Oleh NORAINI ABD. SHUKOR

“NASKHAH sastera Melayu tradisional mempunyai nilai yang sangat tinggi dan perjuangan untuk menyelongkar ilmu dan kearifan orang Melayu yang ada dalam naskhah-naskhah lama perlu diteruskan demi mengangkat dan memartabatkan warisan bangsa”. Itu antara inti pati ucaptama YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam program Wacana Naskhah Tradisional Negeri Sembilan yang diadakan pada 16 Ogos 2017, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan di Auditorium D’Sury, Seremban, Negeri Sembilan. Wacana yang bertemakan “Negeri Sembilan dalam Naskhah Melayu” merupakan kesinambungan program Siri Kajian Naskhah Tradisional Kesultanan Melayu yang dilaksanakan sebelum ini.

Ucap utama disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim

Ucaptama oleh Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim

Matlamat utama wacana ini adalah untuk menghasilkan kajian dan dapatan baharu pelbagai bidang ilmu dan pemikiran seperti sejarah, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh karyawan silam. Untuk mencapai matlamat ini, sebanyak enam kertas kajian dibentangkan manakala tujuh kertas kerja iringan dihasilkan. Antara judul kajian yang dibentangkan ialah “Undang-undang Sungai Ujung” oleh Profesor Dr. Jelani Harun, “Pentingnya Manuskrip Melayu Negeri Sembilan sebagai Sumber Kajian Sejarah” oleh Dr. Mohd. Pauzi Abd. Latif dan “Surat-menyurat Keturunan Dato’ Ungku Klang (Selangor), Kerabat Raja dan Pembesar Negeri Sembilan: Menelaah Tarikh Penguasaan dan Pentadbiran Seri Menanti” oleh Ahmad Farhan Abdullah Zakaria.

Gimik pelancaran oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim

Pelancaran program oleh Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim

Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim mahu bangsa Melayu menggali keintelektualan orang Melayu yang ada pada naskhah sastera dan dokumen sejarah yang ditinggalkan oleh bijak pandai Melayu dahulu. Hal ini sangat penting kerana dalam bahan tersebutlah terdapatnya rakaman persejarahan, nilai budaya masyarakat dan seluruh sistem kehidupan orang Melayu dahulu yang nilainya sangat tinggi. Penggalian khazanah ini membantu bangsa Melayu untuk mempertahankan jati diri dan keagungan bangsa.

Sesi pertama pembentangan kertas kerja.

Sesi pertama pembentangan kertas kerja.

Beliau turut mencadangkan supaya Institut Adat ditubuhkan sebagai institusi yang menjadi pusat untuk mewacanakan perihal adat dan juga pelaksanaan aktiviti yang berkaitan dengan persoalan bangsa Melayu. Penubuhan institut ini hasil gabungan pemikiran dan tenaga daripada Lembaga Muzium, DBP, universiti awam dan pihak yang berkaitan. Penubuhan Institut Adat ini juga diharapkan menjadi institusi yang memelihara khazanah warisan bangsa supaya tidak pupus ditelan zaman.

Pembentangan kertas kerja sesi kedua.

Pembentangan kertas kerja sesi kedua.

Wacana Naskhah Sastera Tradisional Negeri Sembilan ini juga mengetengahkan pemikiran kalangan sarjana yang merungkaikan pelbagai ilmu yang terdapat dalam naskhah Negeri Sembilan, antaranya persoalan undang-undang, membincangkan salasilah keturunan penghulu di Negeri Sembilan berdasarkan naskhah dan juga melihat manuskrip Melayu Negeri Sembilan dari sudut sejarah dan ketamadunannya. Berdasarkan wacana yang diadakan, dapat dirumuskan kepentingan manuskrip Negeri Sembilan ini kerana terbukti akan kewujudan tradisi persuratan Melayu di Negeri Sembilan. Di dalamnya terakam kebijaksanaan, pemikiran orang Negeri Sembilan dan tulisan orang Negeri Sembilan yang masih belum terbongkar sepenuhnya.

Yang Berhormat Dato' Abd Razak Said, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup.

YB Dato’ Abd Razak Said, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan ketika menyampaikan ucapan penutupan.

Keseluruhannya, wacana ini membuktikan kepada masyarakat, khususnya orang Melayu bahawa bangsa Melayu memang terkenal dengan kearifannya dalam pelbagai bidang ilmu dan kearifan ini terakam dalam naskhah tradisional (naskhah wataniah) yang ditinggalkan oleh ilmuwan dahulu. Bangsa Melayu hari ini pula berperanan menyelongkar kebijaksanaan tersebut dan memartabatkannya supaya bangsa Melayu menjadi bangsa yang dikenali sebagai sebuah bangsa yang tinggi falsafah dan pemikirannya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035108
    Visit Today : 1324
    This Month : 17707
    Total Visit : 1035108
    Hits Today : 6981
    Total Hits : 4245315
    Who's Online : 9
  • Kategori