terjemahan dengan mengambil kira aspek puisi, cerpen, esei/kritikan dan novel. Kemunculan penulis bukan Melayu yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia juga menggambarkan keupayaan bahasa Melayu sebagai media pengucapan pelbagai kaum di Malaysia.

Perkembangan HSPM termasuk senarai nama penulis dan karya yang menang turut dipamerkan pada Majlis Penyampaian HSPM

Pada tahun 1990/1991, penilaian Hadiah Sastera Malaysia telah distruktur semula. Tumpuan penilaian lebih kepada karya dalam bentuk buku kerana ingin mengangkat taraf kesusasteraan kebangsaan daripada majalah atau akhbar kepada sastera buku yang lebih bertaraf tinggi. Dengan menggunakan format baru, karya yang dinilai amat kecil bilangannya, iaitu sebanyak 21 buah cerpen, 17 buah puisi, 50 buah novel, 14 buah drama (termasuk yang disiarkan dalam majalah) dan 15 buah kumpulan esei/kajian sastera.

Bersesuaian dengan kematangan dan perkembangan sastera negara, nama hadiah sekali lagi ditukar menjadi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) pada tahun 1996/1997. Hadiah Sastera Perdana Malaysia diwujudkan untuk memberikan pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada para penulis yang menghasilkan karya bermutu dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan karya-karya sastera. Aspek yang dipertimbangkan ialah  kekuatan   dan  keaslian persoalan, keseimbangan estetika bahasa, keindahan moral dan nilai kreativiti.

Jenis Kategori dan nilai HSPM adalah seperti yang berikut:

KATEGORI A
(Buku/Kumpulan Karya Perseorangan)
Hadiah diberikan kepada karya yang terbit dalam bentuk buku atau kumpulan karya perseorangan dalam tahun penilaian.
o Novel
o Kumpulan Cerpen
o Kumpulan Puisi
o Kumpulan Drama
o Kumpulan Esei/Kritikan Sastera
o Buku Kajian Sastera
o Biografi/Autobiografi

KATEGORI B
(Karya Eceran)
Hadiah diberikan kepada karya sastera eceran yang diterbitkan dalam majalah, jurnal, akhbar dan buku dalam tahun penilaian.
o Puisi
o Cerpen
o Drama
o Esei/Kritikan

KATEGORI C
(Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja)
Hadiah diberikan kepada karya sastera berbentuk buku atau karya perseorangan untuk bacaan remaja dan kanak-kanak.
–  Kesusasteraan Kanak-kanak
o Novel Kanak-kanak
o Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
o Kumpulan Puisi Kanak-kanak
o Kumpulan Drama Kanak-kanak

– Kesusasteraan Remaja
o Novel Remaja
o Kumpulan Cerpen Remaja
o Kumpulan Puisi Remaja
o Kumpulan Drama Remaja

Hadiah Sastera Perdana Malaysia memberikan suntikan yang tidak ternilai kepada perkembangan kesusasteraan Melayu tanah air. Kelahiran penulis dan karya dalam pelbagai genre memperlihatkan peningkatan kuantiti serta kualiti penghasilan karya kreatif dan bukan kreatif sekali gus menyemarakkan lagi perkembangan dunia sastera Malaysia.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori