23.9.17(1)

Oleh SITI SUHANA MOHD AMIR

SENI TEATER merupakan cermin kehidupan yang memantulkan semula kejadian dan wajah kehidupan manusia di atas pentas. Pantulan ini mencetuskan kefahaman dan pemerhatian penonton tentang apa yang dipersembahkan dan perjalanan kehidupan yang berlaku di sekeliling kita. Pelbagai bentuk seni teater wujud dan salah satunya ialah monodrama. Seni teater ini agak baharu dan mula diperkenalkan sekitar tahun 2011. Namun demikian, usaha memperkenalkannya giat dijalankan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan menganjurkan Sayembara Monodrama saban tahun bagi memberikan peluang kepada peserta dan peminat seni monodrama mengetengahkan bakat mereka.

Monodrama ialah lakonan solo yang lebih lengkap diiringi susunan prop dan set yang membantu perkembangan lakonan yang bersedia dengan konflik dan peleraiannya. Mudahnya, monodrama bermaksud seorang pelakon berlakon secara solo dengan beberapa watak yang dihayati bersendirian dalam meneruskan persembahannya (satu watak membawa sebuah cerita dengan pelbagai emosi). Bagi memberikan kesan monolog, pelakon boleh menggunakan kesan spectacle sebagai jalur pengisahan dan menggunakan arca, ukiran, terapan imej, topeng, seni installation atau latar muzik. Olahan kesan pentas ini akan disesuaikan dengan jalan cerita dan memberikan impak kepada kefahaman dan minat penonton.

Pementasan Monodrama bertajuk Redah Daerah Berdarah oleh Moh Azam Rezali.

Pementasan monodrama Redah Daerah Berdarah oleh Moh Azam Rezali.

Secara jelas, monodrama merupakan pementasan monolog yang mengehendaki pelakon untuk berlakon secara solo yang menceritakan sebahagian kisah secara protagonis atau antagonis bagi menyampaikan pergolakan dalaman. Bagi mengukuhkan seni teater ini, DBP Cawangan Sarawak mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS) untuk menganjurkan persembahan dan diskusi berkaitan monodrama bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-40 DBP Cawangan Sarawak. Pada 23 September 2017 bertempat di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak, program tersebut diadakan dengan sokongan kuat Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Cawangan Sarawak. Program tersebut mempamerkan persembahan Monodrama TIGA (Teraju Intuisi Galang Atma) dan menampilkan Moh Azam Rezali sebagai pelakon (secara solo) melalui tiga naskhahnya, iaitu Jalur-jalur di Padang Ilalang, Koreksi dan Redah Daerah Berdarah.

Ketiga-tiga karya tersebut mempunyai pencapaian tersendiri dalam bidang teater dan penulisan drama. Jalur-jalur di Padang Ilalang pernah menjadi johan Sayembara Monodrama Kebangsaan anjuran DBP dan USM 2012 (kategori skrip), johan Sayembara Monodrama Negeri Sarawak 2014 anjuran DBP Cawangan Sarawak selain turut memenangi Pelakon Terbaik dan Pengarah Terbaik, serta johan Festival Teater Kuala Lumpur kategori monodrama selain turut memenangi Anugerah Pelakon Terbaik, Pengarah Terbaik dan Sinografi Terbaik.

Koreksi pula pernah mendapat johan Sayembara Monodrama Negeri Sarawak 2015 anjuran DBP Cawangan Sarawak selain turut memenangi Anugerah Pelakon Terbaik, Pengarah Terbaik dan Skrip Terbaik. Manakala monodrama Redah Daerah Berdarah pernah mendapat tempat kedua Sayembara Monodrama Negeri Sarawak 2016, selain mendapat Anugerah Pelakon Terbaik. Redah Daerah Berdarah juga telah dibukukan dalam Kumpulan Drama Moh Azam Rezali Diskusi Malam terbitan DBP, dan turut pernah dipentaskan beberapa kali sewaktu Semarak Teater Kebangsaan di Negeri Sembilan (2011), di Universiti Malaysia Sabah (2003), di Bazar Seni Amphetheatre Waterfornt Kuching, Sarawak (2016) dan di SSeMS (2016).

