ZAI_2802 (2)

Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) yang telah ditubuhkan sejak 22 Jun 1956 telah pun menjangkau 60 tahun usia penubuhannya pada tahun lepas. Antara fungsi utama DBP termasuklah mengembangkan dan menyebarluaskan bahasa dan sastera Melayu di tanah air dan ke peringkat antarabangsa untuk mencapai visi dan misi DBP, iaitu “Menjadikan Bahasa Melayu Salah Satu Bahasa Utama Dunia” dan “Meningkatkan Penggunaan Bahasa Melayu”. Untuk menjayakan hasrat tersebut, DBP telah melakukan pelbagai penyelidikan dalam bidang bahasa dan sastera. Penyelidikan ini bukan sekadar mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada pihak luar malah turut melibatkan karyawan DBP yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kemahiran. Hasil-hasil penyelidikan inilah yang telah dibentangkan dalam seminar dua hari yang telah diadakan pada 9 hingga 10 Ogos 2017, di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP. Seminar yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Bahasa dan Penyelidikan Sastera, DBP.

Kertas kerja, "Tanda Sempang dalam Kata Ganda Berentak: Kekal atau Gugur?" merupakan hasil kajian Puan Nurul Julia Alani Henry dan Puan Sanisah Hashim.

Pembentangan kertas kerja “Tanda Sempang dalam Kata Ganda Berentak: Kekal atau Gugur?” oleh Puan Nurul Julia Alani Henry (kiri) dan Puan Sanisah Hashim.

Tujuan utama seminar ini diadakan adalah untuk membina karyawan berketerampilan dalam bidang ilmu, sama ada bahasa, sastera dan penerbitan serta memantapkan dan meluaskan khazanah ilmu dalam pelbagai bidang penyelidikan. Hal ini secara tidak langsung melatih karyawan DBP untuk melakukan penyelidikan dalam bidang bahasa dan sastera. Hasil penyelidikan yang dilaksanakan dapat dikongsikan bersama-sama khalayak, didokumentasikan dan diterbitkan dalam Pustaka Ilmu Web DBP untuk kegunaan penyelidik.

Sepanjang seminar ini berlangsung, sebanyak 22 kertas kerja telah dibentangkan, iaitu lima daripada Bahagian Penyelidikan Bahasa dan lima daripada Bahagian Penyelidikan Sastera. Sebanyak 12 kertas kerja lagi dari bahagian-bahagian lain, seperti Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Perkamusan, Penguatkuasaan, Promosi dan pengiktirafan serta Pusat Dokumentasi Melayu. Kertas kerja yang dibentangkan mencakupi bidang pembinaan korpus, penyelidikan tekstual, kajian lapangan, sejarah, tokoh dan pelbagai bidang lain.

Kertas Dasar bertajuk "Penyelidik dan Penyelidikan" telah disampaikan oleh Encik Rusli Abd Ghani, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan.

Encik Rusli Abd Ghani, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan.

Seminar ini dimulakan dengan ucapan dasar oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Encik Rusli Abd Ghani yang bertajuk “Penyelidik dan Penyelidikan”. Dalam ucapannya, beliau menghargai kepakaran karyawan DBP yang berani memperagakan usaha penyelidikan yang telah dilaksanakan di DBP. Menurutnya lagi, hal ini amat bertepatan dengan matlamat DBP, iaitu membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi dan mengembangkan bakat sastera dalam bahasa kebangsaan. Seterusnya, dua kertas utama disampaikan oleh Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa yang bertajuk “Penyelidikan Bahasa dalam Jagat Data Raya: Menongkah Cabaran Menangguk Peluang” dan Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera membentangkan kertas utama yang bertajuk “Retrospektif Pemikiran Gender dalam Novel Melayu Satu Abad”.

Puan Suzanti Abd. Aziz ketika membentangkan kertas bertajuk, " Bahasa Melayu di Media: Analisis dari Sudut Morfologi".

Puan Suzanti Abd. Aziz (kiri) ketika membentangkan kertas kerja “Bahasa Melayu di Media: Analisis dari Sudut Morfologi”.

Seterusnya, ucapan penangguhan seminar disampaikan oleh Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP. Dalam ucapannya, beliau melontarkan beberapa saranan, antaranya karyawan DBP digalakkan untuk menghasilkan sesuatu penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh DBP. Menurutnya lagi, walaupun penyelidikan yang dilakukan itu skopnya kecil namun memberikan manfaat dan impak yang besar kepada organisasi.

Pembentangan kertas kerja oleh Puan Norhafizah Mohamed Husin.

Pembentangan kertas kerja oleh Puan Norhafizah Mohamed Husin (kiri).

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerjasama penyelidikan yang dilaksanakan melalui kolaborasi antara universiti dengan DBP melalui program kerjasama bukan lagi lantikan penyelidik secara individu seperti yang dilaksanakan sebelum ini. Hal ini adalah untuk mengelakkan projek penyelidikan tergendala dan tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan kerana terdapat penyelidik yang kurang komited dan berhalangan untuk menyiapkan sesuatu kajian. Beliau juga mencadangkan agar karyawan DBP yang membentangkan kertas kerja diberi beberapa insentif, antaranya hasil penyelidikan diterbitkan dalam bentuk buku dan peluang kenaikan pangkat kepada pembentang.

Seminar yang julung kali diadakan ini akan menjadi acara tahunan dan akan diadakan dua kali setahun bagi mencungkil bakat baharu dalam dunia penyelidikan bukan sahaja berkaitan bahasa dan sastera malahan bidang lain. Hasrat ini bersesuaian dengan Bidang Keberhasilan Utama DBP, iaitu membina karyawan berketerampilan dalam bidang ilmu sama ada bahasa, sastera dan penerbitan serta memantapkan dan meluaskan khazanah ilmu dalam pelbagai bidang penyelidikan.

Para pembentang kertas kerja bergambar bersama-sama Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka.

Para pembentang bergambar bersama-sama Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran (tengah-tengah, barisan belakang).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043031
    Visit Today : 895
    This Month : 25630
    Total Visit : 1043031
    Hits Today : 2802
    Total Hits : 4282397
    Who's Online : 11
  • Kategori