Gambar hiasan.

Oleh ASSMAH OSMAN

SEMUA jenis iklan perniagaan di setiap negeri di Malaysia tertakluk pada Undang-undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing. Undang-undang kecil iklan ini menetapkan perkara yang hampir sama, iaitu semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan, sama ada bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.  Sesiapa yang melanggar undang-undang kecil ini melakukan kesalahan dan apabila disabitkan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar dikeluarkan oleh  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2009. Garis Panduan ini menetapkan setiap papan iklan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sama ada  bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan  dengan bahasa lain.  Perkataan bahasa Melayu hendaklah diutamakan dari segi saiz, warna dan kedudukan perkataan berbanding bahasa lain.  Malah penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya.  Penggunaan bahasa yang betul hendaklah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pihak DBP tidak akan mengesahkan penggunaan bahasa kebangsaan yang salah pada iklan seperti ”Super Power: Aku nak power”, “Prawn, If you don’t Eat is your loss”, ” So Fresh so Less” dan ”Perabut Recon Bermutu”.

Khusus untuk papan iklan premis perniagaan pula, Jabatan Kerajaan Tempatan  mengeluarkan pekeliling tentang “Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan”. Garis panduan ini jelas turut menetapkan keterangan perniagaan sama ada produk atau perkhidmatan yang mesti mengutamakan bahasa kebangsaan dari segi saiz, warna dan kedudukan. “Pasar Raya Bintang: Menjual Barangan Keperluan Dapur”, dan bukannya “ Pasar Raya Bintang: Menjual Barang Fresh”.

Baik Undang-undang Kecil Iklan PBT atau garis panduan, secara teorinya, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan semata-mata atau jika terdapat dwibahasa,  bahasa kebangsaan mesti diutamakan. Namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya; penggunaan bahasa kebangsaan dicampur aduk dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Cina dan Tamil.  Malah terdapat iklan yang meletakkan bahasa kebangsaan di bawah perkataan bahasa lain, selain saiz huruf bahasa kebangsaan kecil dan tidak jelas.

Malah yang lebih menghairankan dan menyedihkan apabila terdapat banyak iklan yang menggunakan bahasa Inggeris semata-mata. Dengan yang demikian, kita tertanya-tanya, untuk siapakah iklan tersebut yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan? Mustahil untuk para pelancong kerana  jumlah mereka tidak sampai satu juta berbanding dengan 22 juta penduduk Malaysia. Atau adakah produk mereka lebih laris jika menggunakan bahasa Inggeris? Perkara ini juga mustahil kerana masyarakat lebih cenderung membeli produk dan perkhidmatan yang menggunakan bahasa yang mereka lebih fahami. Adakah masih terdapat penduduk Malaysia yang tidak memahami bahasa kebangsaan? Hal ini tidak wajar kerana kita telah menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-53, tambahan pula Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang menjadi asas kepada sistem pendidikan dan pentadbiran negara.

Pemikiran  segelintir pengiklan yang memberikan alasan iklan produk dari luar negara atau produk Malaysia bertaraf antarabangsa wajar menggunakan bahasa Inggeris tidak boleh diterima.  Iklan dari luar boleh diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dengan menerapkan nilai dan citra budaya tempatan, begitu juga produk Malaysia ke luar negara boleh “menjual” bahasa dan  budaya Malaysia.

Perkara yang lebih penting, keutamaan kepada penggunaan bahasa kebangsaan dalam perniagaan adalah pada penamaan syarikat. Pendaftaran nama syarikat adalah berpandukan Garis Panduan Menamakan Syarikat oleh Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Garis panduan ini menekankan beberapa prinsip, antaranya  nama hendaklah menggunakan bahasa dan ejaan yang betul dan sekiranya nama mengandungi perkataan bukan bahasa Melayu, makna bagi perkataan tersebut hendaklah diberikan.

Penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul pada papan iklan tidak bergantung pada undang-undang atau garis panduan. Bagi memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan pada iklan adalah bergantung pada sikap pengiklan, agensi iklan, pemilik papan iklan, peniaga, pemborong, peruncit atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam bidang perniagaan. Kita  harus yakin bahasa kebangsaan mempunyai nilai ekonomi dan memberikan nilai ekonomi kepada bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab kita bersama. Kita seharusnya berasa rugi jika kita menggadaikan bahasa kebangsaan untuk papan iklan yang belum tentu berjaya menarik perhatian pelanggan.

 

  1. Shafinaz says:

    Assalamualaikum,

    Boleh saya tahu, siapa penulis untuk artikel ini. Sebagai rujukan untuk penulisan saya.

    Terima kasih.

    • Klik Web DBP says:

      Waalaikumussalam, Maaf kerana lambat membalas. Untuk tajuk ini penulisnya ialah Puan Assmah Osman. Terima kasih.

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.