Ketiga-tiga naskhah berkenaan telah dipentaskan oleh penulis secara solo sebagai usaha berpesan-pesan kepada diri dan khalayak yang menonton dan membaca, iaitu lelaki yang berpesan-pesan sebagai dakwah alaf baharu. Naskhah Jalur-jalur di Padang Ilalang ini mengangkat isu psikologi kanak-kanak yang terdera secara mental kerana menjadi mangsa ibu bapanya sendiri. Watak lelaki yang diangkat untuk berpesan-pesan dalam naskhah ini ialah Sugih (Iskandar) hasil hubungan tanpa nikah Tuah dan Teja yang telah mencipta sahabat imaginasinya sendiri, iaitu Pak Tua. Pak Tua mengajar Sugih bermacam hal dan menjadi peneman Sugih mengisi kehidupan kanak-kanaknya. Akhirnya, satu peristiwa terjadi apabila Sugih sendiri menjadi pembunuh ibu dan bapanya.

Pementasan Monodrama bertajuk Jalur-jalur di Padang Ilalang oleh Moh Azam Rezali.

Pementasan monodrama Jalur-jalur di Padang Ilalang oleh Moh Azam Rezali.

Naskhah Koreksi atau pembetulan pula mengangkat watak lelaki bernama Pak Topeng yang menjalankan perniagaan membuat topeng mengikut tempahan. Setiap topeng yang dihasilkannya dapat menyembunyikan keperibadian pemakainya atau dalam erti kata lain, topeng tersebut hanya menampakkan kebaikan dan menyorokkan keburukan. Pak Topeng peniaga yang mementingkan diri sendiri tanpa melihat kesan kepada perniagaannya dan gagal memenuhi tuntutan keluarga yang memerlukan masa dan perhatian serta kasih sayangnya. Penulis cuba mengangkat watak tersebut dan memberikan pengajaran bahawa setiap manusia perlu menilai terlebih dahulu kesan baik dan buruk setiap apa yang dilakukan. Dalam Koreksi, Pak Topeng membantu watak seperti Tuan Boss, Pak Dukun dan Manis yang mengejar impian secara terang-terangan berkataliskan cita-cita jahat.

Kemudiannya, naskhah Redah Daerah Berdarah mengetengahkan watak Danial Haikal, seorang lelaki yang hidup dalam penuh kemewahan dan keselesaan hasil kekayaan keluarganya namun gagal memiliki cinta Rina. Beliau telah memilih untuk menjadi sukarelawan di daerah Redah, di Timur Tengah walaupun mendapat tentangan daripada keluarganya. Hidupnya yang sebelum ini penuh kemanjaan dan dipenuhkan segala permintaan, menjadikan dirinya agak bermasalah untuk membiasakan diri dengan keperitan di Timur Tengah. Namun, di sanalah dia belajar untuk menjadi seorang manusia yang lebih ‘manusia’ dan mendapat keinsafan dan pengajaran berguna apabila mendengar kisah sahabatnya, Abdullah yang kehilangan keluarga akibat peperangan.

Usai pementasan ketiga-tiga naskhah, audiens dihidangkan dengan diskusi monodrama oleh Moh Azam Rezali sendiri, Zakaria Hassan (penggiat seni teater) dan Dayang Azizah Mohd Salleh (guru cemerlang dan pakar dalam bidang KOMSAS-Komponen Sastera). Moderator ialah Faizul Mohd Noh dan dirasmikan oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.

Program Diskusi Monodrama oleh Moh Azam Rezali, Dayang Azizah Mohd Salleh dan Zakaria Hassan

Program diskusi monodrama oleh Moh Azam Rezali, Dayang Azizah Mohd Salleh dan Zakaria Hassan

Dalam perbincangan tersebut, Moh Azam Rezali membicarakan ketiga-tiga naskhahnya dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Monodrama Teraju Tiga Intuisi Galang Atma: Lelaki-lelaki yang Berpesan Sebagai Dakwah Alaf Baharu” berharap agar penyampaian lakonannya dapat memberikan pengajaran dan kebaikan kepada semua dan bukan sekadar medium hiburan dan gelak tawa semata-mata.

