Oleh NAZA SANI AGUS

BERENDOI merupakan ritual yang diadakan semasa bayi dimasukkan ke dalam buaian, seiring dengan upacara bayi bergunting rambut.  Aktiviti ini merupakan lambang kasih sayang ibu bapa dan datuk nenek terhadap anak cucu masing-masing. Berendoi juga wadah untuk keluarga berkumpul bagi melahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas kehadiran insan baharu dalam keluarga dan diadakan setelah ibu habis berpantang.

buai2

Aktiviti ini merupakan lambang kasih sayang ibu bapa kepada anak.

Dalam Islam, tidak wujud istilah berendoi  atau merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW.  Namun begitu, sabda Rasulullah SAW, tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuknya ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.

Berdasarkan kepada hadis di atas, ulama menyatakan bahawa Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudian, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.  Namun begitu, masyarakat Melayu memberikan nilai tambah kepada ibadah tersebut dengan melaksanakan aktiviti berendoi.

Berendoi berasal daripada kata “endoi”, iaitu sejenis buaian yang lazimnya digunakan untuk menidurkan bayi atau kanak-kanak.  Endoi diperbuat daripada kain kapas yang dihias cantik dan disulami bunga-bungaan untuk menceriakan lagi suasana.

Berendoi merupakan persembahan seni suara berunsurkan keagamaan, nasihat, teguran, dan peringatan kepada anak-anak dan ibu bapa. Sebagai contoh lihat rangkap lirik lagu berendoi yang berikut:

gunting2Dengan bismillah kami mulai,

Dengan takdir Ila Hi Robbi,

Seorang anak cita yang lama,

Seorang anak diberi nama.

 

Dari kecil dipelihara ibumu,

Diserahkan mengaji kepada guru,

Jikalau dikau tamat mengaji,

Tiada diberi ke sana sini.

 

Jikalau engkau sudah nan besar,

Perkataan bapa jangan diingkar,

Wahai anak muda bangsawan,

Sembahyang lima waktu wajib tunaikan.

Persembahan berendoi ini dipercayai berasal dari negeri Perlis. Aktiviti ini bermula sekitar tahun 1930-an, dan kini diteruskan dan diwarisi. Di samping itu, aktiviti berendoi  merupakan salah satu cara warga bersosial.

alat2

Antara peralatan upacara berendoi.

Peralatan persembahan berendoi ialah sebuah “endoi” atau buaian digantung di tengah-tengah rumah, air putih satu jag dan sirih pinang yang diletakkan di dalam tepak sirih. Berendoi boleh diadakan pada waktu siang atau malam.

Upacara dimulakan dengan bacaan rawi, berzanji, maulud dan lagu yang didendangkan merupakan selawat ke atas Nabi sebelum diikuti lagu-lagu lain. Bilangan lagu pada setiap kali persembahan berendoi bergantung kepada kehendak tuan rumah.

Bayi disediakan persalinan yang cantik dan diletakkan di dalam buaian yang berupa kain songket atau batik yang dihias indah dengan manik-manik dan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita.

Ada banyak persalinan yang seragam untuk dipakai oleh ahli kumpulan sewaktu sesi persembahan berendoi.  Biasanya ketua akan menentukan pakaian yang perlu dipakai pada sesi persembahan hari itu.  Ada persalinan berbaju kurung dan bertudung, ada jubah dan ada baju kebarung.

Berendoi juga merapatkan ikatan silaturahim.

Berendoi juga merapatkan ikatan silaturahim.

Berendoi berfungsi sebagai alat hiburan sekali gus pengajaran serta nasihat buat anak-anak supaya mendengar nasihat ibu bapa. Nasihat bercorak keagamaan disampaikan melalui lagu yang memuji-muji Nabi Muhammad SAW dan digabungjalinkan dengan Rukun Islam yang menceritakan sejarah dan kehidupan baginda.

Aktiviti ini juga menyumbang kepada usaha memulihara warisan seni negara di samping menunaikan tanggungjawab sebagai pendakwah yang mengajak kepada amal makruf nahi mungkar menerusi lirik lagu berendoi. Andai kata warga hari ini tidak melestarikan seni persembahan berendoi ini, pasti generasi kelak tidak berpeluang menikmati dan mengetahui bagaimanakah rupa, bentuk serta peralatan dan lagu persembahan berendoi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1032259
    Visit Today : 1218
    This Month : 14858
    Total Visit : 1032259
    Hits Today : 4360
    Total Hits : 4226632
    Who's Online : 6
  • Kategori