zalani

 

Judul            : Semurni Hati Atikah

Pengarang   : Zailiani Taslim

Terbitan       : Dewan Bahasa Dan Pustaka

Tahun          : 2017

Harga          : RM12

Pengulas     : Dr. Nazariyah Sani

NOVEL Semurni Hati Atikah karya Zailiani Taslim mengisahkan persahabatan ikhlas dua orang pelajar sekolah yang berlainan bangsa dan agama, iaitu Atikah dan Mei Ling.  Sesuai dengan pengalaman pengarang sebagai guru, novel digarap dengan baik bagi memaparkan tema kasih sayang dalam persahabatan dua orang pelajar tingkatan lima itu.

Pujangga ada menyatakan bahawa cinta dan sayang itu serupa tetapi tidak sama.  Cinta merujuk kepada perasaan yang terjalin antara dua orang yang berlainan jenis.  Manakala sayang boleh terjalin antara insan berlainan jenis dan juga sejenis.  Oleh itu pengarang berjaya memaparkan rasa sayang Atikah terhadap Mei Ling dengan mempesonakan sehingga menitiskan air mata pembaca mengenangkan pengorbanan Atikah terhadap Mei Ling.

Atikah sangat menyayangi Mei Ling hingga sanggup mendermakan buah pinggangnya kepada Mei Ling. Keikhlasan Atikah itu menerima ganjaran yang tidak terhingga apabila Mei Ling memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Milah.

Novel ini sarat dengan ilmu dan pengajaran seperti penggunaan simpulan bahasa  “masa itu emas” dan penerapan nilai murni dalam adab bertandang.  Contohnya pada halaman 5 ada dialog begini: “Kok ya pun nak bertandang ke rumah rakan karib kamu tu, kena ikut adabnya juga, Tikah!  Ini kan waktu mereka sedang makan tengah hari?”

Gaya bahasa

Zailiani telah menggabungkan gaya karangan dengan bahasa ucapan sehari-hari para watak. Beliau menulis dengan kalimat yang tidak begitu panjang tetapi cukup deskriptif.  Kadangkala beliau menggabungkan koma dan koma bertitik dalam ayat.  Namun begitu, berpadanan dengan kerjaya beliau sebagai guru bahasa Melayu, bahasa yang digunakan sesuai untuk semua golongan pembaca dan dapat menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hati pembaca tentang apakah yang berlaku seterusnya terhadap Mei Ling dan Atikah.

Gaya bahasa Zailiani juga dapat menghidupkan dan memberikan jiwa pada watak Atikah dan Mei Ling. Di sinilah terletak salah satu daya tarikan novel ini dan  tidak menjemukan. Subjek diungkapkannya daripada sudut pandangan yang berbeza-beza dan dapat memukau pembaca.

Alur cerita dikembangkan dengan baik. Watak, perwatakan, plot dan latar berhubungan dan menjeleket dengan tema keseluruhan novel ini.  Zailiani memilih watak Atikah dan Mei Ling sebagai protagonis dan tidak meletakkan sesiapa sebagai antagonis. Pengarang melakukan hal ini untuk melengkapkan plot penceritaan dan mengaitkannya dengan tema kasih sayang yang dipaparkan dengan bersahaja dan menarik

Watak Atikah dilukis dengan baik sebagai remaja yang bersifat dinamik, penuh kasih sayang, bersopan santun dan menghormati orang tua. Pengarang juga ingin memotivasikan remaja bahawa ruang untuk berbuat baik dan bertaubat sentiasa terbuka luas jika seseorang itu berkeinginan untuk melakukannya.

Atikah dan Mei Ling diberikan gambaran latar belakang, fizikal, pemikiran dan tindak-tanduknya dalam mengembangkan penceritaan. Watak sampingan seperti Sulatimah, Suzie, Azia, Puan Mei Fun, Ustaz Daiman, Cikgu Moin,  juga ditulis dengan deskripsi yang jelas dan meyakinkan serta diberi peranan yang besar.

Watak Atikah dan Mei Ling dapat digambarkan sama ada melalui deskripsi pengarang, dialog atau monolog dalaman watak dan juga melalui persepsi watak lain seperti rakan sekelas mereka. Watak Atikah kelihatan amat menarik dan lebih memberikan impak apabila digambarkan secara langsung oleh Zailiani.

Di samping itu, watak Atikah juga menggerakkan plot cerita dan seterusnya mewujudkan konflik. Konflik ini pula berperanan membentuk struktur dramatik terhadap watak Atikah dan Mei Ling apabila kedua-duanya saling berkait rapat untuk menghasilkan sebuah novel yang menarik. Konflik antara Atikah dengan keluarganya serta Mei Ling dengan keluarganya ditunjukkan jalan penyelesaian yang baik.

Susunan peristiwa demi peristiwa yang lebih konkrit dialami Atikah menganjak konflik ke tahap yang lebih tinggi. Di sinilah terlakarnya unsur-unsur suspens dan klimaks yang menjadi titik tertinggi keupayaan pengarang untuk memukau pembaca. Manakala peleraian merupakan satu kesudahan yang berperanan untuk menyempurnakan cerita.   Peleraian merupakan pelengkap cerita menamatkan semua persoalan.

Klimaks

Kesimpulannya, novel ini sesuai dibaca oleh semua peringkat masyarakat terutamanya remaja. Pembaca dapat mencontohi  nilai kasih sayang Atikah sebagai sahabat dan kesungguhan watak-watak remaja yang ditampilkan dalam  novel ini. Novel ini berjaya menyerlahkan ciri-ciri baik yang seharusnya ada dalam diri remaja.

Pengarang dapat membawa pembaca untuk melihat sejauh mana watak utama mempengaruhi serta menerajui sesebuah penceritaan. Pengarang dapat membimbing pembaca untuk melihat perkembangan watak Atikah daripada permulaan plot kepada perkembangan plot yang mengakibatkan konflik. Konflik yang dikaji di sini ialah konflik dalam jiwa Atikah.

Seterusnya novel ini berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu kerumitan (komplikasi) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum. Di peringkat ini, konflik kelihatan semakin kompleks seolah-olah mustahil untuk diselesaikan. Kemudian apabila urutan cerita menuju kepada peleraian dan penyelesaian, konflik itu berjaya diselesaikan.

Di sinilah kebijaksanaan pengarang menggambarkan Atikah keluar daripada konflik yang membelenggu dirinya. Di samping itu juga, pengarang mengenal pasti aspek psikologi bagi mengatasi konflik dalam diri Atikah dan Mei Ling yang menjadi penarik kepada perjalanan cerita ini. Novel yang berlatarbelakangkan kehidupan berlainan darjat antara Atikah dengan Mei Ling meninggalkan kesan yang mendalam di hati pembaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044079
    Visit Today : 500
    This Month : 26678
    Total Visit : 1044079
    Hits Today : 1373
    Total Hits : 4286346
    Who's Online : 13
  • Kategori