Jelasnya lagi, seorang pengarang mahupun pembikin persembahan bertanggungjawab mengangkat karya mereka dalam memenuhi tanggungjawab sosial untuk memberikan paparan yang jelas dalam kaedah berpesan-pesan sesama manusia. Seterusnya, unsur didaktik perlu disampaikan dalam bentuk formal mahupun tidak formal sebagaimana pembacaan dan tontonan kerana karya ialah katalis untuk merangsang sesuatu agar menjadi lebih baik atau lebih buruk.

Manakala Zakaria Hassan membicarakan seni teater monodrama dan pengalamannya yang hebat dalam mendepani karyanya sendiri dan orang lain. Dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Intensiti Monodrama”, beliau menjelaskan bahawa monodrama merupakan lakonan seorang aktor dalam sebuah pementasan teater yang lengkap khusus menceritakan perkembangan konflik watak yang mempunyai urutan permulaan, pertengahan dan pengakhiran.

Dalam pementasan, lakonan monodrama boleh menggunakan teknik monolog (pengucapan beremosi watak secara solo dan seolah-olah ada watak lain berlakon bersamanya) dan solilokui (saya yang berbicara, teknik pengucapan seolah-olah watak berkongsi rahsia hatinya dan perancangan intrig).

Intensiti lakonan monodrama memerlukan kekuatan dalaman seorang pelakon. Pelakon yang berpengalaman akan berasa teruja apabila mementaskan monodrama kerana tuntutan fokus dan pemerhatian pada watak dan menjadi pengalaman hebat buat mereka. Melalui persembahan monodrama, penonton juga dapat menyaksikan kesan pergolakan jiwa, fikiran watak atau watak yang dilakonkan secara solo.

Pementasan Monodrama bertajuk Jalur-jalur di Padang Ilalang oleh Moh Azam Rezali.

Pementasan monodrama  Jalur-jalur di Padang Ilalang oleh Moh Azam Rezali.

Dayang Azizah Mohd Salleh, guru SMK Kota Samarahan pula membicarakan “Monodrama dalam Pendidikan: Suatu Pengamatan daripada Kanta KOMSAS”, iaitu monodrama sebagai satu teknik pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) khususnya dalam pengajaran KOMSAS dan wajar diguna pakai di dalam bilik darjah.

Ujarnya lagi, pemahaman mendalam berkaitan konsep pelaksanaan monodrama perlu benar-benar dikuasai agar apa-apa yang dihasratkan akan tercapai, iaitu dapat merangsang pelajar untuk membaca, menikmati dan mengapresiasi karya sastera. Bagi teks karya yang sesuai dipertontonkan melalui monodrama diharapkan dapat menjadi medium kepada guru dan pelajar untuk lebih memahami watak dan perwatakan, plot dan konflik cerita yang disampaikan oleh pelakon monodrama. Penyatuan skrip, lakonan, arahan, latar dan konflik yang dijelmakan perlu ditonjolkan dengan kuat dan tajam bagi mengesani emosi audiens.

Hakikatnya, monodrama seni yang hebat dan menyeronokkan apabila penglibatan (pelakon dan penonton) dalam monodrama akan mencapai keseronokan dan vitalitas seni dalam masa yang singkat. Dan sifat monodrama yang mimetik juga dapat menemukan audiens dengan diri dan cerminan masyarakatnya (drama merupakan peniruan dalam masyarakat).

Sesungguhnya, ruang pementasan dan diskusi yang dianjurkan ini dianggap berjaya dan hebat kerana dapat mengumpulkan pakar dan pelakon hebat dalam mengetengahkan seni teater monodrama kepada khalayak. Ruang dan peluang yang diberikan dapat memberikan ilmu baharu dan pengalaman hebat buat semua. Masyarakat memerlukan lagi banyak pelakon dan penggiat seni teater yang berbakat bagi meneruskan kegiatan dan seni monodrama yang diketengahkan agar seni budaya bangsa dapat dipertahankan sepanjang zaman.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014098
    Visit Today : 127
    This Month : 33443
    Total Visit : 1014098
    Hits Today : 310
    Total Hits : 4137112
    Who's Online : 14
  • Kategori